ANAS memperkenalkan Rolls-Royce Cullinan Black Badge untuk pasaran Malaysia.
ANAS memperkenalkan Rolls-Royce Cullinan Black Badge untuk pasaran Malaysia.
Lizam Ridzuan


ROLLS-ROYCE Motor Cars (RRMC) Kuala Lumpur sebagai pengedar rasmi kenderaan mewah Rolls-Royce di negara ini memperkenalkan Rolls-Royce Cullinan edisi Black Badge untuk pasaran tempatan.

Pengarah Eksekutifnya Anas Zawawi Khalid berkata kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah itu kini melengkapi barisan Black Badge jenama itu di negara ini selain Wraith dan Ghost yang diperkenalkan pada 2016 dan Dawn (2017).

"Melihat akan perubahan ketara dalam pasaran kenderaan mewah di negara ini yang mana semakin ramai golongan muda memiliki Rolls-Royce turut gemarkan cabaran lasak maka SUV dengan penampilan lebih segar ditawarkan khusus buat mereka yang mahu tampil berbeza serta berani," katanya ketika pelancaran pagi tadi.

Selepas pengenalan model itu pada 2018, ia bukan sahaja menggabungkan kemewahan dan kelasakan dengan kemampuan merentasi laluan lasak malah memiliki ciri praktikal dan kini tampil dengan kemasan baru lebih kontemporari.

Antara yang menyerlah ia rekaan luaran dengan tema hitam gelap dengan maskot 'The Spirit of Ecstasy' juga tampil dengan krom hitam berkilat serta garisan koc (coachline) yang dilukis secara manual.

Ruang dalaman dihiasi simbol infiniti tampil dengan ciri 'bespoke' gabungan kulit dan gentian karbon bermutu tinggi serta bumbung dihiasi dengan 1,344 lampu gentian optik sulaman tangan mewujudkan suasana malam dengan ribuan bintang.

"Usia pembeli jenama ini berubah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini daripada 50 kepada peringkat usia 30 hingga 40 tahun dan model ini antara yang sesuai buat mereka selain menawarkan kepuasan pemanduan," katanya.

Untuk prestasi ia dijana enjin 6.75 liter V12 turbo dengan kuasa kuda 600PS dan tork 900Nm serta dilengkapi kotak gear lapan kelajuan ZF.

Rolls-Royce Cullinan Black Badge dijual untuk pasaran Malaysia pada harga bermula RM1.7 juta dan jika ditempah sekarang kenderaan akan diterima pelanggan sekitar Oktober hingga November tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 1:26 PM