Lizam Ridzuan


REKAAN gaya ‘sportsback’ dengan enjin berprestasi antara elemen utama untuk model Honda Accord Serba Baharu dan Honda Civic Baharu 2020 yang dilancarkan ke pasaran tempatan minggu ini.

Honda Accord serba baharu

Untuk Accord Serba Baharu Generasi ke-10 ini, ia ditampilkan reka bentuk baharu dengan rekaan lebih lebar, bumbung lebih rendah dan bonet lebih panjang untuk postur lebih bergaya.

Ia juga tampil dengan gril hadapan krim berkembar signatur Honda, lampu utama dan belakang LED, bampar rekaan baharu dengan gril radiator gabungan hitam berkilat dan rim aloi 18 inci Resonator yang direka khas untuk mengurangkan bunyi tayar.

Untuk ruang dalaman, ia diberi sentuhan falsafah ‘Man-Maximum, Machine Minimum’.

Dimensi jarak roda turut bertambah 55 milimeter (mm) selain ruang kaki belakang lebih luas dengan tambahan 48mm bagi keselesaan sepanjang perjalanan.

PAPAN pemuka Honda Accord Serba Baharu.
PAPAN pemuka Honda Accord Serba Baharu.

Tempat duduk penumpang pula dibaluti kulit, ia juga dilengkapi fungsi memori untuk penetapan posisi pilihan.

Tempat duduk penumpang pula dilengkapi empat larasan. Suis bahu dan pengecas tanpa wayar juga antara elemen premium yang ditawarkan.

Monitor pemerhatian pemandu pula memberikan amaran sebaik ia mengesan pemandu memberi kurang perhatian di jalan raya.

KERUSI kulit berkualiti tinggi.
KERUSI kulit berkualiti tinggi.

Ia juga lengkap paparan kluster meter TFT interaktif bersaiz tujuh inci untuk ketersambungan multimedia dan teknologi.

Accord ini juga diberi penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV), ia hadir dengan enjin 1.5L VTEC Turbocharged yang ditambah baik, menjadikan Honda pengeluar kereta Jepun pertama menawarkan enjin turbo dalam segmen-D.

Ia menjana kuasa 201PS dan daya tork maksimum 260Nm dan lebih berkuasa berbanding prestasi enjin daripada 2.4L.

Model ini turut diberi status lima bintang untuk Program Penilaian Kenderaan Baharu (NCAP) Asean.

Melalui ciri Honda Sensing, ia didatangkan dengan lapan elemen iaitu Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control), Sistem Mengikuti Kenderaan (Low Speed Follow), Lampu Tinggi Automatik (Auto High Beam), Sistem Amaran Perlanggaran Hadapan (Forward Collision Warning), Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (Collision Mitigation Braking System), Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System), Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation) dan Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning).

ENJIN 1.5L VTEC pengecas turbo.
ENJIN 1.5L VTEC pengecas turbo.

Untuk pasaran Malaysia, Honda Accord Serba Baharu ditawarkan dengan empat pilihan warna serta dua varian yang dijual pada harga bermula RM185,900 (1.5 TC) dan RM195,900 (1.5 TC-P).

Honda Civic baharu

Sebagai peneraju segmen-C di Malaysia, Honda Civic Baharu ini tampil dengan gaya baharu dengan ciri seakan-akan kenderaan segmen-D ditawarkan termasuk ciri Honda Sensing.

Model generasi ke-10 edisi 2020 ini dipertingkatkan untuk menyerlahkan gaya sebuah ‘fastback’ yang lebih menarik, terutama pada bampar hadapan baharu bersama gril hitam yang memberikannya penampilan lebih garang.

CIVIC dengan spolier belakang baharu.
CIVIC dengan spolier belakang baharu.

Kemasan pada bampar belakang dan ‘spoiler’ belakang baharu membuatkannya nampak semakin bergaya.

Rim aloi hitam bersaiz 18-inci baharu melengkapkan penampilan keseluruhannya yang dinamik, rendah dan lebar.

Dua pilihan enjin untuk Civic Baharu ditawarkan iaitu 1.5L VTEC Pengecas Turbo yang menghemburkan kuasa maksimum mencecah 173PS dan tork 220Nm dan 1.8L i-VTEC berkuasa 141PS dan tork 174NM yang kedua-duanya mendapat penarafan EEV.

PAPAN pemuka Civic 2020.
PAPAN pemuka Civic 2020.

Honda Civic Baharu dengan pilihan warna baharu merah mutiara dan empat warna lain ditawarkan melalui tiga varian yang dijual pada harga bermula RM113,600 (1.8S), RM129,600 (1.5TC) dan RM139,600 (1.5TC-P).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 7:30 AM
LEBIH lebar dengan bumbung rendah dan bonet panjang.
LEBIH lebar dengan bumbung rendah dan bonet panjang.
Digital NSTP Subscribe