Lizam Ridzuan


UNTUK pasaran global, kenderaan jenama Kia berada pada kedudukan ke-71 dalam carta Interbrand sebagai Jenama Global Terbaik 2018 dengan nilai mencecah kira-kira RM29 bilion.

Ia popular dan menjadi pilihan ramai terutama di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) bagi kegunaan seisi keluarga kerana ketahanan dan prestasi enjin serta menampilkan rekaan generasi baharu yang jauh lebih moden.

‘Rupa’ Kia itu adalah hasil sentuhan bekas ketua perekanya dari Jerman, Peter Schreyer yang mengangkat reka bentuknya setanding jenama antarabangsa yang lain.

Di Malaysia, penerimaan jenama Korea juga semakin diterima baik dengan pengenalan model yang bersesuaian mengikut permintaan pembeli di negara ini.

Bagi merasai kelebihan yang dijanjikan kenderaan jenama Kia, VROOM Metro Ahad berpeluang memandu uji Kia Sportage daripada varian 2.0D GT-Line yang dilancarkan ke pasaran pada tahun lalu.

Sportage adalah model yang paling laris di Eropah untuk jenama Kia, mula memasuki pasaran Malaysia pada awal 2000 selaku kenderaan aktif dan ranggi pada harga kompetitif ketika mana pilihan segmen SUV masih kurang dan harga jualan model lain, terutama dari Jepun adalah lebih tinggi.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C generasi keempat ini menampilkan sentuhan kemasan luaran yang lebih sporty terutama pada bahagian lampu hadapan LED automatik dengan fungsi 'Escort' serta lampu kabus berkonsepkan bentuk kiub ais yang unik serta jelas pencahayaannya.

Bampar hadapan dengan gril signatur Kia sangat menarik, antara lain adunan rekaan yang tampak luas jika dilihat dari arah hadapan, serta garisan krom menambah ciri premium model ini.


REKAAN hadapan dengan gril signatur Kia.

Lampu belakang LED sehingga ke sisi dan menjalari ke bahagian pintu ruang but, spoiler bahagian atas, antena sirip jerung, serta logo GT-Line dengan bahagian belakang bampar serta 'difusser' menampung dua ekzos, sungguh menawan pada mata penulis.

Varian ini juga dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19 inci GT-Line dua tona dengan saiz tayar 245/45 serta tayar simpanan saiz yang sama.

Rak besi pada bumbung sebagai opsyen menambah kelengkapan tambahan seperti kotak simpanan atau membawa basikal bagi tujuan gaya hidup aktif atau sekadar beriadah pada hujung minggu.

Jika dilihat dari segi saiz, ia sepanjang 4,480 milimeter (mm), lebar 1,855mm dan tinggi 1,655mm walaupun dilihat seakan kompak, namun menawarkan ruang dalaman yang selesa serta fleksibel bagi memenuhi keperluan seisi keluarga.


RUANG dalaman elegan.

Kerusi kulit dua tona, dengan sarana lapan larasan elektronik untuk pemandu dan penumpang hadapan, sokongan lumbar, serta kerusi belakang boleh dijatuhkan untuk nisbah lipatan 60:40 menjadikan ruang dalaman yang fleksibel.

Pada papan pemuka dipasang dengan material lembut serta sistem infotainmen skrin sesentuh dengan fungsi radio, MP3/MP4, Bluetooth, panggilan telefon, kamera undur bersaiz tujuh inci.

Pada pandangan penulis, sistem ini boleh ditambah baik 'interface' resolusi tinggi yang lebih menarik serta pelbagai fungsi lain yang kebanyakan pengeluar sudah menjadikannya sebagai ciri standard.

Bagi pemandu pula, disediakan gabungan kluster meter analog dan TFT LCD bersaiz 4.2 inci untuk maklumat berkaitan jarak pemanduan dan penggunaan bahan api.


‘DIFFUSER’ tambah gaya prestasi

Pada konsol tengah, selain tuil gear balutan kulit yang selesa untuk digenggam, ada butang mod pemanduan, brek parkir elektronik, pengaktifan amaran parkir, pengecas telefon pintar tanpa wayar, pengecas USB (satu di hadapan dan dua di belakang) dan 12V juga disediakan pada bahagian hadapan.

Paling memikat hati penulis sudah tentu prestasi enjin diesel yang ditawarkan dengan 1,995 cc Suntikan Terus Common Rail (CRDi) VGT HLA yang menghambur kuasa kuda 185 ps pada 4,000 rpm dan daya tork maksimum 400Nm pada 1,750 hingga 2,750 rpm melalui kotak gear transmisi kelajuan Penukar Tork.

Melalui tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport, ia boleh disesuaikan dengan tujuan dan kepuasan yang ditawarkan dan bagi penulis, sudah tentu mod Sport menjadi pilihan bagi merasai kuasa Sportage yang sebenar.

Prestasi dan keselesaan pacuan roda hadapan (FWD) ini sangat menakjubkan termasuk pengendalian kenderaan yang stabil pada pelbagai kelajuan terutama ketika memecut dapat penulis rasakan sewaktu memandu Sportage ini.

Sistem gantungan hadapan MacPherson Strut dan belakang dengan multi-link adalah kombinasi terbaik dalam menjanjikan prestasi dan keselesaan gaya premium pada sebuah SUV membantu mengurangkan Bunyi, Gegaran dan Kekasaran (NVH).

Kapasiti bahan api juga antara kelebihan utama model ini dengan tangki 62 liter membolehkan ia bergerak sehingga 700 kilometer (km) bergantung cara pemanduan, muatan dan faktor geografi.

Sistem keselamatan terbaik disediakan seperti enam beg udara meliputi bahagian hadapan dan sisi, Amaran Pelanggaran Titik Buta, Kawalan Bantu Mula-Bukit (HAC), Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) melalui Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

Secara keseluruhan penulis berpendapat Kia Sportage 2.0D GT-Line ini bukan sekadar satu lagi SUV di pasaran sebaliknya diperlengkapkan ciri prestasi, keselesaan dan praktikal terutama pada ruang dalamannya.

Enjin diesel, walaupun kurang menjadi pilihan kebanyakan pembeli, menjanjikan prestasi dan penggunaan bahan api yang efisien sesuai bagi perjalanan dalam bandar atau jarak jauh.

Warna ditawarkan ialah Hitam Cherry, Biru Mercury, Merah Fiery dan Putih Snow Pearl. Demi kelegaan dan keyakinan pemilik, 48 pusat servis dan jualan Kia Malaysia tersedia di seluruh negara.

Untuk pasaran Malaysia, dua varian ditawarkan iaitu 2.0X dengan enjin petrol pada harga RM126,888 dan 2.0D GT-Line pada harga RM139,888 (atas jalan tanpa insurans) serta jaminan pengeluar lima tahun tanpa had perbatuan ditawarkan. #vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 11:25 AM