Lizam Ridzuan

KALI terakhir model ini dijual di pasaran tempatan ialah sekitar 2006 sehingga 2012 melalui versi import sepenuhnya (CBU) dari Jepun yang terjual lebih 1,000 unit.

Selepas tujuh tahun, model hatchback segmen B itu kini dilancarkan semula dalam pasaran tempatan melalui pengenalan Toyota Yaris Serba Baharu yang dilancarkan pada awal tahun ini.

Vroom Harian Metro berpeluang memandu uji Yaris daripada varian G iaitu yang tertinggi daripada tiga yang ditawarkan.

Menurut UMW Toyota sebagai pengedar utama kenderaan Toyota di negara ini, model ini diperkenalkan semula hasil maklum balas pengguna muda yang lebih gemar kepada model hatchback.


HATCHBACK rekaan muda dan ranggi. FOTO Faiz Anuar

Melalui rekaan luarannya, ia menampilkan gaya lebih sporty dan berkongsi platform yang sama dengan model Vios cuma yang membezakan ia adalah pada bahagian belakang.

Rekaan bampar meskipun seakan-akan sama dengan model Vios, namun ia dibezakan pada corak bahagian bawah yang sporty dan mengekalkan imej ‘catamaran’ yang juga ada pada model-model terbaharu Toyota.

Lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang (DRL) yang terpisah serta lampu kabus pada bahagian sisi menjadikan pencahayaan lebih jelas pada sebarang cuaca.


REKAAN hadapan gaya ‘catamaran’. FOTO Faiz Anuar

Ciri luaran yang menjadikan Yaris menarik ialah bahagian bumbung visual ‘terapung’ pada tiang B dan C yang diberi sentuhan warna gelap serta antena radio sirip jerung untuk imej moden.

Rim aloi 16 inci (15 inci untuk varian J) dilihat sepadan dengan rekaan jejari melengkung dua tona dengan saiz tayar 195/50.

Pada bahagian belakang, dengan spoiler sebagai satu pakej Aerokit, ia menyerlahkan ciri hatchback sporty namun ia adalah opsyen kepada pembeli.


LAMPU belakang melintang tambah sporty dan imej bahagian bumbung visual ‘terapung’. FOTO Faiz Anuar

Ia juga ditawarkan pada bahagian sisi dan hadapan dengan sentuhan warna merah.

Pintu but mudah dibuka dengan lampu belakang dalam kedudukan melintang adalah kesinambungan imej terkini yang direka untuk model ini.

Cermin sisi dengan lampu membelok larasan elektrik yang secara automatik akan terlipat sebaik kenderaan dikunci memudahkan urusan terutama dalam kawasan parkir sempit.

Menjengah ke ruang dalaman, penggunaan fabrik berkualiti tinggi untuk tempat duduk memang sesuai buat golongan sasar.

Papan pemuka dikemaskan dengan elemen krom serta penyaman udara automatik.


SISTEM multimedia dengan kamera undur. FOTO Faiz Anuar

Turut disediakan Sistem DVD-AVX dengan skrin sesentuh tujuh inci berserta ketersambungan pencerminan USB, Monitor Pandangan Panorama (PVM) 360 darjah serta ‘bird’s eye view’.

Ciri ini sangat membantu untuk kemudahan parkir serta melihat keadaan sekitar jika ada halangan.

Sistem multimedia pula mudah disambung ke aplikasi ‘Spotify’ dan lain-lain menjadikan perjalanan lebih menarik dengan irama pilihan tersendiri.


PERAKAM video digital. FOTO Faiz Anuar

Untuk pemandu, panel meter Optitron yang mudah dilihat dengan Paparan Maklumat Pelbagai (MID) TFT ‘membelah’ meter analog utama.

Ia seterusnya menyerlahkan rekaan terkini untuk butiran bahan api serta jarak penggunaan dan fungsi Eco yang digunakan.

Stereng pelbagai fungsi audio, perakam video DVR, cermin pandang belakang electrochromic, ruang kargo bersesuaian dan kerusi belakang dengan nisbah lipatan 60:40 adalah ciri praktikal sesuai untuk orang muda.


KERUSI belakang selesa. FOTO Faiz Anuar

Mengenai pemanduan Yaris Serba Baharu ini didatangkan dengan enjin bersesaran 1,496 cc DOHC dual VVT-i yang menjana kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork 140Nm pada 4,200 rpm.

Melalui kotak gear CVT dengan tujuh kelajuan Sport Sequential Shiftmatic Mode, ia membolehkan penulis mencuba gear manual dan automatik yang ditawarkan dengan sepenuhnya.

Selain normal, Yaris juga menawarkan mod pemanduan Eco dan Sport bagi disesuaikan dengan cita rasa pemiliknya. Mod ini disediakan untuk penjimatan atau prestasi.


CIRI praktikal Yaris. FOTO Faiz Anuar

Melalui tangki bahan api 42 liter, ia mampu menjangkau 400 kilometer (km), bergantung pada corak permukaan jalan raya, gaya pemanduan dan muatan kenderaan.

Secara keseluruhan, Toyota Yaris Serba Baharu menawarkan jentera sesuai untuk golongan muda yang mahukan gaya serta ciri praktikal dan teknologi terkini yang meliputi elemen sebagai 360-T (Safe-T, Connectivi-T dan Guaran-T).

Melalui suspensi hadapan MacPherson strut dan ‘torsion beam’ pada bahagian belakang, ia memberikan pengendalian lebih baik terutama ketika selekoh dengan besi penstabilan yang turut disediakan untuk keselesaan sepanjang perjalanan.

Ciri keselamatannya yang menerima Anugerah 5 Bintang NCAP Asean membabitkan tujuh beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan de­ngan Kawalan Cengkaman (TRC), Bantu Mula-Bukit (HSA) dan Monitor Titik Buta (BSM).


ENJIN 1.5 liter dual VVT-i. FOTO Faiz Anuar

Ciri lain ialah Amaran Trafik Melintas Belakang, DVR, Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) serta Amaran Pelepasan Laluan (LDW).

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Citrus Mica Metallic, Red Mica Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Yaris dijual pada harga RM70,888 (1.5J), RM76,888 (1.5E) dan model pandu uji ini RM83,888 (1.5G) dengan jaminan lima tahun pengeluar tanpa had perbatuan. #vroomHM.

TOYOTA YARIS SERBA BAHARU

• ENJIN: 1,496 cc DOHC dual VVT-i

• KUASA MAKSIMUM: 107 PS pada 6,000 rpm

• TORK MAKSIMUM: 140Nm pada 4,200 rpm.

• TRANSMISI: Tujuh kelajuan CVT

• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 42 liter

• CIRI KESELAMATAN: Tujuh beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan dengan Kawalan Cengkaman (TRC), Bantu Mula-Bukit (HSA), Monitor Titik Buta (BSM) serta Amaran Trafik Melintas Belakang, DVR dan Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) serta Amaran Pelepasan Laluan (LDW)

• HARGA: RM83,888 (1.5G)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 7:30 AM