X
Lizam Ridzuan


JIMAT penggunaan bahan api dan ruang but yang luas adalah elemen utama ia menjadi pilihan popular rakyat Malaysia.

Sejak diperkenalkan pada 2016, model ini yang sudah terjual 185,000 unit juga menambah rangkaian kenderaan terutama pembeli pertama atau yang baru memulakan kehidupan berkeluarga.

Model Perodua Bezza ialah sedan pertama untuk jenama Perodua bukan saja sebagai ‘kereta rakyat’ malah mendapat penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) yang pertama untuk sedan di negara ini.

Vroom berkesempatan memandu uji model terbaharu itu yang dilancarkan baru-baru ini bagi melihat dan merasai dengan lebih dekat ciri terkininya yang diketengahkan.

Melihat kepada rekaan luaran, perbezaan paling ketara boleh dilihat melalui penampilan rekaan lampu, gril dan bampar baharu.

Pada bahagian hadapan, ia didatangkan dengan gril signatur Perodua dan bampar hadapan lebih sporty dengan elemen bilah hitam pada lampu kabus.

Lampu hadapan daripada LED direka sedikit berbeza seterusnya menyerlahkan gaya ranggi kereta ini.

Bahagian belakangnya mengekalkan bentuk sama untuk lebih mudah dilihat dari jauh.

Paling menarik pada pandangan penulis ialah bampar belakang dengan gaya ‘diffuser’.

Elemen menegak pada sisi bawahnya memberi kesan visual but rendah daripada kelihatan ‘tonggek’ sebelum ini.

Skirt sisi dua tona sebagai ciri standard meskipun tidak ketara, namun ia menambah elemen sporty pada Bezza 2020 ini.

KEMASAN keseluruhan bergaya.
KEMASAN keseluruhan bergaya.

Untuk edisi 2020, empat varian ditawarkan iaitu Bezza 1.0G Manual, Bezza 1.0G Automatik, Bezza 1.3X Automatik dan varian yang dipandu uji penulis ialah yang tertinggi iaitu Bezza 1.3AV.

Selain lampu kabus, perbezaan yang mudah dilihat untuk model 1.3 dan 1.0 liter ialah dengan rim aloi 15 inci dua tona serta 14 inci.

Selain itu, varian AV juga dilengkapi cermin sisi dan lampu membelok yang boleh dilipat secara automatik. Ia antara ciri tambahan yang ditawarkan.

BAHAGIAN belakang tampil lebih kemas.
BAHAGIAN belakang tampil lebih kemas.

Bagi ruang dalaman, tiada perubahan ketara, namun antara pembaharuan yang diberi ialah kombinasi meter baharu dengan pencahayaan warna putih dan digital LCD untuk maklumat perjalanan.

Selain itu, pada papan pemuka, sentuhan elemen krom serta kerusi ‘semi-bucket’ kulit tampak mewah dengan jahitan merah kemas. Ia menjadikan dalamannya berada dalam kelas tersendiri.

Penulis juga menggemari ruang mengecas telefon dengan port USB pada konsol tengah bahagian belakang yang boleh digunakan dengan mudah.

Sistem multimedia dengan fungsi navigasi, ketersambungan pintar, Bluetooth dan HDMI membolehkan ia memainkan muzik pilihan daripada aplikasi telefon pintar.

Bezza 2020 juga dilengkapi sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, pengesan sisi hadapan yang terdapat pada varian 1.3 liter.

Pembaharuan paling utama ialah sistem Bantuan Pemanduan Selamat (A.S.A.) 2.0 yang ditawarkan untuk Perodua Bezza menerusi varian AV, menjadikannya sedan dengan ciri termaju paling mampu milik di Malaysia.

Ciri-ciri (A.S.A.) 2.0 ialah membantu mengurangkan risiko perlanggaran terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 kilometer/sejam (km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.

BAMPAR baharu lebih sporty.
BAMPAR baharu lebih sporty.

Ruang but adalah kelebihan utama model ini dengan kapasiti 508 liter.

Ia adalah yang terluas dalam segmennya dan untuk lebih muatan, kerusi belakang boleh direbahkan.

Ia dilengkapi enjin 1,329 cc dwi VVT-i DOHC yang menjana kuasa 95PS pada 6,000 rpm dan tork 121Nm pada 4,000 rpm.

Ia dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan automatik.

Pada pandangan penulis, sebagai kenderaan EEV dengan satu tangki penuh 36 liter, ia juga mampu menjangkau sekitar 350km (bergantung kepada muatan, faktor geografi dan corak pemanduan).

Setiap liter petrol pula mencatatkan sekitar 10.3km.

Prestasi pemanduan pula pada pandangan penulis adalah sesuai dengan tujuannya untuk kegunaan harian atau ‘jalan-jalan’ pulang ke kampung.

Ia cukup lancar pada pelbagai kelajuan dengan pemanduan gaya biasa.

Ciri lain terdapat padanya ialah butang sistem penghidup kenderaan, kamera undur, ISOFIX untuk kerusi bayi dan bunyi peringatan pemakaian tali pinggang keledar untuk pemandu serta penumpang hadapan.

KERUSI hadapan ‘semi-bucket’.
KERUSI hadapan ‘semi-bucket’.

Secara keseluruhan, Perodua Bezza meneruskan legasinya sebagai kenderaan pilihan dengan ciri pemilikan rendah termasuk alat ganti untuk khidmat selepas jualan.

Ciri keselamatan termaju ASA 2.0 disertakan dengan dua beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), Bantu Brek (BA) dan alat antikecurian.

Untuk tampil lebih menyerlah, aksesori GearUP dengan aksesori serta spoiler belakang boleh dipasang dengan tambahan RM2,0000.

Dua warna baharu diperkenalkan iaitu Garnet Red (1.3 liter) dan Granite Grey.

Ia menyertai empat warna sedia ada iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown.

Perodua Bezza 2020 dijual pada harga bermula RM34,580 dan untuk varian Bezza 1.3AV, ia dijual pada harga RM49,980 dengan jaminan lima tahun atau 150,000km yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 7:00 AM