SYED Zainal Abidin (dua dari kanan) dan Hamilton (dua dari kiri) ketika pelancaran.
Lizam Ridzuan


TAMPIL dengan formulasi baharu, minyak enjin Petronas Syntium dengan CoolTech diperkenalkan ke pasaran tempatan oleh Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM).

Ciri yang membantu prestasi dan mengurangkan kepanasan pada enjin itu juga kini dengan rangkaian produk baharu siri Syntium 7000 Ultimate dengan Petronas Syntium 7000 Hybrid.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad (PDB) Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir berkata, ia adalah produk pertama Petronas yang khusus untuk kenderaan hibrid dibangunkan daripada pasukan perlumbaan Formula Satu (F1) Mercedes AMG Petronas.

“Menjadi rakan teknologi untuk pasukan juara F1 sebanyak lima kali adalah pengalaman penting yang mana prestasi enjin maksimum menjadi fokus paling tertinggi,“Kepakaran jurutera Petronas berjaya menghasilkan teknologi CoolTech yang memastikan kelancaran berterusan walaupun ketika bertekanan tinggi,” katanya ketika pelancaran.

Turut hadir ialah pelumba F1 pasukan Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton.

Hasil teknologi litar itu kini ditawarkan untuk pengguna dalam pemanduan harian yang membantu mengurangkan 50 peratus geseran komponen daripada keperluan standard industri.

Ia juga menambah kelegaan kepada pemilik kenderaan hibrid yang semakin meningkat setiap tahun kerana sistem fungsi Mula/Henti meningkatkan tekanan operasi komponen seperti ‘valve train’ dan aci engkol (crank shaft).

Antara kelebihan lain ialah membantu lebih lapan peratus rintangan haba, serta 15 peratus kurang enapan dan 85 peratus mengurangkan pengoksidaan bagi memberi lebih kemasukan pelincir ke dalam bahagian komponen kritikal enjin.

“Kami sedang meluaskan produk ini ke lebih 1,000 pusat jualan Petronas dan 3,000 bengkel membaiki kenderaan di seluruh Malaysia untuk memudahkan pengguna mendapat produk terbaharu ini,” katanya.

Antara minyak enjin lain ditawarkan oleh Petronas ialah Syntium 7000, Syntium 3000 dan Syntium 3000 E untuk sintetik-penuh dan Syntium 800 (sintetik-semi) serta Syntium 500 (mineral). Untuk hybrid ia dijual pada harga RM295 (empat liter).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:05 AM