NASARUDIN dan Sanidah mengangkat anak pokok yang dijual pada harga RM1 sepokok.
Helmy Abd Rahman dan Baharom Bakar


ASAL mahu, rezeki pasti muncul ‘depan pintu.’

Tanpa memerlukan tanah berhektar atau ruangan besar, dua usahawan tani ini membuktikan gabungan kreativiti, kesungguhan dan minat mendalam terhadap pertanian mampu memberi hasil lumayan buat mereka walaupun hanya bercucuk-tanam di kawasan kediaman.

Malah bagi Nasarudin Mohamed, 48, dari Kampung Bakat, Jabi, Besut dan Mohd Pauzi Yusoff, 63, yang menetap di Ajil, Hulu Terengganu, tidak perlu modal besar untuk memulakan perniagaan itu.

Nasarudin memulakan perniagaan menjual anak pokok pelbagai jenis hanya RM1 sepokok lebih 10 tahun lalu.

Dengan mengusahakan perniagaan itu di kawasan kediaman saja, dia kini boleh berbangga apabila mampu memperoleh pendapatan lumayan antara RM3,000 hingga RM4,000 seminggu.

“Bagi pelanggan yang datang membeli sendiri di rumah, saya jual pada RM1 sepokok tetapi di pasar tani saya jual RM2 sepokok.

“Ada juga usahawan lain yang beli daripada saya dan menjualnya di pasar tani atau kawasan lain dan harganya juga sama iaitu saya jual RM1, kemudian mereka jual RM2.

“Saya tak bercadang menaikkan harga, biarlah sama-sama untung,” katanya.

Menurut Nasarudin, mulanya dia menceburi bidang pertanian dengan menanam tanaman selalu digunakan masyarakat Melayu dalam masakan, antaranya kunyit, cili, lengkuas dan pelbagai jenis sayuran di sekitar kawasan rumah.

“Kemudian saya terfikir kenapa orang lain tidak boleh menanam seperti saya yang hanya menggunakan kawasan terhad sekitar rumah saja.

“Dari situ timbul idea menjual anak pokok terutama tanaman untuk bahan masakan,” katanya.

Dia yang dibantu isteri, Sanidah Bakron, 43, berkata, perniagaannya semakin mendapat sambutan apabila ramai pelanggan berpuas hati dengan anak pokok yang dijual di samping layanan diberikannya.

Malah, kata Nasarudin, dia tidak lokek berkongsi ilmu penanaman dan penjagaan pokok kepada pelanggannya membuatkan perniagaannya bertambah maju dari sehari ke sehari.

“Selain tanaman popular, kami menjual pokok sukar ditemui contohnya senduduk putih yang dikatakan berkhasiat merawat pelbagai jenis penyakit.

“Alhamdulillah, kami kini mempunyai pelanggan bukan saja dari seluruh Malaysia, malah luar negara,” kata bapa kepada empat anak berusia empat hingga 18 tahun itu.


NASARUDIN dan Sanidah (dua dari kiri) menerangkan kepada pelanggan jenis anak pokok yang ditanam di kawasan rumah mereka.

Sementara itu bagi Mohd Pauzi pula, sekeliling kawasan rumahnya ditanam pelbagai jenis sayuran organik.

Tidak hairanlah, awalnya dilakukan sebagai memenuhi masa lapang bersama isterinya, Che Asmah Puteh, 60, sejak tiga tahun lalu di kediamannya di Kampung Tanah Lot, Batu 18, Ajil menarik perhatian bukan saja penduduk setempat, malah peserta dari luar Terengganu yang dipilih menyertai kursus pertanian kebun bandar di anjurkan Jabatan Pertanian negeri.

Mohd Pauzi dinobatkan sebagai ikon kebun bandar oleh Jabatan Pertanian Terengganu berkata, usahanya sebagai memenuhi masa lapang mampu menjimatkan kos ahli keluarga mendapatkan pelbagai jenis sayuran.

Bekas pesara Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) itu berkata, tanaman hijau menghiasi halaman rumah bukan

hanya memberi suasana nyaman, malah membantu kawasan taman perumahannya memenangi beberapa anugerah keceriaan kampung peringkat daerah Hulu Terengganu.

“Semua ruang tanah kosong di sekeliling rumah, saya manfaatkan sepenuhnya dengan menanam lebih 30 jenis sayuran, buah-buahan, herba dan ulam-ulaman antaranya sawi, kangkung, bendi, kailan, kucai, bayam, anggur, petola, labu air, cabang tiga, serai, ulam raja, daun kesum, kunyit, halia serta lengkuas.

“Tanaman dalam bekas polistirena ini bukan sahaja menjimatkan belanja dapur, malah dapat meningkatkan ekonomi selaras dengan konsep tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam manakala selebihnya dijual.

“Menerusi inisiatif ini, saya dapat menunjukkan kepada masyarakat biarpun ruang terhad, kita masih boleh memanfaatkannya mengikut kreativiti seperti menggunakan bekas atau pasu untuk tanam sayur,” katanya.

Jelas Mohd Pauzi, dia dan isteri hanya mengambil masa dua jam sehari untuk penjagaan tanaman diusahakan iaitu satu jam selepas menunaikan solat Subuh membabitkan aktiviti menyiram pokok serta satu jam pada sebelah malam untuk membuang serangga perosak.

“Tanaman saya melebihi 300 pokok dan dipermudahkan dengan kerja penyiraman oleh Jabatan Pertanian negeri yang membekalkan tangki air dan paip khas yang berfungsi menyalurkan air secara automatik jika tanah kering menggunakan teknik titisan air menerusi sistem fertigasi.

“Sayuran dan pokok ulaman tidak memerlukan baja lain bagi mengelakkan sayur rosak, sebaliknya menggunakan baja bertujuan mempercepatkan tumbesaran pokok selain berkhasiat berikutan bebas penggunaan racun makhluk perosak dibekalkan Jabatan Pertanian (negeri).

“Saya tidak pernah menjual sayur dan ulam-ulaman yang dikutip, sebaliknya mengagih-agihkan secara percuma kepada jiran dan penduduk di kawasan taman perumahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:00 AM