MERCEDES-BENZ EQC guna elektrik sepenuhnya
Lizam Ridzuan


PERTAMA kali dipertontonkan di Kuala Lumpur dan Asia Tenggara, kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak mewah Mercedes-Benz EQC 400 4Matic adalah kenderaan elektrik sepenuhnya yang dilancarkan untuk pasaran pada awal tahun ini di Jerman.

Model bawah jenama EQ yang membariskan kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan plug-in elektrik hibrid (PHEV) itu tidak menggunakan bahan api fosil sebaliknya enjin janaan elektrik mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 450 kilometer (km) dengan sekali cas.

Ia adalah revolusi mobiliti hijau yang kini menjadi realiti. Meskipun elektrik, model ini mampu menjana 408 kuasa kuda dan tork mencecah 760Nm dengan pecutan dari sifar ke 100 km/sejam (km/j) dalam tempoh 5.1 saat dan kelajuan maksimum sekitar 180 km/j.

Teknologi EQ juga kini dibangunkan dengan sistem pemanduan baharu iaitu ‘powertrains’ elektrik (eATS) dan bateri adalah binaan yang khusus buat model jenama ini.

RUANG dalaman elegan.

Sistem ini juga dibina pada gandar hadapan dan belakang bagi menjanjikan karakter pemanduan pacuan semua roda yang menyalurkan kuasa tork dialirkan dengan efisien bergantung pada keperluan pemanduan.

Untuk lebih kepuasan, lima mod pemanduan boleh dipilih iaitu Comfort, Eco, Max Range, Sport dan Individual bagi disesuaikan dengan keperluan.

Melalui pengecasan soket domestik, ia mengambil masa sekitar 11 jam untuk dicas, namun menerusi pengecas pantas DC Mercedes-Benz Wallbox Home, ia hanya mengambil masa sekitar 40 minit.

Generasi baharu bateri lithium-ion dengan 385 sel yang terletak di bahagian lantai kenderaan di antara dua gandar itu menyalurkan kuasa 405 voltan dengan kapasiti 230 Ah yang akan dijana semula ketika EQC ini bergerak melalui motor elektrik yang bertindak sebagai generator.

Selari sebagai model ‘Kepintaran Elektrik’ ia turut dilengkapi sistem infotainmen Mercede-Benz User Experience (MBUX) sebagai ciri standard menawarkan ciri Kecerdasan Buatan (artificial intelligence).

Ia mencipta emosi yang menghubungkan antara pemandu, kenderaan dan penumpang dengan kawalan pada dua skrin sesentuh bersaiz 10.25 inci melalui fungsi arahan suara.

Sebagai model mewah, ruang dalamannya dihiasi dengan 64 warna suasana mengikut kesesuaian dan mod pemandu serta sistem bunyi berkualiti tinggi Burmester.

#vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 6:00 AM