Muhammad Saufi Hassan


TERKENAL sebagai habitat semula jadi untuk haiwan spesies panda dan mempunyai rekod sejarah purba menjangkaui usia 3,000 tahun. Ia juga antara tiga bandar paling popular di wilayah barat China.

Chengdu yang juga ibu kota bagi wilayah Sichuan terkenal dengan penyelidikan teknologi dan nadi ekonomi republik berkenaan. Berdasarkan perspektif wilayah ekonomi, Chengdu diletakkan dalam kategori ‘Beta+’ oleh Rangkaian Penyelidikan Bandar Dunia dan Globalisasi yang ditakrifkan sebagai pembangunan ekonomi memberangsangkan.

PUSAT Penyelidikan Panda Gergasi bermula dengan enam ekor panda sekitar 30 tahun lalu.

Menyentuh aspek geografi pula, Chengdu sangat kaya dengan pemandangan yang memukau dan mempunyai iklim sederhana sejuk malah tidak hairanlah ia menjadi lokasi paling ideal dijadikan habitat semula jadi panda.

Malah ia antara lokasi di China yang mempunyai empat musim berbeza dan pengunjung perlu melakukan perancangan jika ingin melawat sama ada memilih musim sejuk apabila suhu mencapai 5 darjah Celsius atau memilih musim bunga, luruh selain panas.

PEMANDANGAN ibu kota Chengdu memperlihatkan bangunan pencakar langit sesuai dengan jolokan ‘bandar kewangan’.

Penulis berkesempatan melawat Chengdu ketika menghadiri Hari Inovasi Antarabangsa Huawei dan tatkala menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Chengdu, cuaca dingin dan sesekali angin menyapa.

Menelusuri laluan keluar dari lapangan terbang ke pusat bandar, penulis dapat melihat banyak bangunan pencakar langit di kiri dan kanan, selain ia sangat sesuai dengan jolokan nama lain bagi Chengdu iaitu antara ‘kota kewangan’ paling penting untuk China.

Daya tarikan utama di Chengdu sudah semestinya Pusat Penyelidikan Panda Gergasi dan penulis perlu menaiki bas pelancongan kira-kira 40 minit dari lokasi penginapan iaitu di Hotel Antarabangsa Waldorf Astoria yang terletak di daerah Wuhou.

PUSAT Penyelidikan Panda Gergasi menjadi tarikan utama pelancong asing dan tempatan.

Pusat penyelidikan berkenaan sudah beroperasi kira-kira 30 tahun lalu dan ia dibuka kepada orang awam pada 1993. Ketika itu, pusat berkenaan hanya mempunyai enam ekor panda yang diselamatkan dan berkembang menjadi 124 ekor pada 2008 dan sehingga kini, angka berkenaan terus meningkat.

Caj tiket kemasukan hanya kira-kira RM35 atau dalam mata wang China sekitar 58 Yuan dan pengunjung boleh memilih untuk menaiki kereta elektrik mengelilingi pusat berkenaan atau berjalan kaki.

Bagaimanapun, penulis memilih untuk berjalan kaki kerana ketika itu, cuaca di sekitar Chengdu dingin dan mendung, selain ingin menikmati keindahan semula jadi pusat berkenaan.

LANDSKAP semula jadi Pusat Penyelidikan Panda Gergasi.

Lokasi ini mempunyai beberapa bahagian yang menempatkan panda dewasa, lokasi pembiakan panda, pusat pemantauan untuk anak panda yang baru dilahirkan dan ruang tontonan umum bagi pengunjung yang mahu melihat haiwan berkenaan bermain di taman berkenaan.

Pengunjung dicadangkan untuk datang ke pusat ini pada jam 8 pagi memandangkan panda akan memulakan waktu tidurnya sekitar jam 11 pagi dan menghabiskan masa seharian dengan tidur.

Masa yang diambil penulis untuk melawat setiap bahagian pusat penyelidikan itu sekitar tiga jam, namun pengunjung yang membawa anak kecil sudah pasti perlu menghabiskan masa agak panjang dan cadangan tempoh lawatan adalah sekitar lima jam.

PINTU masuk pusat penyelidikan berkenaan yang menjadi lokasi wajib jika pengunjung melawat ibu kota Chengdu.

Set audio alih bahasa juga disediakan untuk pengunjung yang memilih pakej lawatan bersama jurupandu dan mereka akan melakukan penerangan berhubung setiap bahagian pusat penyelidikan itu dan maklumat berkaitan panda.

Jika berkunjung ke negara orang sudah pasti mahu membeli buah tangan, cenderamata atau simbol kenang-kenangan. Lokasi paling sesuai di Chengdu untuk semua barangan berkenaan adalah melawat di Jinli Ancient Street.

Lokasi ini sangat unik kerana penulis boleh memilih cenderamata pilihan dan mendekati laluan zaman purba yang dihiasi bangunan dengan seni bina purba.

PENULIS bergambar di hadapan pintu gerbang Jinli Ancient Street.

Laluan berkenaan sepanjang kira-kira 550 meter merangkumi Kuil Marquis dengan struktur bangunan ketika zaman Dinasti Qing. Ia sekali gus memberi gambaran suasana purba kepada penulis atau pengunjung yang mahu melihat kembali era dinasti purba.

Tidak ketinggalan Chengdu juga terkenal dengan masakan yang pedas dan untuk pengunjung Muslim, terdapat pelbagai pilihan makanan dari mi pedas sehingga makanan berasaskan ikan atau daging.

Penulis juga merasakan bahawa Chengdu antara lokasi mesra Muslim memandangkan wujud pelbagai pilihan makanan selain lokasi menarik untuk dikunjungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 6:00 AM