PASSAT Elegance 2020.
PASSAT Elegance 2020.
Lizam Ridzuan

HANYA selepas empat bulan diperkenalkan di Jerman, kini Passat 2.0TSI Elegance menjengah ke pasaran tempatan.

Dilancarkan baru-baru ini oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) selaku pengedar utama kenderaan Volkswagen di negara ini, Passat baharu tampil dengan gaya luaran dan dalaman terkini.

Sebagai kenderaan segmen-D sesuai untuk keluarga atau golongan eksekutif, ia mencatatkan rekod pengeluaran melepasi 30 juta unit di seluruh dunia dan yang paling berjaya dalam kelasnya.

Ciri pembaharuan diperkenalkan ialah rekaan profil bampar hadapan dan belakang baharu, lampu utama LED penuh gaya signatur terkini serta rim aloi ‘Liverpool’ bersaiz 18 inci yang menarik.

LAMPU signatur baharu.
LAMPU signatur baharu.

Ruang dalaman pula dilengkapi material dan kemasan terkini yang mencipta elemen lebih mewah serta bergaya termasuk 30 pilihan warna lampu suasana selain roda stereng pelbagai fungsi.

Tempat duduk baharu balutan kulit dengan 12 larasan elektrik bersama tiga zon penyaman udara Climatronic dan pelindung cahaya matahari pada cermin belakang menyerlahkan gaya mewahnya.

RUANG dalaman elegan.
RUANG dalaman elegan.

Ketersambungan dengan aplikasi APP-Connect tanpa wayar, pertama untuk model Volkswagen di Malaysia juga disediakan pada model ini dengan Appla CarPlay serta pilihan tiga port USB-C untuk Bluetooth dan penstriman audio dan peranti mudah alih.

Bukan sekadar kemasan, di bawah bonet, ia dikuasakan dengan enjin 2.0TSI turbo dengan kotak gear klac basah direct shift 7-kelajuan (DSG) baharu yang ditambah baik dan mampu menjana kuasa sehingga 190PS dan tork 320Nm.

ENJIN 2.0TSI dengan kotak gear ditambahbaik.
ENJIN 2.0TSI dengan kotak gear ditambahbaik.

Sistem keselamatan terbaik juga ditawarkan pada Passat ini seperti Amaran Trafik Melintas Belakang dengan Bantu Sisi, Sistem Pemantauan Titik Buta dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

Ia turut dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Bantu Brek (BA), Sistem Respon Pelanggaran Pintar (ICRS).

Passat Elegance baharu didatangkan enam warna dan dua kemasan iaitu metalik terdiri daripada warna biru (Aquamarine Blue), kelabu (Manganese Grey), perak (Reflex Silver) dan coklat (Tamarind Brown).

Sementara warna dengan ciri mutiara ialah hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) yang baharu.

Passat Elegance baharu ditawarkan pada harga RM187,990 (atas jalan tanpa insurans) dan untuk tempoh terhad, ia hadir bersama insurans percuma selama setahun.

Lima puluh pelanggan pertama Passat Elegance baharu juga akan menerima sepasang cermin mata hitam TVR (Total Vintage Revival) bernilai RM1,890.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 6:30 AM