Lizam Ridzuan

JIKA diperhatikan daripada generasi pertama sejak diperkenalkan pada 1963, model Porsche 911 kelihatan seakan-akan sama malah mengekalkan rekaan malar segar.

Walaupun selepas 56 tahun, model kereta sport ikonik untuk jenama Porsche itu masih memegang ‘erat’ DNA asal malah sukar untuk membezakan daripada generasi mana ia berasal jika tidak dilihat dengan teliti.

Namun, setiap generasi mempunyai ciri tersendiri sama ada rekaan atau prestasi enjin yang dipertingkatkan.

Vroom Metro Ahad berkesempatan memandu uji model 911 daripada siri 992 sempena acara ‘Sportscar Together Day’ di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini bagi merasai pengalaman dan prestasi jentera ini.


KEKAL DNA 56 tahun.

Model generasi kelapan dilancarkan untuk pasaran Malaysia baru-baru ini adalah refleksi gaya klasik serta gambaran masa hadapan hala tuju rekaan dan teknologi Porsche.

Rekaan luarannya mengetengahkan gaya kontemporari termasuk bampar hadapan baharu dengan fungsi kemasukan udara serta lampu LED empat point dengan pancaran malap yang disepadukan.

Lebar bahagian hadapan yang ditambah 45 milimeter (mm), pembuka pintu tersembunyi serta rim aloi hadapan dan belakang 20 inci dan 21 inci menyerlahkan gaya dinamik sebuah kereta sport.

Paling mudah untuk melihat pembaharuan yang diberikan kepada model ini lampu LED yang merentasi bahagian belakang dan lampu brek ketiga dengan ‘louvres’ menegak yang disatukan dengan cermin belakang.


LAMPU brek ketiga dengan ‘louvres’. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Spoiler belakang 25 peratus lebih lebar malah akan menaik secara automatik pada kelajuan bermula sekitar 90 kilometer/sejam (km/j).

Melalui padanan empat ekzos, kedudukan nombor pendaftaran diubah ke bawah.

Lampu ‘auxiliary’ pula membuatkan kenderaan ini kelihatan lebih rendah manakala lambang Porsche dan nama modelnya yang dihasilkan ala gaya vintaj menawarkan sentuhan minimalis.


SPOILER belakang automatik. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Melihat ke bahagian dalaman, ia kombinasi antara elemen klasik dan moden dengan garis lurus pada bahagian papan pemuka diinspirasikan daripada empat generasi awal 911.

Untuk pemandu, kluster instrumen meter rpm analog bulat di tengah yang diapit oleh empat lagi bulatan dalam skrin beresolusi tinggi dengan saiz tujuh inci tanpa bingkai menyediakan maklumat teknikal kenderaan dan pemanduan.

Turut disediakan di papan pemuka ialah skrin sesentuh bersaiz 10.9 inci dengan sistem infotainmen melalui Pengurusan Komunikasi Porsche (PCM).


EKZOS berkembar gaya sporty.

Ia untuk kemudahan pemandu melaras mod pemanduan dan casis tanpa mengganggu tumpuan pemanduan.

Kerusi balutan kulit selesa untuk pemandu dengan 18 fungsi larasan elektrik dengan tambahan dua untuk di belakang menjadikan ia sesuai buat pemanduan prestasi atau harian.

Stereng generasi baharu dengan pelbagai fungsi termasuk butang mod pemanduan (Pakej Chrono Sport) menjadikan ia selesa untuk pemanduan pada pelbagai kelajuan.

Nadi penting 911 ini ialah enjin. Ia dilengkapi enjin belakang boxer 2,981cc enam silinder pengecas turbo berkembar.


RUANG dalaman elegan dan selesa.

Ia mampu menjana 450 PS pada 6,500 hingga 7,500 rpm dan kuasa tork 530 Nm pada 2,300 hingga 5,000 rpm.

Melalui kotak gear transmisi lapan kelajuan dwi-klac Porsche Doppelkupplung (PDK), model ini mampu mencapai kelajuan maksimum 308km/j (Carrera 4S - 306km/j) yang kini dilengkapi mod pemanduan jalan basah Porsche dan Bantu Penglihatan Malam dengan kamera pengimejan haba.

Ketika memandu di litar, sistem gantungan hadapan daripada suspensi spring-strut McPherson dan multi-link di belakang memberi kawalan serta pengendalian mantap di selekoh panjang khasnya pada kelajuan tinggi.


INSPIRASI meter model klasik 911.

Biarpun dengan tenaga yang ‘melimpah-ruah’, ia dibekalkan dengan sistem brek angkup monobloc aluminium enam injap hadapan dan empat injap pada belakang bagi tujuan keselamatan membrek.

Secara keseluruhan, penulis hanya sempat memandu satu pusingan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) namun ia sudah cukup memberikan gambaran jelas akan keupayaan sebenar jentera ikonik Porsche ini.

Pacuan roda belakang membolehkan ia menghemburkan kuasa pada apa juga rpm dan kawalan lebih baik serta dilengkapi sistem bantu brek dan amaran, sistem henti/mula dan kawalan pelayaran adaptif.


SKRIN sesentuh bersaiz 10.9 inci.

Walaupun dengan ciri prestasi, 911 Carrera dilengkapi elemen keselesaan sesuai bagi pemanduan seharian atau melayan litar pada hujung minggu.

Ruang beg pada bonet menyediakan kapasiti 132 liter sesuai untuk perjalanan ke destinasi hujung minggu.

Tangki bahan api 64 liter dan 67 liter (S dan 4S) pula mencatatkan penggunaan bahan api sekitar sembilan liter untuk setiap 100km.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga bermula RM1.15 juta (Carrera S) pacuan dua roda dan RM1.22 juta (Carrera 4S) AWD dengan jaminan dua tahun tanpa had perbatuan. #vroomHM.


BONET hadapan simpanan barang. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

PORSCHE 911 CARRERA S /4S

• ENJIN: 2,981cc enam silinder pengecas turbo berkembar

• KUASA MAKSIMUM: 450 PS pada 6,500 hingga 7,500 rpm

• TORK MAKSIMUM: 530 Nm pada 2,300 hingga 5,000 rpm

• TRANSMISI: Lapan kelajuan dwi-klac Porsche Doppelkupplung (PDK)

• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 64 liter (S) dan 67 liter (4S)

• CIRI KESELAMATAN: Enam beg udara, Bantu Parkir Hadapan dan Belakang, Kawalan Pelayaran, Bantu Brek dan Amaran, Mod Jalan Basah

• HARGA ATAS JALAN: RM1.15 juta (Carrera S) dan RM1.22 juta (Carrera 4S)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 8:02 AM
GAYA ikonik 911.