Lizam Ridzuan


KUALA LUMPUR: Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd (Petron) melancarkan rangkaian minyak enjin baharu khusus dengan Perlindungan Suhu Tinggi Petron (HTP) termasuk produk cecair transmisi automotif, cecair brek, minyak gear dan gris.

Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersialnya Choong Kum Choy berkata untuk minyak enjin, Petron memperkenalkan Petron Blaze Racing HTP untuk enjin petrol dan Petron Rev-X Turbo HTP bagi enjin diesel yang dirumus dengan minyak asas berkualiti tinggi.

“Minyak enjin ini adalah inovasi baharu kami dalam penawaran produk petrol berkualiti tinggi dengan Petron HTP dirumus khas dalam membantu menjadikan enjin lebih bersih, cekap dan perlindungan lebih baik untuk prestasi dan penjimatan, “ katanya ketika pelancaran pagi tadi.

Melalui Petron Blaze Racing HTP sintetik sepenuhnya menggunakan polyaphaolefin (PAO) untuk pengoksidaan serta kestabilan haba lebih baik berbanding minyak enjin konvensional dengan sistem aditif yang tinggi.


CHOONG Kum, (tengah) melancarkan produk minyak enjin terbaru Petron Blaze Racing HTP untuk enjin petrol dan Petron Rev-X Turbo HTP untuk enjin diesel di Sofitel Kuala Lumpur.

Untuk Petron Rev-X Turbo HTP adalah minyak untuk enjin diesel pengecas turbo atau ‘supercharged’ juga dirumus dengan PAO untuk menghalang ‘soot’ dan enapan piston bagi enjin ebih bersih dan kecekapan prestasi.

“Selain penawaran bahan api terbaik dengan RON 100, Petron HTP melengkapi pilihan produk premium disasarkan kepada pelanggan yang mahukan produk berkualiti pada nilai yang berbaloi,” katanya.

Produk Petron HTP diimport sepenuhnya dari kilang pengeluaran di Singapura dengan formulasi dilakukan di Filipina yang memenuhi piawaian dan spesifikasi API dan SAE.

Dijual di seluruh negara mulai hari ini, Produk Petron HTP dijual pada harga RM265 untuk Blaze Racing HTP dan RM210 untuk Rev-X Turbo HTP boleh didapati stesen minyak Petron, kedai dalam talian Shopee, pengedar sah dan bengkel terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 6:14 PM