AKTIVITI berbasikal di Fremantle.
Hayati Ibrahim


JINAK dan manja tapi sukar didekati. Beberapa kali juga penulis cuba berswafoto dengan Quokka, sejenis marsupial kecil yang hanya boleh ditemui di Rottness Island, Perth itu tetapi gagal.

Apabila sudah bersedia dengan kamera, tiba-tiba ia melarikan diri. Bagaimanapun, penulis berjaya merakamkan memori bersama binatang khas Australia itu yang berkeliaran sekitar premis perniagaan di situ.

Secara fizikal, Quokka kelihatan seperti tikus besar, tetapi boleh berdiri dua kaki seperti kanggaru, malah turut ada kantung menempatkan anaknya.

Rottnest Island antara lokasi yang tersenarai dalam pengembaraan enam hari penulis bersama lima wakil media lain atas jemputan Pelancongan Australia Barat (TWA) dan AirAsiaX, baru-baru ini. Untuk ke Rottness Island, penulis perlu menaiki feri selama setengah jam dari terminal feri B-Shed, Fremantle.

Selain berswafoto dengan Quokka, banyak aktiviti menarik boleh dilakukan di pulau berkeluasan 19 kilometer persegi itu, termasuk berbasikal yang menjadi aktiviti wajib.

Boleh juga bersnorkling, mandi, berkhemah, menaiki bas mengelilingi pulau dan bergambar di rumah api Wadjemup yang juga ikon pulau ini.

Jangan simpan kamera anda ketika di pulau ini kerana banyak boleh dirakam untuk kenangan memandangkan ia mempunyai 20 pantai dan 63 teluk sangat cantik, dengan pasir putih dan airnya yang sejuk.

Alang-alang berada di Fremantle, tidak salah rasanya menelusuri bandar lama yang terkenal dengan warisan seni bina sama ada dengan berjalan kaki atau berbasikal.

Antaranya bangunan zaman kolonial dibina banduan, jeti lama dan pelabuhan, tidak dilupakan Penjara Fremantle yang dibina sendiri tahanan di situ.

Bangunan itu kini dijadikan muzium dan disenaraikan sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2010.

Fremantle atau Freo adalah bandar pelabuhan utama Australia Barat.

Ia dinamakan sempena nama seorang pegawai angkatan laut Inggeris Kapten Charles Fremantle, yang membina kem di situ pada Mei 1829.

Tidak lengkap rasanya jika tidak ke Fremantle Market yang hanya dibuka pada hujung minggu. Bagi penulis, ia umpama Pasar Seni di Kuala Lumpur yang mempamerkan pelbagai hasil seni dan produk kraftangan Australia, disamping buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga segar.

Satu lagi lokasi yang wajib dilawati di Perth adalah Kings Park and Botanical Garden, taman dalam bandar terbesar di dunia seluas 400 hektar.

Taman yang dipanggil Kaarta Komba oleh orang Asli Wadjuk Nyoongar ini sangat sesuai untuk berkelah dan bersantai kerana sangat bersih. Dari situ, kita boleh nampak pemandangan bandar Perth yang dikelilingi Swan River. Sementara di Botanical Garden yang dibuka pada 1965, terdapat 3,000 spesies flora natif Australia Barat di situ.

Satu daripadanya pokok Giant Boab berusia 750 tahun yang dibawa sejauh 3,200 kilometer dari daerah Kimberly, hadiah istimewa daripada penduduk asli tempatan, Gija.

Selepas puas meneroka taman, penulis juga menjelajah Gua Mammoth di Margaret River dan itu pengalaman pertama penulis masuk ke dalam gua.

MERCU tanda di Elizabeth Quay.

Secara jujurnya, penulis terkesima melihat keindahan di dalam gua itu, apa tidaknya gua yang mula diteroka pada 1895 itu memelihara sisa fosil purba gergasi atau mega fauna yang sudah pupus pada dinding atau bahagian tertentu gua ini.

Pakej ‘audio tour’ dalam bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Melayu dan Mandarin disediakan.

Kesempatan berada di Margaret River, penulis berpeluang meninjau rumah penempatan pertama daerah itu yang dibuka pada 1923, selain merasai pelbagai keju yang dihasilkan penduduk tempatan.

Bagi pencinta haiwan, kunjungan ke Sunflowers Animal Farm pasti percutian ladang paling ideal. Di situ, kita boleh memberi makan kepada kanggaru, arnab, tikus belanda, alpaca dan 350 haiwan lain. Pengunjung yang ingin merasai kehidupan dalam ladang boleh memilih untuk menginap di sini.

Satu lagi destinasi yang perlu dikunjungi adalah Busselton Jetty. Ia menjadi tarikan pelancong yang ingin melihat terumbu karang tiruan dan hidupan laut menerusi pusat tinjau bawah laut.

Pengunjung boleh memilih sama ada menaiki kereta api atau berjalan di atas jeti kayu sepanjang 1.84 meter untuk menikmati pemandangan laut biru dengan air jernih dan pesisir pantai sangat cantik.

Inginkan aktiviti lebih mencabar, boleh menaiki cruise di Mandurah dan merasai pengalaman menangkap udang kara serta makan tengah hari di atas bot.

Aktiviti itu amat mengujakan kerana diberi peluang menarik sangkar menangkap udang kara yang dilepaskan lapan meter ke dalam laut selama semalaman.

Kembali ke Perth, banyak lagi aktiviti menunggu, antaranya berkunjung ke Twilight Hawkers Market atau pasar malam selain mencuba ‘segway’ sejenis kenderaan dua roda yang disediakan di Barrack Street Jetty untuk bersiar-siar menyusuri pesisir Elizabeth Quay yang menjadi lokasi riadah penduduk.

Malah jangan lepaskan peluang melawat Yagan Square yang dibuka Mac 2018. Ia adalah ruang awam yang menghubungkan Central Business District (CBD) Perth dengan Northbridge buat pertama kali dalam tempoh 100 tahun.

Di Perth, rangkaian kereta api adalah cara terbaik untuk berkunjung ke pusat tarikan di ibu kota dan pinggir bandar. Perkhidmatan bas percuma turut disediakan di sekitar CBD iaitu CAT Line. Dari segi makanan, pelbagai pilihan restoran halal mudah didapati di situ, terutama makanan Arab.

Lokasi membeli-belah jangan dilupa, pastinya sekitar Hay Street, Kings Street dan Murray Street menjadi tumpuan untuk membeli cenderamata atau minyak wangi yang menjadi pilihan kebanyakan pelancong.

Bagaimanapun, kebanyakan kedai di situ tutup awal iaitu antara jam 6 hingga 7 malam, kecuali Sabtu yang dibuka sehingga jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 3:11 PM