ACCORD generasi ke-10 ini dilengkapi dengan penawaran enjin 1.5L VTEC Pengecas Turbo.
Lizam Ridzuan


HONDA Malaysia kini membuka tempahan untuk model Honda Accord Serba Baharu yang bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini.

Boleh ditempah di kesemua 100 pengedar sah Honda seluruh negara, ia juga mengangkat model itu sebagai sedan eksekutif untuk generasi akan datang.

Model generasi ke-10 Accord kini dilengkapi dengan penawaran enjin 1.5L VTEC Pengecas Turbo adalah satu-satunya model dalam segmen-D buatan Jepun di negara ini menawarkan ciri itu.

Ia hadir dengan kuasa kuda 201PS dan daya tork maksimum sehingga 260Nm melebihi daripada yang dihasilkan enjin 2.4L dengan kuasa turbo menjana kuasa dan bahan api lebih efisien.

Selain itu Honda Accord Serba Baharu juga diperluaskan dengan ‘Next Generation Advanced Technology’ dengan Honda Sensing penuh untuk aspek keselamatan terbaik melalui tiga kategori utama dengan lapan ciri tersendiri.

Antaranya ialah Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelepasan Lorong (LDW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengurangan Pelepasan Jalan (RDW), Sistem Brek Pengurangan Pelanggaran (CMBS), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW).

Untuk rekaan luaran ia masih mengekalkan rekaan DNA sofiskated Accord dengan lampu hadapan LED bergaya, bumbung lebih rendah dan panjang, ekzos berkembar kemasan krom dan rim aloi unik 18 inci.

Honda Accord mula diperkenalkan ke dalam pasaran global pada 1976 dan di Malaysia pada 2001 dengan terjual melebihi 84,100 unit sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 8:17 PM