PESERTA Konvoi Toyota Drive 5C tiba di Pulau Pinang, baru-baru ini sebelum meneruskan penjelajahan ke Singapura. FOTO Danial Saad.
Rudy Fazrunisyam Samarudin


PROJEK Pemanduan Lima Benua Toyota (Toyota Drive 5C) yang melengkapkan fasa akhir ke benua Asia berada di Malaysia, baru-baru ini.

Konvoi membabitkan 33 individu termasuk pemandu dan kru itu bermula di Pulau Pinang pada 4 November lalu meneruskan perjalanan dan tiba UMW Toyota Shah Alam, Khamis lalu.

Konvoi di Malaysia menggunakan Toyota Hilux, Innova, Vios, Yaris, Fortuner, Rush dan sebuah kenderaan bukan buatan Toyota iaitu Perodua Alza.

Seterusnya konvoi akan meneruskan perjalanan ke Singapura untuk melengkapkan misi Asia Tenggara sebelum berlepas ke Filipina untuk misi berikutnya sebelum berakhir di Jepun menjelang Olimpik Tokyo 2020.

Toyota Drive 5C bermula di Timur Tengah pada 2014 adalah konvoi projek serampang dua mata untuk menguji jentera Toyota mengikut spesifikasi negara di lima benua dalam tempoh lima tahun membabitkan jarak keseluruhan lebih 100,000 kilometer.

Ketua Pasukan, Kazuaki Abiru berkata, seperti di negara lain, pasukan konvoi di Malaysia berpeluang mempelajari dan mendapatkan pengalaman berada di jalan dan mendapatkan sebanyak mungkin input sama ada daripada pengguna Toyota serta rakan perniagaan dalam usaha syarikat ‘membina kereta lebih baik’.

Katanya, pihaknya teruja berada di Malaysia kerana banyak boleh dipelajari mengenai keadaan jalan, gaya pemanduan, kegunaan kenderaan dan tentunya budaya di negara ini.

“Setiap negara kami lalui berbeza daripada semua segi itu dan peluang ini semestinya memberikan kami pengalaman dan ‘data’ diperlukan dalam terus membina kenderaan Toyota lebih baik pada masa akan datang.

“Toyota Drive 5C memberi peluang kepada syarikat untuk menterjemahkan konsep “Genchi Genbutsu” iaitu melihat sendiri untuk dapat benar-benar memahami situasi,” katanya.

Beliau berkata, ia adalah ujian lapangan disertai warga Toyota dari Jepun dan beberapa negara Asia lain mengikut pelbagai latar belakang kerja sama ada jurutera, pemasaran dan teknikal serta pembabitan kakitangan wakil pengedar di sesebuah negara.

Toyota Drive 5C sebelum ini melengkapkan konvoi di Oceania, Afrika, Eropah dan Amerika sebelum ke Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 6:29 PM