MEMERIKSA bacaan pencahayaan.
Aniza Zainudin


‘PLANT factory’ atau lebih dikenali dengan terma, ‘vertical farming’ (tanaman secara menegak), bukan teknologi atau kaedah terbaharu dalam dunia pertanian.

Sebaliknya ia menjadi satu daripada alternatif hangat diperkatakan sebagai cara untuk mengurangkan risiko keselamatan makanan pada masa depan.

Kaedah tanaman secara menegak ini boleh diaplikasikan dalam kawasan bangunan industri ataupun setiap unit kediaman.

Mengambil inspirasi sama, Jabatan Pertanian Malaysia memperkenalkan dan membangunkan teknologi ‘veggie factory’ (kilang sayuran) sejak hujung 2016, sebelum beroperasi sepenuhnya pada 2017.

Inovasi ini dihasilkan melalui kaedah tanaman sayuran secara tertutup dengan mengguna pakai sistem pencahayaan LED sebagai media fotosintesis bagi mengeluarkan sumber makanan berkualiti, segar dan selamat dimakan.

Lagi menarik, kaedah ini juga mampu mempercepatkan tempoh tuaian berbanding penanaman secara konvensional.


MUHAMMAD Akmal memantau sayuran ditanam.

Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Selangor, Adam Supu berkata teknologi ini diinspirasi daripada teknologi Jepun sekitar 2004.

“Negara berkenaan memperkenalkan teknologi ‘vertical farming’ selepas berlakunya bencana alam, tsunami di Fukushima.

“Namun, versi Malaysia kita menggunakan beberapa pendekatan bagi memudahkan teknologi ini dilaksanakan dengan kos lebih rendah.

“Pendekatan teknologi ini dipercayai dapat meningkatkan produktiviti tanaman di kawasan terhad seperti bilik, terutama sayuran yang berkualiti tinggi dan bebas racun perosak.

“Jika pengusaha atau individu sentiasa memastikan kebersihan kawasan ‘veggie factory’, pasti 100 peratus penggunaan racun serangga perosak dapat dikurangkan,” katanya ketika ditemui di Serdang, baru-baru ini.

Penolong Pegawai Pertanian, Muhammad Akmal Ahamad Pudzi berkata terdapat enam faktor kawalan bagi kilang sayuran yang diusahakan.


SEKURANG-kurang 16 jam cahaya diperlukan.

“Pencahayaan sangat penting kerana tumbuhan memerlukannya untuk melakukan proses fotosintesis. Pencahayaan yang secukupnya daripada lampu LED atau ‘horticulture’ dapat mempercepatkan pertumbuhan pokok.

“Kita mengamalkan pencahayaan berkala seperti lapan hingga 16 jam dengan kekerapan satu sesi selama empat jam, sebelum dihentikan selama dua jam dan kemudiannya, sesi kedua dan seterusnya.

“Faktor kedua adalah pembajaan dan pengairan. Pembajaan dijalankan dengan menggunakan baja larutan (dipanggil Set A dan B).

“Terdapat beberapa teknik pengairan bagi industri pertanian vertikal ini seperti ‘deep water culture’ (DWC) seperti takungan, ‘nutrient film technique’ (NFT), ‘deep flow technique’ (DFT) dan ‘Aeroponic’.

“Kualiti air perlu dijaga, bersih, tidak tercemar, tidak berbau, kadar garam terlarut terjaga, kandungan oksigen dan sebagainya.

“Faktor ketiga, keperluan gas karbon dioksida dikira sebanyak 1,000 ppm (empat jam sehari) kerana ia membantu proses fotosintesis,” katanya.

Tambahnya lagi, penjagaan kelembapan optimum bagi memastikan pertumbuhan pokok terjamin.

Selain itu, faktor pengudaraan juga penting untuk membantu meningkatkan proses penyerapan gas karbon dioksida dalam tumbuhan.

Jelasnya, suhu optimum antara 21 hingga 24 darjah Celsius diperlukan dan bergantung kepada jenis tanaman. Ini kerana perubahan suhu mempengaruhi kadar respirasi, fotosintesis, pertumbuhan pokok dan aktiviti enzim.


SEMAIAN menggunakan span industri.

Prospek perancangan projek ‘veggie factory’Jabatan Perumahan Negara mencatatkan sebanyak 16,036 unit rumah daripada 74 projek perumahan terbengkalai di Semenanjung Malaysia pada 2016.

Data ini juga menunjukkan seramai 11,339 pembeli terjejas dan dibelenggu pinjaman perumahan yang tidak sempurna akibat sikap tidak bertanggungjawab pemaju.

Di sebalik situasi itu, Jabatan Pertanian Malaysia beranggapan projek bangunan terbengkalai mahupun terbiar tanpa tindakan seterusnya wajar dimanfaatkan dengan cara lebih berkesan.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Selangor, Ho Ten Fook, bangunan terbiar itu boleh dijadikan lokasi sesuai bagi melaksanakan projek kilang sayuran dalam jangka masa panjang.

“Berbanding ia dibiarkan runtuh, struktur berkenaan boleh diubah suai menjadi ‘veggie factory’ berpusat dan setempat bagi komuniti sekitar.

“Sebenarnya hanya kos untuk memulakan kilang ini memerlukan perbelanjaan tinggi, namun selepas ia dibina dan tersedia, kos operasi dan pengurusan bulanannya tidak terlalu mahal seperti disangka.

“Apabila bangunan terbiar dijadikan kilang sayuran, tidak mustahil ia dapat menarik perhatian dan minat dalam kalangan anak muda untuk mengusahakan kilang sayuran.

“Kita sentiasa terbuka untuk memberi khidmat nasihat dan berkongsi pengalaman bersama masyarakat sekiranya berminat untuk menceburi bidang ini, terutama berskala kecil ataupun di kediaman sendiri.

“Pelaksanaan kilang sayuran dalam komuniti sama ada berskala kecil mahupun besar dilihat dapat mengurangkan risiko keselamatan makanan pada masa depan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 5:50 AM