Lizam Ridzuan


ANDAI bergelar hartawan suatu hari nanti, antara kenderaan yang penulis idamkan ialah Ferrari GTC4Lusso T yang dipandu uji untuk Vroom Metro Ahad kali ini.

Ia tidak saja menyerlahkan status dan gaya, malah sesuai untuk kegunaan harian serta boleh memuatkan empat penumpang dengan selesa.

Meskipun ini bukan kali pertama memandu Ferrari, rasanya sedikit berbeza jika dibandingkan dengan model terdahulu.


GTC4LUSSO T selesa dan berprestasi. FOTO Azhar Ramli

Sememangnya Ferrari mengekalkan DNA dua pintunya dan model ini menerima sentuhan konsep ‘Grand Touring’ yang tidak saja menjanjikan prestasi malah penuh dengan ciri praktikal.

Melihat pada reka bentuk model ini, ia diinspirasikan daripada segmen kenderaan ‘shooting brake’ coupe dengan bayangan ‘fastback’ menjadikan ia kelihatan unik.

Pada bahagian hadapan, tampil gaya maskulin dengan gril tunggal besar yang berfungsi bukan sekadar aliran udara untuk sistem penyejukan malah membantu menambah kuasanya.


SIRIP sisi gaya sporty. FOTO Azhar Ramli

Sebagai ‘supercar’ praktikal, ia juga direka dengan lengkungan bumbung yang lebih rendah, namun masih lagi selesa terutama buat penumpang belakang.

Padanan rim aloi bersaiz 20 inci 245/35 di hadapan dan 295/35 di belakang, berpadanan dengan panjang keseluruhan model ini iaitu 4,922 milimeter (mm) dengan kelebaran 1,980mm serta ketinggian 1,383mm.

Ciri lain menarik ialah ‘sirip’ tepi elemen sporty, empat saluran ekzos, pintu ketiga pada bahagian but dan lampu belakang berkembar signatur Ferrari seterusnya menyerlahkan gaya prestasi ‘Prancing Horse’ ini.


BUT seluas 450 liter. FOTO Azhar Ramli

Memasuki ruang dalam kabin adalah sesuatu yang menarik untuk dikongsi kerana ia direka gaya kontemporari serta dalam kelas tersendiri.

Mewah dan sporty adalah gabungan yang menjadikan GTC4Lusso T yang pertama didatangkan dengan rekaan dua kokpit.

Rekaan ini membolehkan pemandu dan penumpang berkongsi pengalaman memandu yang sama melalui skrin individu.

Ia dipisahkan melalui konsol tengah yang juga berfungsi sebagai perehat tangan dilengkapi butang mengundur, auto atau manual (transmisi) serta lampu kecemasan yang direka semula untuk disesuaikan dengan model ini.


BOLEH memuatkan dua penumpang belakang. FOTO Azhar Ramli

Stereng gentian karbon diinspirasikan daripada Formula 1 (F1) dengan fungsi utama kenderaan padanya iaitu untuk menghidupkan enjin, mod pemanduan, lampu isyarat dan tuil gear membolehkan anda merasai gaya pemandu profesional.

Kerusi tempat duduk hadapan konsep ‘bucket’ kulit dan penumpang belakang khusus untuk dua orang dengan perehat tangan dan corong pendingin udara boleh laras menjadikan ia sesuai untuk perjalanan jauh.

Ruang but seluas 450 liter yang boleh menjadi 800 liter dengan kerusi belakang direbahkan membolehkan jentera ini membawa barangan keperluan serta beg.


RUANG barang fleksibel sehingga 800 liter. FOTO Azhar Ramli

Bagi memuatkan barangan berdimensi panjang, kerusi belakang boleh direbahkan menjadikan GTC4Lusso T ini ‘supercar’ yang fleksibel.

Sistem multimedia dan hiburan berdefinisi tinggi (HD) dengan skrin sesentuh 10.25 inci antara yang ada padanya.

Ia juga dilengkapi fungsi navigasi, radio dan ketersambungan aplikasi Apple CarPlay dan Bluetooth serta untuk pemandu, skrin khusus dengan tiga kluster analog dan digital untuk kemudahan maklumat perjalanan.


ENJIN 3.9 liter V8 turbo berkembar. FOTO Azhar Ramli

Paling menarik dalam sesi pandu uji ini ialah kepuasan pemanduan yang dirasakan dan penulis mudah menyesuaikan diri dengan jentera dan menikmati pemanduan penuh gaya.

Dijana enjin pertengahan hadapan 3.9 liter V8 pengecas turbo berkembar, ia menghamburkan kuasa 602 PS pada 7,500 rpm dan daya tork maksimum 760 Nm pada 3,000 hingga 5,250 rpm.

Sebaik memulakan pemanduan, dapat dirasakan kuasa yang dialirkan mencurah-curah, namun ia mudah dikawal mengikut keperluan penggunaan.


SKRIN untuk penumpang hadapan. FOTO Azhar Ramli

Ini kerana, melalui hasil pacuan stereng roda-belakang (4WS) dan peredam kawalan elektronik yang disepadukan dengan Kawalan Gelinciran Sisi (SSC3), ia menjanjikan pengendalian lebih responsif terutama ketika mengambil selekoh.

Lima mod pemanduan iaitu Ice, Wet, Comfort, Sport dan ESC off membolehkan ia disesuaikan dengan prestasi atau keselesaan serta keadaan cuaca di negara ini yang sering hujan adalah bertepatan dengan fungsi yang disediakan.

Pemanduan berprestasi dirasakan sungguh selesa dengan dwi-klac tujuh kelajuan daripada gear ketiga hingga tujuh, jumlah tork yang disalurkan meningkat sehingga maksimum apabila mencapai kedudukan gear paling tinggi.


RIM bergaya 20 inci dengan brek karbon seramik. FOTO Azhar Ramli

Secara keseluruhan model Ferrari GTC4Lusso T ini adalah ‘supercar’ dengan ciri unik serta praktikal yang pasti memukau mata memandang ketika di jalanan.

Tidak sekadar menyerlahkan status malah ia sesuai bagi kegunaan sekeluarga dengan muatan empat tempat duduk yang selesa.

Ciri keselamatan terbaik melalui Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS) membolehkan jentera ini mengesan titik buta, brek automatik dan pancaran lampu tinggi automatik boleh laras. Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) serta angkup brek karbon seramik, empat beg udara dan bunyi signatur Ferrari melengkapi adunan mewah, prestasi, selesa dan selamat pada sebuah jentera mewah.


REKAAN ‘shooting brake’ dengan bayangan ‘Fastback’. FOTO Azhar Ramli

Untuk pasaran Malaysia, Ferrari GTC4Lusso T dijual daripada harga RM1,078,000 dengan tiga tahun jaminan dan tujuh tahun servis percuma melalui pengedar sahnya di negara ini, Naza Italia Sdn Bhd.

SPESIFIKASI

FERRARI GTC4LUSSO T

ENJIN: 3.9 liter V8 pengecas turbo berkembar

KUASA MAKSIMUM: 602 PS pada 7,500 rpm

TORK MAKSIMUM: 760 Nm pada 3,000 hingga 5,250 rpm.

TRANSMISI: Tujuh kelajuan dwi-klac

KAPASITI TANGKI BAHAN API: 91 liter

CIRI KESELAMATAN: Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS), ABS,

4 beg udara

HARGA: RM1,078,000 (atas jalan tanpa

insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:00 AM