MODEL permulaan siri AMG
Lizam Ridzuan


SELAMAT datang ke dunia Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan. Dengan kemampuan memecut daripada 0 ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 4.8 saat, ia secara tidak langsung sudah menunjukkan taringnya.

Pecutan itu dijana enjin 2.0 liter empat silinder pengecas turbo yang menjana kuasa 306 hp dan tork 400 Nm dan varian daripada segmen AMG ini dibawa masuk ke pasaran tempatan melalui pengedar utamanya, Mercedes-Benz Malaysia (MBM).

Melalui pacuan semua roda 4Matic dan kotak gear transmisi 7G dwi-klac ‘Speedshift DCT’, ia menawarkan kelancaran dan cengkaman berterusan dengan kelajuan maksimum sehingga 250km/j.


PAPAN pemuka sentuhan AMG.

Bagi menambah kemantapan pada pengendalian, suspensi daripada Sistem Redaman Adaptif membolehkan fungsi AMG Dynamic Select beroperasi dengan lebih cekap terutama ketika selekoh dan membrek.

Selain jarak roda 2,729 milimeter (mm), Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan ini tampil sporty dan kompak pada bahagian muncung hadapan serta belakang.

Ia tampak lebih mewah dengan gril rekaan AMG yang diberi sentuhan krom.

Padanan rim aloi lima jejari 19 inci AMG dengan panel pelapik pintu bercahaya, lampu belakang dua bahagian serta difuser menyerlahkan gaya prestasinya.


KEMASAN hitam dan merah menawan.

Ruang kabinnya dibaluti kulit buatan Artico yang juga gabungan material ‘dinamica microfibre’ dengan warna hitam dan sulaman. Bagi menyerlahkan suasana, tali pinggang keledarnya pula berwarna merah.

Selain dilengkapi ‘Mercedes-Benz User Experience’ (MBUX) dan paparan pandang depan, antara ciri baharu pada model ini ialah konsol tengah AMG dengan pad sesentuh serta suis operasi ESP dan transmisi mod manual.

Meskipun sedan kompak, ia memiliki ruang dalaman yang selesa melalui ruang kepala 944 mm dan but 420 liter.

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan dijual pada harga RM348,888 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:20 AM