SINGA Afrika dirakam dari jarak dekat.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

TIDAK pernah terfikir dapat merakam visual singa di safari pada jarak lima meter hanya menggunakan telefon pintar.

Itu antara momen mendebarkan penulis selepas berjaya menjejakkan kaki ke Mikumi Safari di pedalaman Tanzania, Afrika Timur.

Perjalanan bermula dari ibu negara, Dar Er Salam tidak semudah disangka. Penulis terlebih dahulu perlu menaiki bas ekspres dari ibu kota dengan perjalanan dianggarkan mengambil masa kira-kira 4 jam menuju pekan Morogoro di pedalaman.

Jarum jam menunjukkan angka 3.30 petang ketika bas mula bergerak. Secara jujurnya penumpang bas dalam kalangan warga tempatan ini amat tertib. Tiada gelak bising atau bau kurang menyenangkan ketika penulis berada di dalam bas.

Rata-rata penumpang dilihat melayan perasaan sambil mendengar muzik ‘bongo flava’ atau Tanzania hip hop dalam bahasa Swahili yang berkumandang di dalam bas.

Perjalanan tidak selancar disangka berikutan kesukaran pemandu bas memotong deretan treler di hadapan. Hanya terdapat jalan dua lorong melewati kawasan perkampungan. Bas dinaiki sekadar boleh dipandu pada kelajuan sekitar 40 kilometer sejam.

Tanpa kemudahan lebuh raya, perjalanan disangkakan singkat akhirnya mengambil masa lebih enam jam. Sebaik turun dari bas, penulis disapa angin dingin selain deretan peniaga yang menjual lobak dan tomato.

Pekan Morogoro tidaklah semaju mana. Malah penulis berasakan pekan Kampar, Perak, jauh lebih moden.

Malam itu penulis dan Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan selain wakil Badan Kebajikan Islam Petronas, Hisamuddin Ibrahim memilih untuk menginap di Morogoro White House Inn yang sedikit menyeramkan.

Tiada penghuni hotel yang menyewa di situ walaupun petugas di kaunter mendakwa hampir semua bilik penuh ditempah.

Malah kedudukan bilik kami yang agak jauh antara satu sama lain menimbulkan rasa aneh. Ternyata telahan kami tepat apabila Zulkifli diganggu dengan pintu gelongsor kaca di biliknya tiba-tiba terbuka ketika sedang lena tidur.

Pagi itu kami bangkit seawal jam 4.30 pagi berikutan perlu meneruskan perjalanan menuju ke Mikumi Safari yang terletak lebih 120 kilometer dari hotel.

Kami sempat berhenti di pertengahan jalan untuk menunaikan solat Subuh di masjid usang tanpa bekalan air paip.

Tepat jam 7 pagi, kami akhirnya sampai di pintu masuk Mikumi Safari yang mula dipenuhi kelibat pelancong ‘mat salih.’

PENULIS (kanan) bersama Zulkifli berhampiran pokok baobab berusia lebih 200 tahun

Kami yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) dibenarkan menjelajah kawasan safari berkenaan dengan ditemani seorang renjer tempatan. Landskap savana ini cukup memukau. Hanya kelihatan hamparan dataran rumput coklat berlatarbelakangkan banjaran gunung ganang.

Mata perlu peka berikutan haiwan liar yang mahu dilihat mempunyai warna tubuh hampir sama dengan persekitaran.

Rasa teruja tidak dapat disorok apabila kenderaan dinaiki bertembung zirafah yang sedang menjamah pucuk tinggi.

KELIBAT kuda belang dan rusa impala.

Malah kelibat gajah Afrika, badak sumbu, kuda belang, babi hutan dan rusa impala mudah ditemui di dataran rata ini.

Mungkin menyedari kami ‘mengidam’ untuk melihat singa Afrika, renjer muda terbabit yang fasih berbahasa Inggeris berlegar di sekitar safari bagi menjejaki raja haiwan itu.

Pencarian berhasil apabila seekor singa betina ditemui sedang berehat di sebalik belukar sebelum didekati kenderaan kami.

Ada kemungkinan haiwan liar di sini sudah lali dengan kehadiran pelawat hingga singa itu langsung tidak berganjak ketika gambarnya dirakam dari jarak dekat. Sebelum meninggal safari ini, kami mengabadikan gambar di bawah pokok gergasi baobab ( pokok botol) berusia lebih 200 tahun selain menyapa kaum asli Masai yang kurus dan tinggi.

Ternyata kunjungan ke Tanzania tidak lengkap tanpa menjejakkan kaki ke pulau Zanzibar yang terletak sejam perjalanan dari jeti feri di Dar Er Salam.

JETI di Dar Er Salam yang menyediakan perkhidmatan feri ke pulau Zanzibar

Melawati pulau ini seolah-olah anda kembali ke zaman silam berikutan landskap pulau ini dilatari kediaman Stone Town yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.

Secara ringkas, pulau di Lautan Hindi ini pernah menjadi pusat ekonomi dan rempah ketika zaman kegemilangannya 500 tahun lalu seusia Kesultanan Melayu Melaka.

Ia pernah dijajah Portugis sebelum jatuh ke tangan Kesultanan Oman pada 1698. Malah pulau ini pernah menjadi pusat perdagangan manusia di kawasan timur Afrika pada abad ke-17 hingga 19.

PEMANDANGAN unik Stone Town yang pastinya memukau pelancong asing

Penulis yang hanya sempat berada dua hari di pulau ini ‘jatuh cinta’ pada seni bina masjid Malindi berusia 500 tahun dan masih teguh hingga kini.

Menjejakkan kaki ke Pulau Zanzibar, tidak lengkap tanpa mengunjungi Pulau Changuu atau lebih popular dengan nama ‘Prison Island.’ Lokasi ini pernah menjadi pulau percutian kerabat diraja Oman. Selain melihat keindahan pantai bertaraf lima bintang, penulis turut terpegun dengan kehadiran kura-kura gergasi, Aldabra Giant Tortoise berusia lebih 100 tahun yang sengaja dibiarkan bebas di pulau ini. Terlalu banyak keunikan Tanzania!

TARIKAN istimewa kura-kura gergasi, Aldabra Giant Tortoise yang menghuni Pulau Changuu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 8:01 AM