PENGENDALIAN terbaik dalam kelasnya.
PENGENDALIAN terbaik dalam kelasnya.
Mohd Razlan Salleh

Sebut saja Toyota Vios, kenderaan ini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana memang sudah dikenali tidak saja di negara ini, malah menjadi pilihan pemandu di Thailand dan Indonesia.

Namun, kali ini model popular itu hadir dengan beberapa siri penambahbaikan yang memungkinkan jualannya terus melonjak.

Peluang memandu uji secara ringkas model generasi ketiga ini dari Ibu Pejabat UMW Toyota Motor di Shah Alam, Selangor ke Desaru, Johor membolehkan penulis merasai keistimewaan jentera ini.

Melihat pada rekaan luaran, ternyata beberapa penambahbaikan menjadikan varian terbaharu ini lebih sporty berbanding sebelum ini.

Antara yang paling jelas lampu hadapan yang lebih tirus dengan fungsi Follow Me Home yang mengapit gril memaparkan logo Toyota.

REKAAN hadapan sporty.
REKAAN hadapan sporty.

Bahagian bampar menempatkan lampu nyalaan siang LED lampu kabus.

Tiga varian diperkenalkan iaitu J, E, dan G dengan spesifikasi berbeza.

Kali ini, penulis memandu uji varian 1.5G, varian tertinggi yang memiliki spesifikasi penuh termasuk skirting sekeliling.

Selain itu, varian ini hadir dengan lampu utama projector, lampu kombinasi belakang LED, cermin sisi autolipat, gril hadapan berwarna bersadur, lampu kabus belakang dan rim aloi 16 inci.

Satu perkara yang tidak boleh dinafikan mengenai kenderaan jenama Toyota ini ialah pengendaliannya.

Sepanjang memandu uji varian terbaharu ini, penulis dapat merasai sendiri kualiti sehingga menjadi antara sedan bukan nasional paling popular.

Tambahan pula, tahap bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) mungkin adalah terbaik dalam kelasnya.

BAHAGIAN belakang kemas.
BAHAGIAN belakang kemas.

Memecut di lebuh raya, jalan raya biasa atau laluan berselekoh bukan masalah.

Ruang dalaman juga diperkemaskan dengan kabin berwarna gelap, tempat duduk balutan kulit, skrin Optitron bersama paparan skrin pelbagai maklumat TFT bersaiz 4.2 inci.

Pendingin hawa automatik dan skrin DVD-AVX dengan USB Mirroring 6.8 inci memastikan perjalanan kekal selesa.

Mengenai nadi kuasa pula, Vios generasi ketiga ini masih didorong enjin 1.5L 16 injap DOHC VVT-i bersama transmisi automatik CVT dengan mod Sport Sequential Shiftmatic tujuh kelajuan.

Jentera ini menawarkan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm, manakala tork maksimum 140 Nm pada 4,200 rpm.

Satu ciri menarik varian ini adalah Panoramic View Monitor (PVM) yang membolehkan pemandu melihat setiap sudut kereta pada pandangan 360 darjah.

Sistem ini memudahkan pemandu ketika melalui jalan sempit atau memasuki parkir.

Toyota Vios ditawarkan pada harga bermula RM77,200 bagi model asas 1.5J, RM81,200 (1.5E) dan RM87,300 bagi varian 1.5G.

PVM memberi imej lebih jelas.
PVM memberi imej lebih jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 6:04 AM