Lizam Ridzuan


DI kebanyakan negara, kumpulan pemilik wanita Harley-Davidson atau ‘Ladies of Harley’ (LOH) ditubuhkan bertujuan mengumpul semua pemilik motosikal jenama Harley-Davidson dalam kalangan wanita yang bernaung bawah Grup Pemilik Harley (HOG) di kawasannya.

Ia turut ditubuhkan di negara ini dan LOH Malaysia mula bergerak secara rasmi pada 2012.

Ia menganjurkan pelbagai aktiviti bersesuaian dan pada peringkat awal, mereka bergerak bersama kumpulan penunggang lelaki.

Antara yang aktif ialah LOH Petaling Jaya dan dengan keahlian seramai 70 orang, pelbagai aktiviti tunggangan, kekeluargaan serta amal sudah dijalankan.

KETIKA acara Women Riders World Relay. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Ketuanya, Nor Cilla Omar, 46, yang dilantik sebagai LOH Officer pada 2018 berkata, setiap ahli diberi penekanan tentang aspek keselamatan ketika menunggang terutama disiplin di jalan raya.

“Paling penting ialah, kita tidak setakat memiliki motosikal berkuasa tinggi malah pakaian dan aksesori keselamatan perlu diberi perhatian utama sebagai perlindungan tambahan penunggang,” katanya ketika ditemui pada ‘Women Riders World Relay’ (WRWR), baru-baru ini.

Selain aktiviti tunggangan, LOH Petaling Jaya aktif dan sentiasa bekerjasama dengan badan kebajikan sama ada untuk mengumpul dana atau melakukan pelbagai aktiviti berkaitan wanita seperti Hari Wanita.

“Kami sama-sama dapat berkongsi minat menunggang motosikal berkuasa tinggi dan berkumpul serta melakukan perkara yang positif seperti membantu golongan yang memerlukan melalui aktiviti amal hasil kerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi,” katanya.

NOR Cilla.

Ahli LOH Petaling Jaya, Kesuma Nordin, 41, berkata, semangat ‘sisterhood’ dalam kalangan ahli menjadikan mereka sangat rapat terutama apabila berkonvoi dalam perjalanan jauh.

“Kami bergerak bersama-sama dan jika terdapat permasalahan teknikal dalam kalangan ahli di sepanjang laluan, konvoi akan berhenti membantu.

“Aktiviti menunggang pada hujung minggu tidak saja membolehkan kami menikmati pemandangan indah di sepanjang laluan malah membantu mengurangkan tekanan selepas penat bekerja sepanjang minggu,” katanya yang bertugas sebagai jurutera.

KESUMA.

Seorang lagi ahli, Fara Asmari Manaf, 39, memulakan aktiviti tunggangan dengan menyertai suaminya yang juga pemilik motosikal Harley-Davidson.

Bagaimanapun, Fara Asmari kini menunggang sendirian bersama rakan-rakan.

“Konvoi paling jauh saya pernah sertai ialah ke Kemboja dan ia pengalaman paling indah dalam aktiviti bersama kelab HOG,” katanya yang menunggang model Softail Slim.

LOH menyeru wanita yang ingin menyertai mereka supaya belajar menunggang dengan betul selain mendapatkan lesen sebelum memiliki jentera berkuasa tinggi.

Maklumat lanjut mengenai HOG dan LOH Malaysia boleh diperoleh di www.facebook.com/petalingjayahog. #vroomHM

FARA.

AKTIF dengan aktiviti tunggangan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 4:30 AM