PELEPASAN peserta RFC Grand Finale 2019 di Hotel Grand River View Kota Bharu, hari ini. FOTO Rudy Fazrunisyam Samarudin
Rudy Fazrunisyam Samarudin


RAINFOREST Challenge (RFC) Grand Finale yang dikuasakan Petron Turbo Diesel Euro 5 sekali lagi menjadi tumpuan peminat sukan kenderaan lasak tempatan dan antarabangsa.  

Seramai 450 peserta dari 25 negara mengambil bahagian dalam pertandingan 4x4 yang mengharungi salah salah hutan tropika padat di Malaysia di waktu musim tengkujuh bermula 29 November hingga 9 Disember ini.

Ketua Dagangan Runcit & Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy berkata, ini adalah kerjasama keempat bersama RFC dalam memacu perlumbaan yang diiktiraf 10 teratas sukan kenderaan terlasak dunia.

Katanya, ia sekali gus menekankan keupayaan Petron Turbo Diesel Euro 5 berteknologi tinggi yang memberikan kuasa dan perlindungan enjin yang terbaik serta lebih kilometer.

“Petron Turbo Diesel Euro 5 sudah lama terbukti dapat memberikan kuasa tertinggi dan kekuatan kepada kenderaan pacuan empat roda sejak pertama kali menaja RFC pada 2016.

"Ia direka khusus untuk meningkatkan prestasi enjin, memastikan ekonomi yang lebih baik, dan memanjangkan jangka hayat enjin," katanya.

Menurutnya, dengan kandungan sulfur yang sangat rendah sebanyak iaitu 10 bahagian per sejuta, ia 50 kali lebih bersih daripada diesel Euro 2M, seterusnya membantu mengurangkan pelepasan ekzos.

Formulasi asas prestasi Petron Turbo Diesel Euro 5 adalah aditif premium TriAction Advantage mengandungi detergen untuk membantu membersihkan dan mengekalkan sistem inlet enjin bersih, dan pengubah geseran yang membantu mengurangkan geseran antara piston dan dinding silinder.

Sementara itu, pengasas dan pencipta Rainforest Trophy, Luis J A Wee berkata, tumpuan perlumbaan tahun ini akan menjadi sukar kerana pasukan akan cuba mengatasi 50 Peringkat Khas (SS).

Katanya, hanya gabungan pemandu dan kenderaan terbaik, ditambah dengan pilihan minyak bahan api dan minyak enjin yang tepat akan mendorong pasukan untuk menamatkan podium.

"RFC Grand Finale adalah acara akhir dari RFC Global Series (RFCGS), sebuah litar perlumbaan ‘off-road’ di seluruh dunia yang merangkumi 25 negara dengan 45 acara.

“Tahun ini, acara memberi tumpuan kepada aspek perlumbaan dengan sekurang-kurangnya 50 SS, satu rekod untuk perlumbaan 4x4. Laluan ini akan membawa peserta merentasi Kota Bahru, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, dan akan berakhir di Gua Musang dengan karnival dua hari pada 8 dan 9 Disember," katanya.

Peringkat perlumbaan dinamakan Predator, Terminator, dan Zon Twilight yang termasuk mengemudi kencuraman dan pendakian, menyeberangi V gullies, paya tropika, dan mengemudi sekitar kolam lumpur.

Peserta meneruskan perjalanan mereka melalui laluan ‘off-road’ bekas jalanan perhutanan balak yang sukar dan kasar di Kelantan.

Petron adalah penaja diesel rasmi dan rakan kongsi minyak enjin untuk RFC 2019 Grand Finale di Malaysia.

Turbo Diesel Euro 5 kini boleh didapati di lebih 190 stesen di Malaysia dan akan diperluaskan di lebih banyak lokasi pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 2:28 PM