AKTIVITI konvoi sering dianjurkan. FOTO: Roslin Mat Tahir
Lizam Ridzuan


SEJAK model kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena S-Hybrid (C26) diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2013, ia mencatatkan sejarah tersendiri sebagai kenderaan pertama dalam segmen tersebut dengan ciri hibrid.

Malah generasi keempat itu adalah sebagai kesinambungan daripada model terdahulu iaitu C23 yang diperkenalkan pada 1995, C24 (2000), C25 (tidak memasuki pasaran Malaysia) dan model C27 adalah yang terbaharu diperkenalkan tahun lalu.

Maka tidak terkecuali untuk Serena S-Hybrid ini, ia juga memiliki kumpulan pemiliknya yang tersendiri yang dikenali sebagai Serena S-Hybrid Owners Grup (SSHOG).

Pengerusi Jawatankuasa SSHOG, Sazali Jamali, 41, berkata, pada awal penubuhan, kumpulan pemilik ini berhubung melalui Facebook dan mereka berkongsi berkaitan maklumat teknikal kenderaan itu.

“Meskipun ia berkonsepkan Smart Hybrid, banyak sekali perkongsian tentang cara penjagaan serta aksesori tambahan dalam kalangan rakan pemilik lain,” katanya.

Bermula daripada itu, timbul idea untuk memperkembangkan lagi aktiviti dengan menganjurkan program ‘Teh Tarik Meet Up’ di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang dalam merangka perjalanan program mereka.


ANTARA ahli SSHOG.

Hasil komitmen semua ahli, banyak aktiviti berjaya dianjurkan seperti konvoi ke Legoland, Nusajaya di Johor pada 2014, Hari Keluarga di Cinta Sayang Resort, Sungai Petani, Kedah dan konvoi ke Pulau Pinang.

Selain itu, SSHOG juga menganjurkan lawatan ke kilang pemasangan Edaran Tan Chong Motor sebagai pengedar kenderaan Nissan di negara ini di Serendah, Selangor serta jemputan untuk sesi pratonton model Nissan Serena S-Hybrid (C27) pada tahun lalu.

Ahli, Khairisyahrin Mukhtar, 43, berkata, dia menyertai kelab ini sejak 2014 dan memilih Nissan Serena kerana ruang yang luas serta sesuai untuk membawa seisi keluarga.

“Ruang dalaman dengan tempat tujuh tempat duduk fleksibel sangat selesa untuk keluarga. Saya sering menyertai aktiviti dianjurkan SSHOG untuk beriadah bersama rakan lain,” katanya yang bertugas sebagai pengurus ladang.

Pendapat sama dikongsi Tuan Alimin Tuan Ibrahim, 47, yang seronok berkenalan dengan teman baharu selain dapat membawa keluarga dalam aktiviti yang diadakan.

“Selain berkongsi maklumat terkini tentang Nissan Serena, kami dapat berkumpul sambil bertukar-tukar fikiran mengenai apa juga topik yang bersesuaian dengan kehidupan,” katanya.

Sazali menambah yang mereka juga bersikap terbuka dengan mana-mana pemilik untuk menyertai SSHOG.

Untuk melihat dengan lebih dekat dan menyertai aktiviti yang bakal dianjurkan, boleh kunjungi laman Facebook: Nissan Serena S Hybrid Owners Group Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 5:00 AM