KEJUARAAN Enduro Sifu 2020 dilancarkan
KEJUARAAN Enduro Sifu 2020 dilancarkan
Lizam Ridzuan


KEJUARAAN Enduro Antarabangsa Sifu 2020 anjuran Kelab Dunia Motor Malaysia dengan kerjasama FKX Film akan membuka tirai cabaran sukan permotoran lasak tahun ini.

Pertandingan dijadualkan berlangsung pada 28, 29 Februari dan 1 Mac ini dibahagikan kepada enam kategori.

Ia membabitkan ‘Gold Platinum’ untuk kategori ‘Expert’, ‘Gold’ (‘Intermediate’), ‘Silver’ (‘VViP45’), ‘Bronze’ (‘CKD’), ‘Superstar’ (Selebriti) dan ‘Iron’ (‘Ladies’).

Format perlumbaan berbeza mengikut kategori dengan perlumbaan berlangsung selama 30 minit sehingga 1 jam 30 minit.

IMAN menerangkan format perlumbaan.
IMAN menerangkan format perlumbaan.

Litar lasak sepanjang kira-kira 5.5 kilometer (km) di kawasan berbukit Hulu Klang ini menyediakan cabaran berbeza untuk menguji kemahiran dan teknik berlumba peserta.

Lebih menarik, ia berlatarbelakangkan pemandangan Kuala Lumpur.

Bagi menambah kemeriahan kejohanan, pelumba, Tim Coleman dari Australia yang berpengalaman dalam perlumbaan lebih 15 tahun akan bersaing bersama pelumba lain dan memperlihatkan kemahiran ‘Trials’ dan ‘Enduro’.

Menurut Datuk Farid Kamil yang mencetuskan idea penganjuran perlumbaan ini, ketika menghasilkan filem Remp-it 2, dia menjalani latihan intensif bagi menjiwai watak itu serta menyertai beberapa perlumbaan tempatan.

“Ketika itu timbul hasrat mengangkat taraf perlumbaan sukan permotoran seperti enduro ini ke tahap yang lebih baik.

“Maka tercetuslah Kejuaraan Enduro Antarabangsa Sifu 2020,” katanya pada pelancaran acara itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir penaung Kelab Dunia Motor Malaysia, Anas Akashah Nazri dan naib pengerusinya, Mohd Nor Iman Mohd Arif.

Farid yang akan berlumba dalam kategori selebriti menambah, antara objektif utama penganjuran ialah untuk menggalakkan tunggangan selamat dan mengurangkan aktiviti lumba haram.

FARID bakal sertai perlumbaan.
FARID bakal sertai perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 6:30 AM
Digital NSTP Subscribe