Lizam Ridzuan


UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) memperkenalkan jentera ikonik kereta sportsnya melalui model Toyota GR Supra Serba Baharu, hari ini.

Model generasi kelima itu dikuasakan dengan enjin 3.0 liter pengecas turbo enam silinder sebaris untuk kuasa kuda 340 PS dan tork maksimum 500Nm.

Ia dipadankan dengan rim aloi 19 inci sebagai ciri standard dan mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer/jam (km/j) dalam tempah 4.3 saat yang dijana kotak gear 8-kelajuan talaan sport.

Dibangunkan untuk pemandu berprestasi, ruang dalaman selesa untuk perjalanan jarak jauh seperti pendingin hawa dua zon, tempat duduk kulit sport larasan elektrik, sokongan lumbar, Heads-Up Display dan 12 pembesar suara JBL.

Timbalan Presiden UMW Toyota, Akio Takeyama berkata, GR Supra Serba Baharu menawarkan jentera prestasi maksimum mula diperkenalkan pada 1978 dan menjadi pilihan kebanyakan pasukan lumba permotoran.

“Ciri paling penting dibangunkan jurutera kami ialah sistem ekzos menawarkan bunyi berkarakter dan pada masa sama, meningkatkan prestasi enjin,” katanya ketika pelancaran di ibu negara, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden UMWT, Ravindran K, dan pemandu drift negara Tengku Djan Ley.

Lapan pilihan warna ditawarkan dan untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM568,000 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 7:52 PM
PELANCARAN Toyota GR Supra Serba Baharu di Lapangan Terbang Lama, Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli