VARIAN tertinggi Hilux.
Lizam Ridzuan


PASARAN pacuan empat roda kian berkembang dengan banyak pilihan ditawarkan melalui model yang menarik dengan ciri umpama kenderaan utiliti sukan (SUV).

Untuk itu, UMW Toyota (UMWT) sebagai pengedar utama kenderaan Toyota di Malaysia memulakan separuh kedua 2019 dengan memperkenalkan Toyota Hilux 2.8 Black Edition bagi menggantikan Hilux 2.8 L-Edition.

Sebagai pacuan empat roda yang menonjol dengan kemasan terbaharu, ia diberi sentuhan warna luaran gabungan antara hitam dan kelabu gelap serta elemen tona hitam berkilat pada pemegang pintu, perumah lampu kabus, cermin sisi selain rim 18-inci.


CERMIN sisi hitam berkilat.

Kelabu gelap diguna pada pelindung bampar dan bahagian gril serta gabungan warna hitam untuk menjadikannya lebih menonjol.

Selain itu, buat ruangan dalaman, sistem hiburan dan maklumatnya diberi sentuhan terkini dengan skrin 6.75 inci lebih jelas dengan ciri Android Auto dan Apple CarPlay sebagai ciri standard.

Turut diperkenalkan ialah Sistem Telematiks Kenderaan (VTS) melalui yuran langganan percuma selama tiga tahun dengan pakej insurans Toyota.

Ciri terbaharu yang ditambah termasuk perakam video digital belakang dan hadapan yang sangat berguna sebagai bukti kukuh andai berlaku insiden tidak diingini.


RUANG sejukan.

Juga boleh disertakan sekali melalui pembelian ialah ciri keselamatan Monitor Titik Buta (BSM) pada cermin sisi serta ciri Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Hilux 2.8 Black Edition dijual pada harga RM139,888 (atas jalan tanpa insurans).

Lain-lain varian yang ada termasuk 2.4 Single Cab M/T, 2.4 Single Cab M/T, 2.4 STD M/T, 2.4 G M/T, 2.4 G A/T dan 2.4 L-Edition A/T, yang dijual pada harga antara RM90,000 hingga RM124,888.

Selain Hilux, Fortuner dan Innova juga menerima sentuhan peningkatan melalui ciri sistem hiburan dan maklumat baharu serta perakam video digital.


EDISI Black Edition.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:15 AM