MOTOSIKAL Yamaha Y15ZR yang dilancarkan di Kejohanan Cub Prix Malaysia. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
MOTOSIKAL Yamaha Y15ZR yang dilancarkan di Kejohanan Cub Prix Malaysia. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Fairuz Zaidan


HONG LEONG Yamaha Motor (HLYM) menyasarkan untuk menjual kira-kira 9,000 motosikal bagi model terbaharu, Yamaha Y15ZR v2 yang dijangka berada di pasaran tempatan pertengahan bulan depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Jim Khor berkata, model yang diperbaharui itu dipertingkatkan dengan pelbagai ciri tambahan yang tentunya kekal mendominasi pasaran motosikal bagi segmen sekelasnya.

“Kita berkeyakinan, model Yamaha Y15ZR v2 akan terus mendominasi pasaran motosikal tempatan susulan kejayaan bagi pemasaran model yang sama sebelum ini.

“Buat masa ini, kita sedang menunggu penetapan harga jualan oleh pihak berkuasa sebelum model Yamaha Y15ZR v2 ini dijangka mula menemui peminatnya pada pertengahan April di seluruh negara,” katanya sempena majlis pelancaran di pusingan pertama Kejohanan Cub Prix Malaysia di Bandar Jasin Bestari, Melaka, hari ini.

Simbolik pelancaran motosikal yang mendapat jolokan ‘King of the Streets’ itu turut menampilkan pelumba Yamaha Cub Prix, Ahmad Afif Amran, Kasma Daniel Kasmayudin dan Md Akid Aziz yang menguasai tiga tempat teratas dalam kategori CP150, selain Tengku Amirul Haffirudin yang muncul juara CP115 pada tahun lalu.

Khor berkata, antara ciri terbaharu yang diterapkan pada model pemasangan tempatan itu termasuklah lampu LED baharu ‘high low beam,’ meter panel LCD terbaharu, rekaan grafik pada badan motosikal serta tayar depan 90/80 yang lebih luas.

“Ciri-ciri terbaharu yang disuntik bagi model Yamaha Y15ZR v2 ini tentunya sesuatu yang ditunggu-tunggu peminat motosikal tempatan kerana ciri tambahan ini direka khas untuk peminat sukan permotoran tanah air,” katanya.

Yamaha Y15ZR v2 didatangkan dengan empat warna baharu iaitu Cyan Striking, Blazing Red, Storm Blue dan Gray Dynamic.

Malah, pembeli baharu motosikal itu turut berpeluang mendapatkan kunci brek cakera percuma yang bernilai RM100.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 6:32 PM