GAYA ranggi artistik. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Lizam Ridzuan


REKA bentuk yang ditampilkan unik dan menyebabkannya mencuri tumpuan ketika berada di jalanan atau parkir awam.

Malah model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak segmen B itu memecah dominasi pengeluar kenderaan dari Jepun dan Eropah dalam penawaran produk lebih menarik.

Model Citroen C3 Aircross Serba Baharu yang diperkenalkan awal tahun ini oleh Naza Euro Motors Sdn Bhd bukan saja tampil dengan gaya segar malah penuh dengan sentuhan artistik kemasan berseni.

Vroom Metro Ahad berkesempatan memandu ujinya baru-baru ini untuk menilai kelebihan ditawar pengeluar kenderaan dari Perancis itu.

C3 Aircross dikeluarkan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-100 Citroen ke pasaran automotif dunia.

Dari hadapan, ia tampil berbeza melalui lampu bertingkat menerusi lampu nyalaan siang (DRL) terletak di bahagian atas dan lampu utama halogen di bahagian bawah.

Logo dengan lambang ‘chevron’ krom menghiasi bahagian atas penutup bonet dengan gril radiator serta ‘skid plate’ menghiasi ruang bawah yang menyerlahkan lagi elemen SUV.

Pada bahagian tepi, ‘Arc Wheel’ dihiasi penutup tambahan gelap untuk roda hadapan dan belakang.

Ia adalah kesinambungan daripada hadapan yang membawa ke bahagian belakang bampar untuk kelihatan lebih lasak dan maskulin.

Bumbung hitam dengan rel yang direka khusus dengan sentuhan warna merah urban menjadi skima signatur untuk eleman rekaan empat segi tidak simetri di bahagian luaran dan dalaman kenderaan ini.

Pada tiang C dan D, dipasang gentian kaca dengan kesan ‘Venetian Blind’.

Ia adalah ciri standard bagi gaya lebih ranggi dan retro, pada masa sama mengurangkan pencahayaan luar daripada menembusi bahagian but.

ENJIN 1.2 liter turbo. FOTO Syarafiq Abd Samad.

Bukan sekadar itu saja, ciri tidak simetri itu juga terdapat pada lampu hadapan dan belakang serta padanan rim aloi 17 inci ‘4Ever’ dengan bentuk yang sekata.

Ruang dalamannya luas dan selesa selain dilengkapi kerusi fabrik bermutu tinggi ‘quartz’.

Walaupun ia larasan manual dan butang memusing pada bahagian sisi untuk merendahkan penyandar, namun kerusi belakang, selain boleh direbah untuk nisbah 60/40, juga boleh dilaras untuk ke hadapan dan belakang.

Pelbagai fungsi seperti butang maklumat pada meter, kawalan bunyi muzik serta pelayaran lengkap tersedia di stereng yang dibaluti kulit.

Paling unik sistem multimedia bersaiz tujuh inci.

Ia bukan sekadar memuatkan radio, ketersambungan Bluetooth, kamera undur 180 darjah dan navigasi malah berperanan untuk suis larasan penyaman udara malah sistem keselamatan.

Untuk pemanduan, ia dijana enjin 1.2 liter PureTech pengecas turbo menjana kuasa 112PS dan tork 205Nm.

Kenderaan ini juga mampu mencapai kelajuan maksimum 200 kilometer/sejam (km/j) dengan pecutan sifar hingga 100km/j dalam tempoh 10.4 saat.

PAPAN pemuka ciri termaju. FOTO Syarafiq Abd Samad.

Melalui kotak gear enam kelajuan tiptronic automatik dan manual dan dengan mod pemanduan sport yang ditawarkan, model ini seronok untuk dipandu malah berprestasi.

Sistem suspensi hadapan dengan MacPherson strut dan ‘flexible transverse beam’ pada belakang menjadikan pemanduan sedikit terasa olengan namun ia menawarkan keselesaan terutama melalui jalan tidak rata.

Meskipun jarak kelegaan jalan pada 170 milimeter (mm), C3 Aircross berfungsi dengan baik pada selekoh dan stabil pada kelajuan seterusnya memudahkan pengendalian.

Ia juga dilengkapi ciri keselamatan terbaik seperti Program Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Bantu Brek Kecemasan (EBA), ISOFIX dan penarafan lima bintang Program Pemeriksaan Kereta Baharu (NCAP).

Secara keseluruhan, model Citroen C3 Aircross ini sebuah SUV kompak yang menawarkan keseronokan dan bersifat serius dengan padanan enjin 1.2 liter turbo.

Ruang dalaman selesa dan praktikal membolehkan ruang kargo ditukar daripada 410 liter menjadi 520 liter melalui larasan kerusi belakang.

Ruang itu bertambah besar kepada 1,289 liter sekiranya kerusinya direbahkan.

Tangki bahan api sekitar 45 liter mampu menjangkau sehingga 450km, bergantung kepada muatan, gaya pemanduan dan faktor geografi dilalui.

Untuk pasaran Malaysia, Citroen C3 Aircross dijual pada harga RM115,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan atau 120,000km yang mana lebih dahulu dengan Bantuan Jalanan 24 jam ditawarkan.

#vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 5:10 AM