Lizam Ridzuan


DIINSPIRASIKAN daripada model CBR1000RR Fireblade, Honda CBR650R kini tampil dengan rekaan yang mirip dengan ‘abang’nya itu.

Model serba baharu ini dilancarkan tahun lalu menggantikan model CBR650F yang menyerlahkan lagi rekaan dan ciri erodinamiknya.

Vroom berkesempatan mengujinya baru-baru ini sebagai kegunaan harian dan hujung minggu untuk pengalaman menunggang jentera CBR.

Melihat reka bentuknya sememangnya lebih agresif berbanding CBR yang terdahulu terutama pada bahagian fairing hadapan dan sisi.

Corong udara dan bentuk lampu tirus dwi-LED hampir sama dengan elemen terdapat pada CBR1000RR adalah untuk ciri aliran udara yang lebih baik.

Bentuk tangki bahan api juga memberikan posisi yang selesa kepada paha terutama menunggang pada kelajuan sederhana atau tinggi dan melayan selekoh.

Pelana selesa malah untuk pembonceng juga disediakan dengan pemegang yang direka kemas tidak kelihatan menonjol, namun berfungsi untuk dipegang atau menyangkut jaring beg.

POSISI menunggang lebih sporty. FOTO Mohd Yusni Ariffin
POSISI menunggang lebih sporty. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Pada sudut belakang, kelihatan lebih kompak melalui lampu yang terpisah dengan lampu isyarat menjadikan pencahayaan lebih jelas dilihat dari jauh.

Untuk keselesaan tunggangan suspensi CBR650R ini didatangkan dengan fork Showa Separate Function (SFF) terbalik 41 milimeter (mm) dan belakang dengan monoshock 10 peringkat boleh larasan dengan lengan ayun aluminum dan brek cakera tunggal.

REKAAN lebih erodinamik dan prestasi. FOTO Mohd Yusni Ariffin
REKAAN lebih erodinamik dan prestasi. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Ia turut dilengkapi meter digital LCD untuk maklumat perjalanan kedudukan gear, kelajuan, trip, jam dan tahap bahan api.

CBR dengan kerangka berlian ini berketinggian pelana 805mm dan berat sekitar 207 kilogram (kg) adalah lebih ringan enam kg daripada model terdahulu memberikan posisi lebih sporty dan mudah dikendalikan.

Model ini turut diberi perubahan dengan pemegang (handlebar) pada kedudukan 30mm lebih ke hadapan dengan peletak kaki sedikit ke belakang dan tinggi.

SUDUT belakang CBR650R tampil bergaya. FOTO Mohd Yusni Ariffin
SUDUT belakang CBR650R tampil bergaya. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Juga melayan selekoh atau menempuhi kesesakan jalan raya kawalan dapat dilakukan dengan lebih baik dan tepat, namun jika perjalanan jauh sudah pasti lengan akan mula terasa sengal dengan posisi sebegitu.

Untuk prestasi, ia dijana dengan enjin bersesaran 649cc sejukan cecair DOHC empat silinder yang menghamburkan lima peratus lebih kuasa dengan 95PS pada 12,000rpm dan tork maksimum 64Nm pada 8,500rpm.

Untuk kelancaran ia dilengkapi gear klac basah manual enam kelajuan dengan Assist Slipper Clutch menjadikan pertukaran lebih pantas pada sebarang kelajuan.

FORK Showa Separate Function (SFF) dan brek ABS. FOTO Mohd Yusni Ariffin
FORK Showa Separate Function (SFF) dan brek ABS. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Ciri keselamatan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran dan Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang menambah keyakinan menunggang terutama ketika jalan basah pada roda belakang.

Secara keseluruhan selepas menunggang uji jentera sportbike saiz pertengahan ini ia adalah jentera yang sesuai buat mereka berminat dengan segmen ini.

Juga ada model permulaan sebelum ke model lebih berprestasi seperti Fireblade buat mengasah kemahiran menunggang dengan ciri seakan-akan superbike.

SISTEM bunyi sporty. FOTO Mohd Yusni Ariffin
SISTEM bunyi sporty. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Rekaan sporty dengan elemen prestasi, ia menawarkan tunggangan menyeronokkan terutama laluan berselekoh untuk ‘feel’ ala-ala MotoGP, namun menunggang di litar adalah lebih sesuai bagi tujuan itu.

Tangki bahan api sekitar 15.4 liter pula membolehkan ia bergerak sehingga 320 kilometer (km) bergantung kepada corak tunggangan dan saiz penunggang.

Untuk menempuhi kesesakan jalan raya juga tidak menjadi masalah kerana beratnya sekitar 207kg selain tidak terlalu dampak memudahkan untuk menyelit walaupun tidak sepantas moped.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Grand Prix Red (seperti yang ditunggang uji ini) dan Mat Gun Powder Black Metallic.

Untuk pasaran Malaysia model import sepenuhnya (CBU) ini dijual pada harga RM45,500 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000km yang mana lebih dahulu.

HONDA CBR650R

• ENJIN: 649cc sejukan cecair DOH Cempat silinder

• KUASA MAKSIMUM: 95PS pada 12,000rpm

• TORK MAKSIMUM: 64Nm pada 8,500rpm

• KAPASITI TANGKI PETROL: 15.4 liter

• CIRI KESELAMATAN: Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran dan Honda Selectable Torque Control (HSTC)

• HARGA: RM45,500 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 7:00 AM
 LAMPU belakang LED jelas. FOTO Mohd Yusni Ariffin
LAMPU belakang LED jelas. FOTO Mohd Yusni Ariffin