HONDA Civic Baharu kini dibuka untuk tempahan
Mohd Razlan Salleh


HONDA Malaysia secara rasmi membuka tempahan untuk model sedan popularnya, Civic Baharu yang kini dilengkapi dengan teknologi keselamatan termaju Honda SENSING.

Sedan segmen C generasi ke-10 itu adalah model yang paling laris di Malaysia dengan lebih daripada 50,000 unit dijual sehingga Ogos lalu.

Sejak dilancarkan pada 2016, Civic menguasai 82 peratus pasaran segmen C pada Julai 2019.

Hadir dengan rekaan bergaya selain prestasi dan teknologi membantu Honda Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar automotif bukan nasional nombor satu di negara ini.

Honda SENSING merangkumi ciri seperti Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC) dengan Kemampuan Mengikut Kelajuan Rendah (LSF), Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Laluan (LKAS), Sistem Mitigasi Keluar Jalan (RDM), Amaran Penukaran Laluan (LDW), Bantuan Suluh Tinggi Automatik (AHB) dan sistem kamera Honda LaneWatch.

Terdahulu, Civic Baharu masih mengekalkan nadi 1.5L VTEC Turbo menawarkan kuasa maksimum 173 PS dan tork maksimum 220Nm, yang setara prestasi enjin berkuasa 2.4L.

Enjin ini dipadankan bersama Teknologi Earth Dream Honda CVT yang menawarkan prestasi mengujakan selain kecekapan bahan api.

Perubahan Civic Baharu lebih ketara dengan signatur 'Honda Wing' berwarna hitam berbanding kemasan krom pada model terdahulu.

Selain daripada itu, bahagian bumper juga menerima kemasan yang lebih lebar dengan trim berwarna hitam di bahagian lampu kabus hadapan.

Manakala ruang belakang dilengkapi spoiler dan bumper belakang dikemas kini dengan kemasan krom di bahagian bawah.

Pelengkap kepada varian ini adalah rim aloi rekaan baharu bersaiz 18 inci berwarna gelap.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, model Civic terus memegang kedudukan kepimpinan dalam segmen C dengan lebih 133,000 unit terjual di negara ini sejak diperkenalkan pada 2001.

“Model ini mencatat sejarah apabila mencapai pengeluaran ke 130,000 pada Mei lalu dan kami yakin Civic Baru bukan sahaja akan terus memenuhi namanya, tetapi juga menawarkan penampilan lebih sporty dan dinamik.

“Civic Baharu adalah model ketiga pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) yang menawarkan ciri Honda SENSING.

“Teknologi keselamatan termaju generasi akan datang ini menjadi pakej lengkap kepada pelanggan di Malaysia,” katanya.

Civic Baharu ini bakal dilancarkan pada suku keempat tahun ini dan tempahan boleh dibuat di semua 98 pengedar sah Honda Malaysia seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 8:33 PM