Lizam Ridzuan

SEBAIK kebenaran rentas negeri dibenarkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), penulis terus mengambil peluang menunggang uji model super sport Kawasaki Ninja H2 SX SE ABS.

Walaupun dilancarkan untuk pasaran tempatan lebih setahun lalu, belum terlewat bagi menguji model ini yang diasaskan daripada model prestasi dan premium Kawasaki H2 serta H2R.

Bagi tujuan 'sport touring', ia diserlahkan dengan padanan beg sisi binaan khusus pengeluar aksesori Givi bagi disesuaikan untuk perjalanan jarak jauh.

Kerangka trelis direka semula untuk membolehkan model ini membawa pembonceng dan meletakkan beg.

Jarak roda turut dipanjangkan bagi kestabilan pada kelajuan tinggi dengan muatan.

Bentuk 'fairing' hadapan sporty bukan sekadar gaya malah ia bercirikan aerodinamik.

NINJA H2 SX model sport jelajah pertama Kawasaki.
NINJA H2 SX model sport jelajah pertama Kawasaki.

Melaluinya, ia melancarkan aliran angin. Pada masa sama, lampu selekoh pada kedua-dua sisi badan motosikal akan menyala mengikut darjah kecondongan jentera berkenaan.

Penulis menunggangnya ke Terengganu melalui Lebuhraya Pantai Timur yang memiliki pelbagai karakter seperti selekoh, berbukit dan jalan lurus panjang bagi menilai prestasi enjin serta posisi menunggang.

Ninja H2 SX SE ABS enam kelajuan ini dilengkapi enjin 998cc empat silinder selari dengan 'supercharged' suntikan bahan api berkembar yang ditala semula untuk memberikan kuasa 210 PS pada 11,000 rpm dan tork 137.3Nm pada 9,500 rpm.

Sesuai sebagai model prestasi, ia dilengkapi panel meter TFT dan meter LCD bagi pelbagai maklumat perjalanan serta fungsi lain seperti paparan tiga mod Kawalan Cengkaman Kawasaki (KTRC), mod Power F dan L serta paparan untuk tujuan touring atau sport.

Ia juga model sport jelajah pertama Kawasaki yang menerima kawalan fungsi pelayaran bagi perjalanan lebih selesa tanpa perlu memulas pendikit yang turut dilengkapi sistem pemanas jika menunggang di kawasan dingin dan sejuk.

Jentera ini juga dilengkapi Fungsi Pengurusan Selekoh Kawasaki (KCMF) dengan perisian termaju yang mengawal parameter enjin dan casis untuk kelancaran dan pecutan.

CIRI dan teknologi termaju.
CIRI dan teknologi termaju.

Ia dibuktikan ketika melayari jalan berbukit dengan selekoh tajam dan panjang di antara laluan Bentong dan Gombak.

Ia menambah keyakinan penunggang mengambil selekoh meskipun dengan muatan beg kiri dan kanan motosikal.

Pada laluan lurus, enjin supercharged menawarkan kelancaran dan kuasa mengikut apa yang diperlukan dan pada kelajuan rendah, jentera seberat 260 kilogram ini juga stabil.

Selepas menunggang uji untuk beberapa hari, jentera ini sememangnya menawarkan hampir semua segmen motosikal prestasi dengan pakej yang lebih premium.

Melayan selekoh, tunggangan jarak jauh, gaya sporty dan dalam masa berimej sport touring, ia memberikan anda banyak pilihan bagi disesuaikan dengan corak dan tujuan ke mana destinasi perjalanan.

Posisi menunggang yang santai dan pelana pembonceng adalah ciri yang membezakan ia dengan model H2 dan H2R yang direka untuk prestasi maksimum.

Untuk keselesaan tambahan, ia didatangkan dengan lengan ayun tunggal dan suspensi belakang melintang 'back-link' yang boleh dilaras.

ENJIN dengan Supercharged.
ENJIN dengan Supercharged.

Ciri keselamatan terbaik juga dilengkapi pada model ini dengan Sistem Brek Anti-Kunci Pintar Kawasaki (KIBS) selain lampu hadapan dan belakang LED serta lampu kecemasan yang mudah dilihat dari jauh serta jelas pada waktu malam.

Untuk 19 liter tangki bahan api dengan jarak perjalanan lebih 1,000 kilometer, penulis hanya mengeluarkan RM120 untuk mengisi bahan api.

Malah bahan api masih berbaki sebaik tiba semula di Kuala Lumpur.

Untuk pasaran Malaysia, Ninja H2 SX SE ABS dijual pada harga RM136,900 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan dua tahun.

Model ini adalah import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 7:00 AM
POSISI menunggang sporty dan selesa.
POSISI menunggang sporty dan selesa.