Lizam Ridzuan


KAWASAKI Motors (Malaysia) Sdn Bhd, pengimport dan pengedar utama motosikal jenama Kawasaki di negara ini melancarkan dua model baharu iaitu Kawasaki Z250 ABS dan Z400 SE ABS untuk pasaran tempatan.

Motosikal segmen ‘super naked’ ringan dengan casis inspirasi rekaan Sugomi model segmen Z dengan kedua-duanya diadun daripada model Z650 untuk tampil agresif dan maskulin.

Model Z250 dikuasakan dengan enjin 249cc DOHC sejukan cecair silinder berkembar selari dengan kuasa 37 PS pada 12,500rpm dan 23Nm pada 10,000 rpm.

Manakala Z400 pula dilengkapi enjin 399cc DOHC sejukan cecair silinder berkembar selari menjana kuasa 45 PS pada 10,000 rpm dan tork 38Nm pada 8,000 rpm.

Kedua-dua model dibina di atas kerangka trelis berketahanan tinggi dengan suspensi hadapan fork teleskopik dan penyerap hentakan belakang jenis ‘gas-charged’ dengan ‘Bottom-Link Uni-Track’ serta larasan pra-beban.

Lampu hadapan dan belakang LED, panel meter pelbagai fungsi dan rekaan tangki bahan api lebih tirus untuk keselesaan kepada penunggang antara pembaharuan bagi model ini.

MUHYIDDIN (tengah) mencuba jentera Kawasaki Z250 sambil diperhatikan Ahmad Faez (kanan) dan Wee Hong. (Gambar kanan) Z400. FOTO Zunnur Al Shafiq.

Bagi pasaran Malaysia, Kawasaki Z250 ABS dijual dengan harga RM21,988 dan Z400 SE ABS pada harga RM28,755 (atas jalan tanpa insurans).

Jentera berkenaan dilancarkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Petaling Jaya, malam tadi. Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kawasaki Motors Malaysia, Ahmad Faez Tan Sri Yahya dan Pengerusi Pengedar Motor dan Scooter Malaysia, Wee Hong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 9:43 PM