PROTON beroperasi mengikuti waktu PKP2.
PROTON beroperasi mengikuti waktu PKP2.
Lizam Ridzuan


SEJAK pengumuman Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) pada 18 Mac lalu yang kemudian dilanjutkan sehingga 14 April hadapan semua operasi perniagaan seakan terhenti.

Terutama kepada syarikat pengeluar kenderaan dengan jumlah pekerja yang ramai serta pengeluaran yang harus disegerakan semua ini memberikan kesan, namun harus dipatuhi arahan daripada kerajaan Malaysia dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Tidak terkecuali Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) yang mengambil pendekatan serupa untuk keselamatan dan kesihatan pekerja sepanjang tempoh PKP ini.

Namun syarikat mendapat kelulusan daripada agensi berkaitan untuk meneruskan operasi penting yang dijalankan oleh pekerja-pekerja berkaitan sepanjang tempoh ini.

Antaranya ialah pusat penyelenggaraan fasiliti pengeluaran Proton serta pusat servis terpilih untuk khidmat servis kepada kereta-kereta Proton yang digunakan agensi-agensi kerajaan yang beroperasi.

Mempunyai hampir 10,000 pekerja, meskipun sebelum PKP dilaksanakan lagi semua pergerakan pekerja yang perlu bertugas di luar daerah dihadkan sejak awal Februari.

Mereka yang pulang dari luar negara pula perlu menjalani kuarantin selama 14 hari dan diperiksa sebelum dan selepas tempoh itu.

Selain itu pemantauan kesihatan setiap pekerja dilakukan dua kali sehari daripada semua peringkat dan sekiranya ada yang disyaki dijangkiti akan diasingkan dan diberi rawatan segera.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong berkata sebaik wabak Covid-19 menjadi berita utama, Proton sudah merangka pelan tindakan untuk membendung jangkitan.

“Antara yang terawal kami lakukan ialah membatalkan semua perjalanan perniagaan ke luar negara serta operasi kerja dari rumah untuk beberapa jabatan sekiranya terdapat kakitangan yang disyaki dijangkiti,” katanya.

Operasi berkaitan syarikat yang diteruskan sama ada bagi memastikan segalanya berjalan lancar tanpa sebarang penangguhan serta mesyuarat kini dilakukan melalui penggilan video.

PEKERJA Proton yang bekerja dari rumah.
PEKERJA Proton yang bekerja dari rumah.

Pekerja di setiap jabatan yang beroperasi perlu mengadakan perjumpaan harian bersama ketua jabatan masing-masing dengan penjarakkan sosial yang selamat.

“Kami amat menghargai teknologi komunikasi melalui sidang video dan mesej yang mana segala perbincangan boleh dilakukan dari mana-mana dengan sambungan internet dan berusaha mengekang segala gangguan operasi seminimum mungkin,” tambahnya lagi.

Terdahulu Proton juga meminjamkan sebanyak 50 unit model Proton X70 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), digunakan untuk membawa petugas pergi dan pulang dari tempat kerja serta menghantar mereka ke mana-mana kawasan di negara ini yang menjadi tumpuan dan memerlukan perhatian segera.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 6:08 PM