POSISI menunggang santai. FOTO Luqman Hakim Zubir
Lizam Ridzuan

BUKAN setakat kereta, malah motosikal juga kini ditawarkan dengan sistem hibrid melalui pengenalan model Honda PCX Hybrid.

Ia adalah skuter dan model transmisi automatik (AT) Honda yang pertama ditawarkan di negara ini menerima sistem dengan kuasa tambahan itu.

Vroom Metro Ahad berpeluang menunggang ujinya baru-baru ini bagi menilai kelebihan memiliki sebuah skuter dengan ciri premium yang dilancarkan hujung tahun lalu.

Melihat pada reka bentuk luaran, ia adalah sama dengan model Honda PCX standard yang juga dijual di negara ini namun beberapa kemasan luaran dan sistem enjin menjadikan ia tampil berbeza.

Pada lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL) daripada LED, ia dihiasi garisan biru bagi menandakannya sebagai model hibrid.

Lampu belakang rekaan baharu juga dilengkapi sistem LED berciri ‘smoke lens’ serta lampu rekaan berbeza daripada model standard.

Ia juga boleh dikenali melalui logo Hybrid di tepi panel hadapan serta warna biru yang hanya ditawarkan untuk varian ini.

WARNA biru khusus untuk model ini. FOTO Luqman Hakim Zubir

Untuk bateri hibrid, ia terletak di bawah tempat duduk belakang yang menjadikan ruang simpanan hanya boleh memuatkan satu topi keledar.

Meter digital LCD penuh pelbagai maklumat memudahkan urusan penulis merancang perjalanan.

Ia memaparkan meter kelajuan, penunjuk bahan api, jam, mod tunggangan, purata meter jarak, penunjuk menukar minyak enjin, odometer dan pengukur sistem hibrid.

Paparan tahap Bantu/Cas pada bahagian atas meter adalah indikasi kekuatan lonjakan bantu motor yang digunakan melalui sistem hibrid dan pengecasan.

Panel bar akan meningkat sebaik penulis memulas pendikit pada sekitar kelajuan bermula 60 kilometer/sejam (km/j) untuk tempoh tiga saat serta daripada pergerakan pegun yang memberi kuasa dan membantu penggunaan bahan api yang efisien.

REKAAN belakang bergaya. FOTO Luqman Hakim Zubir

Untuk pengalaman tunggangan, skuter ini dipadankan dengan enjin 149cc silinder tunggal, sejukan cecair SOHC yang menjana kuasa 15PS pada 8,500 rpm dan tork maksimum 13.6Nm pada 6,500 rpm.

Sistem hibridnya berfungsi melalui enjin eSP digabungkan dengan sistem bantu motor yang membekalkan kuasa tambahan sebanyak 1.9PS dan tork 4.3Nm.

Ia mendapat tenaga daripada bateri Lithium-Ion 48V sebagai bateri utama yang menjana kuasa menghidupkan enjin dan bantu kuasa pada kelajuan motosikal.

Bateri dan motor dikawal oleh Unit Penghantaran Kuasa (PDU) dan Unit Kawalan Enjin (ECU) ke sistem bantu motor yang dialirkan sebagai kuasa tambahan untuk Honda PCX Hybrid ini.

LAMPU hadapan dengan DRL. FOTO Luqman Hakim Zubir

Selain itu sistem mula dan henti ketika jentera tidak bergerak selama tiga saat juga sebagai ciri yang ada pada model ini. Penulis juga mencuba tiga mod tunggangan iaitu Drive (D), Sport(S) dan Idling Off.

Mod ini boleh ditukar pada suis yang ada pada sebelah kiri berdekatan pemegang untuk memberikan prestasi berbeza seperti D untuk lebih santai, S menjana kuasa lebih responsif dan Idling Off mematikan fungsi mula dan henti.

PILIHAN mod tunggangan. FOTO Luqman Hakim Zubir

Untuk kelajuan maksimum, skuter ini hanya mencatatkan pada sekitar 120km/j sebelum ‘cut-off’ yang menjadikan ia sesuai pada kegunaan bandar.

Posisi menunggang selesa ditawarkan dengan kedudukan pelana 764 milimeter (mm) masih lagi sesuai untuk penulis yang berketinggian 176 sentimeter (cm).

Secara keseluruhan, selepas menunggang uji Honda PCX Hybrid, ia adalah skuter yang menawarkan kuasa dan penggunaan bahan api efisien.

Meskipun tidak terlampau ketara dengan penulis mencatatkan sekitar 2.1 liter untuk setiap 100km dan mencatatkan jarak lebih 310km dengan satu isian penuh lapan liter, skuter ini juga menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Pengendalian skuter ini juga stabil pada pelbagai kelajuan termasuk ketika melewati selekoh yang disokong suspensi hadapan teleskopik dan belakang spring berkembar.

BREK cakera dengan roda bersaiz 14 inci. FOTO Luqman Hakim Zubir

Saiz tayar bersaiz 14 inci, brek hadapan cakera tunggal hidraulik dan belakang ‘Mechanical Leading Trailing’ serta sistem Kunci Pintar Honda antara ciri keselamatan yang disediakan.

Ia sesuai untuk kegunaan bandar dengan tork yang responsif dan jika untuk perjalanan jauh, kedudukan menunggang yang selesa menjadi kelebihan.

Untuk pasaran Malaysia Honda PCX Hybrid dijual pada harga RM13,499 dengan jaminan dua tahun atau 20,000km yang mana lebih dahulu. #vroomHM.

HONDA PCX HYBRID

• ENJIN: 149cc, silinder tunggal, SOHC

• KUASA MAKSIMUM: 15PS pada 8,500 rpm

• TORK MAKSIMUM: 3.6Nm pada 6,500 rpm

• TRANSMISI: Automatik (V-Matic)

• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 8 liter

• CIRI KESELAMATAN: Brek hadapan cakera tunggal, sistem Kunci Pintar Honda

• HARGA: RM13,499 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 6:31 AM