TAMPIL menyerlah sebuah SAV mewah.
Lizam Ridzuan

LUAS, mewah dan berprestasi adalah ciri BMW X7 baharu yang diperkenalkan ke pasaran tempatan baru-baru ini.

Melalui varian BMW X7 xDrive40i Pure Excellence yang juga kenderaan dalam segmen ‘Sports Activity Vehicle’ (SAV), ia didatangkan dengan sentuhan kemewahan yang menjadi tanda aras terkini untuk segmen sebegitu.

Ketua Komunikasi Korporat BMW Malaysia, Sashi Ambi berkata, SAV ini dibangunkan melalui kejuruteraan serta kesenian terperinci selain inovasi termaju untuk pengalaman pemanduan terbaik.

“X7 adalah keluarga baharu BMW X yang paling besar dengan tujuh tempat duduk.

“Ia dikemaskan dengan suasana mewah pada setiap barisan kerusi,” katanya ketika pelancaran.


PALING besar dalam keluarga BMW X.

Dijana enjin 2,998cc TwinPower Turbo enam silinder selari petrol dengan pengecas turbo TWin Scroll, ia mampu menjana kuasa 340hp pada 5,500 hingga 6,500 rpm dan tork maksimum 450Nm pada 1,500 hingga 5,200 rpm.

Untuk kotak gear, ia didatangkan dengan transmisi lapan kelajuan Steptronic dan mampu mencapai kelajuan tertinggi sehingga 245 kilometer/jam (km/j).

Bahagian luaran, X7 ini dipadankan dengan rim aloi 21 inci corak jejari-Y 753 dua warna dengan tayar bersaiz 285/44.

Selain bumbung cermin panorama ‘Sky Lounge’, untuk tampil lebih aktif, ia dipasang dengan rel bumbung aluminium.


CIRI DNA BMW X sporty.

Gril hadapan dengan bentuk ginjal mendominasi rekaan serta elemen krom sebagai gaya mewah yang diterapkan.

Ruang dalaman gabungan material berkualiti tinggi Anthracite, kemasan kayu berkilau serta pendingin udara automatik lima zon kawalan sistem ketersambungan pakej ‘BMW Connected’ dengan pembesar suara premium ‘Harman Kardon’ menjadi pelengkap kepada barisan kemewahan yang ditawarkan.

Untuk pasaran Malaysia, BMW X7 xDrive40i Pure Excellence dijual pada harga RM888,800 dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan dan Servis Berjadual Percuma dengan Program Waranti Tayar. #vroomHM.


RUANG dalaman luas dan mewah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 7:00 AM