Nazarali Saeril

SELEPAS berbulan mendengar banyak khabar angin berkaitan ‘anak emas’ baharu Proton, akhirnya penulis berpeluang ‘menerbangkan’ Proton X70 2020 pemasangan tempatan (CKD) ke Kuantan, Pahang.

Bermula di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Subang Jaya, Selangor, 10 kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 2020 bergerak sama ke Kuantan.

Untuk rekod, pembaharuan paling komprehensif pada Proton X70 2020 ialah pengenalan Transmisi Klac Berkembar tujuh-kelajuan (7-DCT) bagi menggantikan Transmisi Automatik enam kelajuan (6AT) yang digunakan sebelum ini.

Melalui kotak gear baharu ini, ia membantu mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 13 peratus kepada 7.6 liter per 100 kilometer.

MEMANG layak jadi kebanggaan rakyat Malaysia.
MEMANG layak jadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Pada masa sama, ia turut menjadikan penukaran gear lebih lancar dan cepat seterusnya memberi pengalaman pemanduan lebih unggul.

Terdahulu, penulis diberi peluang merasai kecanggihan SUV ini seperti teknologi Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan kamera 360 darjah.

RUANG dalaman mewah mencerminkan kemahuan Proton memuaskan pengguna.
RUANG dalaman mewah mencerminkan kemahuan Proton memuaskan pengguna.

Sepanjang perjalanan ke Kuantan, penulis mendapati, Proton X70 2020 yang dipasang sepenuhnya di kilang Proton di Tanjung Malim, Perak bukan saja responsif malah kukuh daripada segi imbangan serta kawalan.

Paling menarik, penulis langsung tidak terasa gegaran atau kenderaan membuang ketika melalui banyak selekoh tajam pada kelajuan tinggi di Lebuhraya Karak.

DILENGKAPI Transmisi Klac Berkembar tujuh-kelajuan (7-DCT) bagi menggantikan Transmisi Automatik enam kelajuan (6AT) yang digunakan sebelum ini.
DILENGKAPI Transmisi Klac Berkembar tujuh-kelajuan (7-DCT) bagi menggantikan Transmisi Automatik enam kelajuan (6AT) yang digunakan sebelum ini.

Sepanjang menguji prestasi pada kelajuan tinggi, penulis hanya memperlahankan kenderaan apabila kenderaan sedikit bergoyang akibat angin kuat yang melanda di beberapa kawasan lebuh raya yang lapang.

Penulis dan rakan media lain tiba di Kuantan pada sebelah petang dan keesokan harinya, kami bertolak pulang ke Shah Alam.

Sepanjang perjalanan pulang, pemanduan pula lebih santai kerana penulis mahu menikmati kesegaran dan pelbagai persembahan ruang dalaman Proton X70 2020.

Cuaca panas, namun hasil tambah baik jurutera SUV ini, kerusi pemandu dan penumpang depan bagi varian Premium dan Premium X kini dilengkapi kerusi berventilasi.

BAHAGIAN enjin yang kemas.
BAHAGIAN enjin yang kemas.

Kerusi berventilasi ini membuatkan pemanduan menjadi lebih nyaman.

Pada masa sama, bahagian tempat duduk pemandu yang kemas dan elegan membuatkan pemanduan lebih santai.

Selain itu, penulis juga boleh melaras tempat duduk dengan lebih mudah mengikut kesesuaian serta keselesaan sepanjang perjalanan hasil penggunaan larasan elektrik.

Proton X70 2020 turut menawarkan but belakang elektrik yang boleh didapati bermula daripada varian Eksekutif.

LAMBANG baharu harimau pada gril menambah ‘kegarangannya’.
LAMBANG baharu harimau pada gril menambah ‘kegarangannya’.

Ciri ini menawarkan laras ketinggian yang memudahkan pengguna membuka but. Ia turut dilengkapi sensor kaki bagi varian kedua teratas.

‘Hi Proton’, ia perkataan paling mengujakan bagi penulis, mungkin juga buat semua penggemar SUV ini.

Semua varian X70 2020 menawarkan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) yang mula diperkenalkan melalui model terdahulu.

Banyak lagi keistimewaan Proton X70 2020 malah penulis yakin ia mampu menjadi kenderaan kebanggaan rakyat Malaysia kerana ciri-cirinya seperti teknologi terbinanya selain mesra pemandu.

RUANG but luas membolehkan lebih banyak barangan diisi.
RUANG but luas membolehkan lebih banyak barangan diisi.

Walaupun bukan 100 peratus sesi pandu uji, secara keseluruhan, penulis percaya Proton X70 2020 akan menjadi SUV idaman ramai.

Bukan saja tawaran harganya amat mengujakan malah prestasinya ‘mengaum’ - sama hebat dengan lambang harimau Proton.

Proton menawarkan empat varian iaitu Proton X70 2020 Standard 2WD dijual pada harga RM94,800, Eksekutif 2WD (RM106,800), Premium 2WD (RM119,800) dan Premium X 2WD yang berharga RM122,800.

PENULIS bersama Proton X70 2020.
PENULIS bersama Proton X70 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 6:00 AM
Digital NSTP Subscribe