Mohd Sabran Md Sani


KAGUM penulis apabila sebuah negara yang mempunyai penduduk minoriti Muslim mampu menerapkan konsep halal dalam perkhidmatannya.

Bukan saja mesra Muslim, tetapi rangkaian hotel dan restorannya turut memiliki pensijilan halal yang diiktiraf badan Islam. Langkah itu bagi memastikan tiada prasangka dan was-was dalam kalangan pelancong beragama Islam.

Itu antara komitmen kerajaan Taiwan dalam mempromosi pelancongan halal menerusi Program Salam Taiwan yang diperkenalkan sejak tahun lalu.

Ia antara pengalaman menarik penulis bersama rombongan ejen pelancongan Malaysia dalam meneroka Taiwan menerusi ‘Taiwan Leisure Farm Muslim Familiarization Trip’ anjuran bersama Pertubuhan Leisure Farm, baru-baru ini.

Empat jam perjalanan menaiki pesawat China Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, Taiwan, bukan misi biasa.

Rombongan disertai lebih 10 ejen pelancongan Muslim tempatan itu memberi banyak ruang baharu kepada penulis.

Menilai sejauh mana pakej pelancongan halal diketengahkan di negara berjiran Tembok Besar, China itu bersumberkan alam semula jadi termasuk lawatan ke ladang.

Kaca mata penulis juga perlu sehaluan, perlu objektif dalam mencari destinasi menarik yang ditawarkan sepanjang kembara itu tanpa sia-sia dan paling penting mesra Muslim.

Bagi penulis yang jarang-jarang ke luar negara, pasti tidak banyak idea mengenai pelancongan halal, apatah lagi perjalanan terdahulu hanya membabitkan negara serumpun.

Teka-teki dan persoalan penulis mengenai pasaran Muslim akhirnya terjawab, menerusi pakej enam hari bersama ejen pelancongan di Johor itu.

Tuah tinggal dengan rakan sebilik yang juga ejen pelancongan tempatan membuka rahsia kehendak pasaran Muslim ditawarkan di Taiwan.


SUASANA dekat dengan alam di Hualu Flower Home.

Bahkan berada di negara itu umpama ‘kawalan kualiti’ sebelum ‘menjual’ kembali pakej Muslim yang memenuhi keperluan sektor pelancongan mesra Muslim.

Antaranya keperluan diberi keutamaan membabitkan tawaran pakej halal termasuk makanan, restoran, penginapan, kemudahan bersolat dan pakej unik menepati kehendak pelancong Muslim.

Paling penting misi pelancongan ini, tidak seperti pakej pelancongan biasa sebaliknya berorientasikan keluarga dan sesuai untuk pasangan yang ingin berbulan madu dengan konsep ‘back to nature.’

Jika selalunya kembara Taiwan menawarkan pakej wajib ke pusat bandar dengan sajian bangunan pencakar langit, Taipei 101, kini hala tujunya berpusing 360 darjah.

Di sebalik bangunan kedua tertinggi selepas Burj Khalifa, di Dubai, Taiwan sebenarnya mempunyai pakej unik yang menepati selera pelancong Muslim.

Keterbukaan dan kesungguhan Taiwan menawarkan pakej pelancongan Muslim bermula sejak lima tahun lalu. Program Salam Taiwan turut memberi impak positif dan menjadi magnet kepada penduduk Muslim di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Brunei ke negara itu.

Agenda Biro Pelancongan Taiwan dalam mempromosi pakej Muslim dan mesra Muslim menampakkan hasil dengan tawaran produk pelancong mesra Muslim semakin bertambah dari sehari ke sehari.


MENGABADIKAN kenangan berlatarkan suasana hijau sejuk mata memandang.

Pakej bersifat pelancongan agro menerusi lawatan ke ladang atau ‘farm stay’ menjadi produk terbaharu dalam menarik pelancong Muslim ke negara itu.

Rombongan bersama Perunding Bingo Travel Sdn Bhd, Anton Tey itu bagi berkongsi industri Pelancongan Agro Taiwan di bawah Pertubuhan Pembangunan Taiwan Leisure Farms.

Antara lokasi dilawati ialah Miaoli Rail Bike, Hualu Flower Home (Vanilla Energy Garden, Essential Oil Foot Treatment Experince), Fairy Lake Leisure Farm (Farm Kitchen Experience), Farm Tour, Vegetable Steamboat, Night Time Farm DIY.

Turut dilawati The Persimmon Brother Farm, Flying Cow Ranch (Fresh Milk Steamboat, Farm Kitchen Experience) Miaoli dan Taipei Qianhu Chuanji Ecological Fish Farm (Chinese Sturgeon), Lawatan Masjid dan Rumah Muslim.

Bagi penulis, Taiwan ada daya tarikan tersendiri, bukan saja diliputi pergunungan yang menghijau, tetapi budaya bersih ditampilkan masyarakatnya amat mengagumkan.

Penjajahan Jepun lebih 50 tahun memberi impak dalam meningkatkan disiplin kalangan rakyatnya yang menjadi tatapan penulis serta rombongan kami di negara itu.

Keterbukaan negara itu menerima kemasukan pelancong Muslim bukan gimik semata-mata, sebaliknya mereka menyantuni pelawat Muslim dengan sajian halal, vegetarian dan peka selera Muslim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 5:30 AM