PROTON Saga.
PROTON Saga.
Lizam Ridzuan


BERITA baik untuk mereka yang ingin atau sudah memulakan perkhidmatan e-panggilan, Proton kini memperkenalkan tawaran insentif terbaharu untuk pembelian kereta bagi tujuan itu.

Terutama untuk model Proton Persona, Iriz, Exora, Saga atau X70 ia kini ditawarkan dengan hadiah kad petrol Petronas bernilai RM500 atau mendapatkan potongan harga pembelian kereta dengan nilai yang sama.

Namun untuk mendapatkan tawaran ini pembeli perlu mengemukakan salinan lesen e-panggilan PSV yang sah sebagai bukti untuk mendaftarkan kenderaan tersebut di atas nama sendiri.

Ketua Jualan Korporat Proton Edar, Fazli Hisham Shukor berkata selain itu mereka juga menyediakan potongan harga tambahan daripada RM300 hingga RM1,500 untuk model terpilih sehingga 31 Disember ini buat yang mahu membeli untuk pemandu berbeza.

"Untuk itu Surat Persetujuan menyatakan tujuan pembelian serta nama penuh, nombor kad pengenalan dan salinan lesen e-panggilan perlu dikemukakan bagi meluluskan pembelian,

"Ini bagi memberi kemudahan untuk mana-mana individu sekiranya pembeli kereta adalah isteri dan pemandu adalah suaminya," katanya dalam satu siaran akhbar baru-baru ini.

Selari dengan pertambahan rakyat Malaysia yang kini beralih kepada industri e-panggilan, tawaran ini dilihat memenuhi keperluan pengguna yang mahu menggantikan kereta sedia ada atau pembelian baru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 1:24 PM