MOHD Shukri membelai kambing baka Jamglo kesayangan dipanggil Mona Jr. FOTO NSTP
Ahmad Rabiul Zulkifli


DI negara ini, kambing baka tidak terkenal seperti lembu baka, namun inisiatif seorang lelaki di Kampung Durian Guling, Kuala Terengganu menjalankan aktiviti penternakan kambing baka dan ternakannya itu dikacuk, membuka mata masyarakat terutama dalam kalangan penternak kambing.

Menggunakan kambing baka jenis Jamnapari yang berasal dari India dan Anglo Nubian dari Eropah, Mohd Shukri Saat menghasilkan spesies baka campuran terbaharu yang dipanggil Jamglo mempunyai gabungan kedua-dua kambing baka itu.

Jamglo yang bersaiz besar seperti Jamnapari serta memiliki bulu cantik seperti Anglo Nubian, mengambil masa lebih lima tahun untuk dihasilkan melalui proses kacukan atau penghibridan.

“Saya langsung tak menyesal ‘mengorbankan’ lebih 40 kambing kampung yang diternak sejak enam tahun lalu semata-mata untuk dijadikan modal bagi membeli pelbagai jenis kambing baka.


KAMBING baka Jamglo yang jinak dan suka dibelai. FOTO NSTP

“Setakat ini saya memperuntukkan lebih RM30,000 bagi menampung kos keseluruhan mendapatkan baka terbaik. Ternyata hasil yang saya peroleh sekarang sangat memuaskan dan baka Jamglo yang dihasilkan boleh dijual pada harga lebih tinggi berbanding baka asal.

“Andai diteruskan secara konsisten, pulangan yang bakal diperoleh untuk jangka panjang sangat tinggi tetapi bergantung pada permintaan. Kambing baka Jamglo ini lengkap dengan ciri-ciri terbaik kambing baka Jamnapari dan Anglo Nubian.

“Biarpun baka ini masih baharu, ia mempunyai banyak kelebihan berbanding baka asalnya,” ujar lelaki berusia 31 tahun ini.

Tambahnya, dia menjalankan enam tapisan pembiakbakaan sebelum terhasil baka Jamglo.

“Masa diambil memang lama untuk menghasilkan baka Jamglo sempurna tetapi penantian itu sangat berbaloi. Berpandukan pasaran sekarang, anak kambing Jamglo berumur empat bulan boleh dijual pada harga RM2,000 seekor.

“Walaupun masih muda, berat dan saiznya menyamai kambing kampung dewasa iaitu sekitar 30 kilogram (kg). Kambing Jamglo berusia lebih setahun pula boleh dijual pada harga RM4,500 hingga RM8,000 seekor. Ia mampu mencapai berat sehingga 165kg seekor,” jelasnya.


KAMBING baka Jamnapari yang dijadikan induk. FOTO NSTP

Menurutnya lagi, jenis kambing baka terbabit tidak dijual sebagai kambing daging sebaliknya menjurus haiwan peliharaan untuk pertandingan, sekali gus menjadikan harganya sangat subjektif serta tinggi.

“Makin cantik dan unik warna bulunya selain bersaiz besar, lebih tinggi harga yang diletakkan dan ia mendapat permintaan tinggi.

“Seronok menternak kambing jenis baka ini kerana kos makanannya sama saja seperti kambing kampung walaupun bersaiz dua kali lebih besar berbanding kambing kampung,” ujarnya.

Bercerita mengenai kos pemakanan kambing baka, jelasnya, kambing Jamglo amat menggemari palet dan pelbagai jenis daun antaranya daun pokok sisik puyu.


RUPA unik kambing baka Jamglo yang berbulu lebat. FOTO NSTP

“Paling tinggi pun belanja makanan hanya mencecah RM200 sebulan bagi menampung kos makanan 15 ekor kambing baka yang saya ada sekarang. Saya juga memberi ternakan ini makan kulit pisang.

“Kambing baka ini juga jinak secara semula jadi dan gemar bermanja serta dibelai, berbeza dengan kambing kampung. Sebab itu ia amat sesuai untuk pertandingan,” katanya.

Katanya lagi, tabiat pelik kambing Jamglo ialah ia gemar dimandikan kerana sejak kecil memang biasa dimandikan setiap minggu.

“Selain beri makan cukup, kambing baka ini diternak di dalam kandang bersih bagi memastikan bulunya kekal sihat dan bersih untuk tujuan pertandingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 5:00 AM