AKSI perlumbaan di Litar Batu Kawan. FOTO Ihsan Toyota
Mohamad Fahd Rahmat


SIRKIT perlumbaan sempena Festival Toyota Gazoo Racing yang berlangsung di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini rancak dengan aksi mendebarkan 40 pelumba profesional dan amatur termasuk barisan selebriti tanah air.

Aksi dalam cuaca terik di litar sepanjang 1.56 kilometer di perkarangan Stadium Batu Kawan turut menyaksikan pelakon, Shukri Yahaya terbabit dalam kemalangan dengan empat kenderaan, namun dilaporkan tidak cedera.

Kemalangan berlaku ketika kereta dipandu Brendon Lim Boon Yew daripada pasukan Tedco Racing, berselisih dengan kereta yang mengekori rapat dipandu Kenneth Koh Keik Lun daripada pasukan Panglima City Racing Team.

Shukri yang berada di kelompok lima pertama ketika itu dilihat cuba menyelit di antara kenderaan dipandu Ken Foo daripada pasukan Kulim Top Wheels dan Hayden Haikal, daripada pasukan Prodigy Racing, sebelum terbabit kemalangan.

Kejadian memaksa Pengarah Perlumbaan, M Ravin menghentikan perlumbaan ketika berbaki 15 pusingan.


JANNA Nick sebelum beraksi bagi Kategori Promotional (Selebriti). FOTO Ihsan Toyota

Shukri berentap dalam kategori Sporting (Amatur) dan ia dimenangi pelumba Clement Yeo daripada pasukan Distinctive Model, diikuti Patrick Tam daripada Team Nanoplus dan Eric Yong Boon Pin daripada ST Wangan Racing Team.

Dalam pada itu, bagi kategori Super Sporting (Profesional), pelumba Boy Wong mewakili pasukan ST Wangan Racing Team mendahului Brendan Paul Anthony daripada pasukan Dream Chaser dan Keifli Othman daripada Team Nanoplus.

Sementara, bagi Kategori Promotional (Selebriti), perlumbaan dimenangi Diana Danielle, diikuti Nabil Ahmad, Akim Ahmad, Khai Bahar, Janna Nick, Wany Hasrita, Akio Takeyama, Nabila Razali dan Aiman Tino.

Karnival kali ini turut membabitkan perlumbaan jalanan Toyota Vios Challenge Pusingan 3. 

Festival berlangsung selama dua hari ini menghidangkan pelbagai aktiviti sampingan, daripada pameran model-model kenderaan baru Toyota, perhimpunan kelab kereta Toyota sehinggalah permainan menyeronokkan untuk seisi keluarga.

Konsert mini dan festival makanan jalanan turut diadakan.


PENGUNJUNG festival mencuba simulator pemanduan. FOTO Ihsan TOYOTA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 8:03 PM