Lizam Ridzuan


FESTIVAL Toyota Gazoo Racing (TGR) dan Cabaran Toyota Vios pusingan kedua musim ketiga diadakan di Bandar Malaysia, Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur, tamat hari ini.

Seperti tahun sebelumnya tiga kelas kategori dipertandingkan iaitu Super Sporting, Sporting Class dan Promotional yang membabitkan pemandu profesional, amatur dan selebriti tanah air.

Pengarah Pemasaran UMW Toyota Motor, Mohd Shamsor Md Zain berkata, lokasi lapangan terbang lama itu diubah menjadi litar perlumbaan adalah yang pertama kali diadakan di lokasi itu.

“Litar sepanjang 1.96 kilometer (km) itu mempunyai 10 selekoh dengan dua laluan lurus serta satu sepanjang 600 meter yang kesemuanya dipagari dinding batu konkrit.

“Ia menguji keupayaan dan fokus kepada pelumba terutama untuk memintas di atas litar konkrit dan tarmac adalah inovasi yang diketengahkan daripada siri perlumbaan TGR,” katanya.

Selain membawakan perlumbaan lebih dekat kepada penonton, lokasi di tengah kota raya adalah yang ideal untuk aktiviti perlumbaan dan pelbagai aktiviti sampingan lain.

Perlumbaan pusingan kedua Cabaran Toyota Vios melalui Race 2 hari ini, menampilkan pelbagai aksi dengan pelumbaan kelas Super Sporting dimenangi oleh Kenny Lee daripada pasukan Kegani Racing, diikuti oleh Tengku Djan Ley (23 Motors) dan Mark Darwin (Laser Motor Racing).

Untuk kelas Sporting dimenangi oleh Haji Sutan Mustaffa Salihin melalui persendirian, Bradley Benedict Anthony (Dream Chaser) dan Dannies Ng (Persendirian).

Untuk kategori Kelas Promotional (Selebriti) dimenangi oleh Nabil Ahmad, Khai Bahar dan Nabila Razali.

Festival Toyota Gazoo Racing dan Cabaran Toyota Vios pusingan pertama musim ini diadakan di Kuala Terengganu dan ketiga dan keempat bakal diadakan di Batu Kawan, Pulau Pinang dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 7:09 PM
ANTARA aktiviti yang diadakan sempena Toyota Gazoo Racing Festival di Bandar Malaysia, Sungai Besi. FOTO Zulfadhli Zulkifli