HONDA Malaysia umum pelarasan harga 5% hingga 9%.
HONDA Malaysia umum pelarasan harga 5% hingga 9%.


HONDA Malaysia memaklumkan pelarasan harga antara lima hingga sembilan peratus bagi model keluarannya berkuat kuasa hari ini.

Ia membabitkan tiga model iaitu Jazz, City dan CR-V.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, langkah berkenaan diambil berikutan penilaian semula insentif khas kenderaan pemasangan tempatan (CKD).

“Insentif khas ini berbeza daripada peraturan penilaian eksais yang diumumkan sebelum ini yang mana ia dijangka tidak memberi kesan kepada harga kenderaan,” katanya.

Menurutnya, Honda Malaysia akan memenuhi semua peraturan yang ditetapkan dan pelarasan harga akan dilaksanakan di semua 100 pengedar sah Honda di seluruh negara.

Berdasarkan pelarasan harga baharu itu, model CR-V varian 2.0 2WD Standard menyaksikan kenaikan tertinggi sebanyak 9.25 peratus di Semenanjung Malaysia, dengan harga terbaharunya kini adalah RM151,100.

Sementara itu, kenaikan paling kecil menyaksikan harga baharu model City varian V yang meningkat 5.3 peratus kepada RM91,720.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 6:06 PM