Honda HR-V Sport Hybrid i-DCD.
Mohd Razlan Salleh


Model peneraju kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak tempatan, Honda HR-V kini tampil dengan empat varian berbeza, sekali gus cuba mengukuhkan kedudukannya sebagai Crossover terlaris selain yang menawarkan pengalaman pemanduan berbeza.

HR-V yang bermaksud ‘Hip & Smart Runabout Vehicle’ kini tampil dengan dua varian baharu iaitu paduan dwikuasa dengan i-DCD Sport Hybrid dan RS untuk gaya lebih sporty manakala varian E dan V sebagai pelengkap.

Model HR-V ini mencipta gelombang populariti tersendiri apabila menjadi SUV kompak terlaris di Jepun dan varian i-DCD Sport Hybrid dibawa masuk Honda Malaysia adalah yang pertama ditawarkan di luar negara matahari terbit itu selepas Jazz dan City.

Honda Malaysia adalah perintis dalam membawa teknologi hibrid pintar ke pasaran tempatan pada 2004 dan menjadi pengeluar kereta ketiga menghasilkan kenderaan dwikuasa secara pemasangan tempatan (CKD) pada 2012.

Dilancarkan pada 2015, HR-V mencapai jumlah jualan lebih 72,300 unit tahun lalu, menguasai 81 peratus pasaran dalam segmen SUV kompak.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Toichi Ishiyama berkata, pasaran SUV mula berkembang sejak tiga tahun lalu dengan HR-V sebagai penyumbang utama selain antara tiga model penyumbang utama Honda Malaysia terhadap keseluruhan jualan.

“Kami memperkenalkan enjin Sport i-DCD Hybrid, enjin berkuasa turbo dan teknologi keselamatan canggih dikenali sebagai Honda SENSING untuk memenuhi tuntutan dan menyediakan produk terbaik kepada pelanggan tempatan,” katanya.

Honda HR-V I-DCD Hybrid Sport dikuasakan enjin 1.5L DOHC i-VTEC dengan suntikan terus menawarkan peningkatan terhadap prestasi kenderaan dengan kecekapan bahan api terbaik.


RUANG dalaman premium.

Enjin berkuasa ini disepadukan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan ​​dan Integrated High Power Motor yang dikuasakan Bateri Lithium-Ion berkuasa tinggi.

Ini menjadikan model ini menyamai kuasa jentera berkapasiti enjin 2.0L apabila tenaga elektrik sepenuhnya digunakan dalam Mode EV.

Selain hibrid, varian RS tidak kurang menariknya selepas kali pertama dilancarkan di pasaran tempatan.

HR-V RS dijana enjin 1.8L SOHC i-VTEC yang dipadankan bersama kotak gear CVT.

Model sporty ini juga dilengkapi sistem Variable Gear Ratio (VGR) yang menawarkan pemanduan lebih mantap.

Perbezaan antara model RS dan tiga varian lain dapat dilihat melalui rim aloi dua tona bersaiz 18 inci, gril hadapan baharu serta bampar hadapan dan belakang berwarna hitam.

Ciri standard lain untuk semua varian HR-V ialah enam beg udara, kamera pandang belakang pelbagai sudut, Cruise Control, Paddle Shift, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan ISOFix.

Manakala varian V dan RS menerima lapan tetapan tempat duduk kuasa, balutan kerusi kulit dan Honda LaneWatch.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu kelabu, perak, hitam, putih mutiara dan warna baharu, merah mutiara (baharu).

Harga ditawarkan bermula RM108,800 untuk varian E, RM118,800 (varian V), RM124,800 (varian RS) sementara HR-V Sport Hybrid i-DCD berharga RM120,800.

Pelanggan juga boleh mendapatkan tiga pakej aksesori pada harga berpatutan iaitu Modula berharga RM5,737, Urban Package (RM1,716) dan Utility Package berharga RM902.

Honda Malaysia menawarkan jaminan selama lapan tahun dengan perbatuan tanpa had untuk bateri hibrid.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi bilik pameran Honda atau hubungi nombor talian bebas tol Honda 1-800-88-2020 atau melayari laman sesawang www.honda.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 8:03 AM