Lizam Ridzuan


NAZA Italia, pengimport dan pengedar rasmi jenama Ferrari di Malaysia memperkenalkan model terbaharu Ferrari F8 Tributo untuk pasaran tempatan yang diinspirasikan daripada model klasik Berlinetta.

Malaysia ialah negara Asia Tenggara pertama melancarkan model itu bersempena sambutan ulangtahun ke-10 Ferrari di Singapura, Thailand dan negara ini.

Ia pertama kali dipertontonkan ketika Pameran Motor Geneva bulan lalu dan dikuasakan enjin 3.9 liter V8 iaitu paling berkuasa untuk jenama itu yang pernah dihasilkan bukan daripada siri khas dengan 720 kuasa kuda dan tork 770Nm.

Model dua tempat duduk dengan enjin belakang serta ciri rekaan berat yang seimbang membolehkan jentera lebih ringan dan ciri aerodinamik dipertingkatkan sebanyak 10 peratus untuk kelajuan maksimum 340 kilometer/sejam (km/j).

Model yang menggantikan Ferrari 488 GTB ini mempunyai rekaan hadapan karakter S-Duct untuk ‘downforce’ lebih stabil ketika kelajuan tinggi, lampu hadapan LED mendatar yang membolehkan kemasukan aliran angin bagi sistem penyejukan brek melalui udara.

Ruang dalaman mengekalkan ciri klasik seperti model-model Ferrari lain namun diberi sentuhan lebih segar dengan generasi Human Machine Interface (HMI) untuk sistem hiburan dan maklumat dengan skrin sesentuh 7 inci.

Untuk pasaran Malaysia ia dijual dengan harga pengenalan daripada RM1,068,000 dan model pertama tempahan dijangka tiba pada suku tahun ketiga tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 7:07 PM
KETUA Pegawai Eksekutif Ferarri Far and Middle East Hub Dieter Knechtel (kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holdings, SM Nasarudin SM Nasimuddin melancarkan Ferrari F8 Tributo di Kuala Lumpur. FOTO Nadim Bokhari