DERETAN kereta antik menambahkan seri pemandangan di bandar Old Havana. FOTO Ayu Hasman


SEJUJURNYA, agak gementar juga untuk penulis mengembara ke Cuba lebih-lebih lagi apabila selalu terbaca berita mengenai kes jenayah, dadah dan gengster yang sering dikaitkan dengan negara berkenaan.

Namun tanggapan itu berubah sama sekali apabila berpeluang menjejakkan kaki di bumi Cuba, baru-baru ini dan diakui ia antara pengembaraan yang paling bermakna buat penulis.

Dalam ekspedisi kembara di Amerika Tengah, penulis terbang ke Havana, Cuba melalui bandar Cancun, Mexico dengan menaiki penerbangan antarabangsa, Interjet dan hanya mengambil masa kira-kira dua jam.

Sebaik pesawat yang membawa penulis dan empat lagi rakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Havana, kami agak terkejut kerana saiznya jauh berbeza dengan lapangan terbang antarabangsa lain yang pernah dijejaki.

Rakyat Malaysia boleh memasuki Cuba tanpa perlu memohon visa, namun pastikan dokumen lain seperti bukti tiket penerbangan pergi dan balik, atur cara perjalanan, tempahan penginapan serta dokumen insurans perjalanan disediakan untuk pemeriksaan di kaunter imigresen.

Urusan di kaunter imigresen lapangan terbang ini sebenarnya agak rumit kerana walaupun rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk memasuki Cuba, sesetengah pegawai mereka tetap bertanya mengenainya dan selepas diterangkan mengenai pengecualian, mereka bertanya pula mengenai insurans perjalanan.

PELUKIS jalanan yang boleh ditemui sekitar bandar ini. FOTO Ayu Hasman

Ini kerana pihak imigresen di sana mewajibkan setiap pelancong mempunyai insurans perjalanan di negara berkenaan.

Sebaik selesai urusan di kaunter imigresen, kami terus keluar dan kelihatan berpusu-pusu ‘ulat teksi’ cuba menawarkan perkhidmatan teksi.

Selepas tawar-menawar, kami semua bersetuju membayar AS$50 bagi satu teksi memuatkan kami berlima, harga yang kalau diikutkan agak mahal, namun kami tidak mempunyai banyak pilihan.

Bagi yang ingin melancong ke negara ini, mata wang rasmi Cuba adalah Cuban Peso (untuk rakyat Cuba) dan Cuban Convertible Peso (CUC) untuk pelancong.

Kami menempah hotel di bandar lama, Old Havana, kira-kira 20 kilometer dari lapangan terbang kerana ingin menghayati dan menyelami kehidupan rakyat negara itu dengan lebih dekat.

Sepanjang jalan, pemandangan kami tertarik kepada kereta antik zaman 1950-an yang masih digunakan di atas jalan raya, selain itu bangunan di sekitar juga kelihatan usang.

PENULIS dan rakan tidak ketinggalan menaiki kereta antik dan bersiar-siar di sekitar bandar berkenaan. FOTO Ayu Hasman

Bangunan di sekitar Old Havana masih mengekalkan ciri kolonial Sepanyol dan dicat dengan pelbagai warna.

Menambah lagi seri, deretan kereta antik turut diparkir di bahagian bahu jalan dan kebanyakannya itu digunakan untuk lawatan mengelilingi beberapa lokasi menarik di sekitar Havana.

Pelancong bebas memilih kereta yang mereka mahukan, saya dan rakan juga tidak melepaskan peluang menaiki kereta jenama Buick, keluaran 1952 selama dua jam dengan harga 30 CUC.

Ia antara cara terbaik untuk mengetahui mengenai sejarah bandar berkenaan kerana pemandu akan bercerita mengenai lokasi penting dan sejarahnya .

Antara lokasi yang sempat kami kunjungi adalah Revolution plaza, Hotel de Cuba, El Capitolio dan Malecon.

Apa yang menariknya, lokasi berkenaan juga pernah menjadi lokasi penggambaran filem terkenal Fast & Furious lakonan Vin Diesel dan mendiang Paul Walker.

PEMANDANGAN sekitar Old Havana yang pernah menjadi lokasi filem Fast and Furious. FOTO Ayu Hasman

Ketika bersiar-siar di sekitar bandar lama Havana, memang diakui banyak mata yang memandang ke arah kami dan tak kurang juga menyapa bertanyakan dari mana kerana mungkin mereka pelik melihat kehadiran orang berkulit Asia serta memakai tudung.

Di Cuba, bahasa rasmi mereka adalah Sepanyol, namun agak mengejutkan kerana kebanyakan boleh bertutur bahasa Inggeris dengan baik dan ia sedikit sebanyak memudahkan urusan kami sepanjang berada di negara berkenaan.

Sepanjang pemerhatian kami, rakyat Cuba juga peramah dan suka membantu meskipun mereka kelihatan kasar pada luaran. Jadi benarlah orang kata, tak kenal maka tak cinta.

Selain itu, suasana di jalanan juga biasanya dimeriahkan dengan kehadiran ramai pemuzik jalanan dan penari salsa, kebanyakan mereka melakukan persembahan jalanan bagi menyara kehidupan.

Bagaimanapun, talian Internet adalah antara cabaran kami sepanjang berada di negara itu kerana liputannya sangat terhad.

Tiada istilah WiFi percuma dan jika mahu menggunakan Internet, pelancong mestilah mendaftar pasport dan membayar kad prabayar berharga 1 CUC (kira-kira RM4.20) untuk tempoh sejam.

Kad prabayar itu bagaimanapun hanya boleh dibeli di kedai telekomunikasi atau di hotel yang terpilih sahaja.

Walaupun hanya sempat mengembara selama tiga hari, kami bersyukur kerana tidak berdepan situasi bahaya atau perkara tidak menyenangkan.

Malahan, kami dipertemukan dengan ramai rakyatnya yang baik, keramahan mereka sememangnya membuatkan hati kami terpaut.

Bak kata pepatah Inggeris, ‘Sometimes you have to see to believe,” tanggapan kami kepada Cuba nyata berubah dengan pengalaman menarik yang dilalui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 6:30 AM