Lizam Ridzuan


SEBAIK Mini generasi kedua diperkenalkan pada 2001, ia bukan saja melahirkan model kenderaan moden yang unik, malah mengekalkan DNA asal yang ditambah baik melalui enjin baharu sejak diambil oleh BMW pada 1994.

Jenama Mini yang mula diperkenalkan sejak 60 tahun lalu menawarkan kereta kompak sesuai bagi kegunaan dalam bandar.

Ia juga kenderaan utama masyarakat United Kingdom (UK) satu masa dahulu.

Bagi meneruskan legasi Mini, pelbagai model diperkenalkan bagi disesuaikan dengan keperluan pengguna.

Antaranya Mini Cooper S lima pintu dengan aksesori John Cooper Works (JCW) Line yang dipandu uji Vroom Metro Ahad, kali ini.

Model terbaharu generasi ketiga Mini ini dilancarkan ke pasaran tempatan tahun lalu dan penulis diterbangkan ke kepulauan Mallorca di Sepanyol oleh Mini Malaysia bagi mengujinya.

Setahun selepas itu, kini barisan model terbaharu Mini sudah pun ‘mendarat’ di negara ini dengan beberapa ciri peningkatan pada bahagian luaran dan dalaman.


LOGO Mini yang diperbaharui dengan ciri dua dimensi. FOTO Saifullizan Tamadi

Paling ketara perbezaannya adalah logo Mini yang diperbaharui dengan ciri dua dimensi menghiasi bonet dan pintu but serta pada stereng dan konsol tengah untuk gaya lebih segar.

Pada bahagian luaran, lampu hadapan bercirikan Bi-LED bulat dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan isyarat kemasan hitam piano.

Bampar dengan gril rekaan terkini gabungan hitam dan krom serta logo S menyerlahkan lagi ciri prestasi Mini.

Lampu belakang bercorak bendera Union Jack serta rim aloi 17 inci hitam daripada JCW Track Spoke yang terkenal dengan talaan prestasi untuk kenderaan Mini turut menambah sentuhan sporty.

Dua garisan di atas bonet menyerlahkan ciri sporty dengan sentuhan warna hitam pada cermin sisi, tiang-A dan C serta bumbung seterusnya menimbulkan visual elemen terapung.

Spoiler aerodinamik JCW dan bampar belakang rekaan baharu dengan eksoz berkembar pada bahagian bawah terletak di tengah dan logo Cooper S pada hujung pintu menambahkan lagi adunan keistimewaan model ini.


RUANG dalaman unik. FOTO Saifullizan Tamadi

Bahagian dalamannya amat penulis gemari kerana Mini menawarkan rekaan berbeza serta tampil unik.

Mata pasti tertumpu kepada skrin sesentuh Mini Visual Boost bersaiz 6.5 inci berbentuk bulat penuh pada papan pemuka tengah dengan warna ceria.

Turut dilengkapi pelbagai fungsi seperti sistem ketersambungan Bluetooth selain ‘Mini Connected’ untuk telefon pintar.

Skrin ini juga mempunyai paparan kamera undur, peta navigasi, panggilan kecemasan pintar, radio dan larasan lain untuk kenderaan.

Menampilkan kemasan ‘Leather Cross Punch Carbon Black’ dan ‘Black Chequered Interior Style’ serta tempat duduk kulit selain gabungan fabrik.

Bahagian belakangnya sesuai untuk dua dewasa membolehkan ia tampil lebih praktikal dengan jatuhan kerusi 60:40 untuk disesuaikan dengan keperluan muatan but 278 liter sehingga 941 liter.

Stereng pula tampil dengan kemasan JCW. Ia dipenuhi pelbagai fungsi seperti kawalan audio, menjawab panggilan telefon, sistem pelayaran dan keselamatan.


LARASAN bagi sistem multimedia. FOTO Saifullizan Tamadi

Panel meter gabungan analog dan digital LCD hadir dalam bentuk bulat.

Ia kesinambungan ciri-ciri lain yang terdapat untuk ruangan pada panel pintu.

Selain butang pada konsol tengah untuk larasan pada sistem multimedia, gabungan menarik lain turut membabitkan penyaman udara dan suis menghidupkan enjin ­ seakan-akan kokpit pesawat.

Paling utama ialah tuil gear rekaan baharu tujuh kelajuan ‘steptronic’ klac berkembar lancar sama ada untuk kegunaan secara automatik dan manual yang akan kembali kepada kedudukan gear P sebaik memberhentikan kenderaan.

Lampu suasana yang terdapat di dalamnya membolehkan ia dipilih mengikut kesesuaian mod pemiliknya.

Untuk pemanduan, sudah pasti ciri pengendalian ala go-kart menjadikan Mini seronok untuk dipandu terutama ketika melewati selekoh atau pemanduan dalam bandar.


ENJIN 2.0 liter Twinpower Turbo. FOTO Saifullizan Tamadi

Dijana enjin 2.0 liter empat silinder ‘Mini Twinpower Turbo’, ia cukup tangkas dan responsif malah pada masa sama, menawarkan penggunaan bahan api efisien.

Kotak gear baharu tujuh kelajuan sangat lancar menyalurkan kuasa dengan tiga mod pemanduan iaitu ‘green’, ‘sport’ dan ‘mid’ bagi disesuaikan dengan keperluan dan penulis sudah pasti gemarkan mod sport.

Melalui bekalan kuasa 192hp pada 5,000 rpm dan tork maksimum sehingga 280Nm pada 1,350 rpm, ia mampu membuatkan Mini Cooper S ini mencapai kelajuan sehingga 235 kilometer/sejam (km/j) dan daripada sifar ke 100 km/j dalam tempoh 6.8 saat.

Untuk tangki bahan api 44 liter, ia mencatatkan sekitar 5.6 liter untuk setiap 100km serta bergantung kepada kapasiti muatan dan faktor geografi yang dilaluinya.

Secara keseluruhan, penulis berpandangan Mini Cooper S lima pintu ini lebih praktikal dengan ruang yang ditawarkan sehingga 941 liter berbanding 731 liter (tiga pintu) serta boleh memuatkan empat dewasa dengan selesa.

Sistem keselamatannya pula adalah terbaik dengan enam beg udara pintar pada bahagian hadapan sisi dan lutut yang dikawal secara elektronik melalui alat pengesan mengikut keperluan impak kepada penumpang.

Ciri keselamatannya turut tampil dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dan Kawalan Kestabilan Dinamik (DCS) untuk pengendalian lebih stabil terutama pada selekoh serta permukaan jalan basah.

Suspensi MacPherson strut dapan dan multi-link belakang menawarkan keselesaan dan kemantapan pengendalian seakan-akan go-kart dan sistem Brek Anti-Kunci (ABS) untuk memberhentikan kenderaan dengan lebih selamat.

Elemen keunikan seperti lampu projektor logo Mini, kemasan ambang pintu LED, penutup sisi dan lampu suasana menjadikan Mini sebagai kenderaan kompak premium dalam kelas tersendiri.

Diimport sepenuhnya dari Oxford, UK, MINI Cooper S 5 Pintu dijual pada harga RM259,888 dengan empat tahun jaminan tanpa had perbatuan. #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 3:25 PM
KEKAL DNA Mini. FOTO Saifullizan Tamadi