EWHA Womans University memiliki pemandangan menarik.
EWHA Womans University memiliki pemandangan menarik.
Nurul Izayani Baharuddin


PENULIS boleh dikatakan antara peminat tegar drama dan lagu Korea atau lebih dikenali sebagai K-Pop. Selain memiliki artis berbakat sehingga dikenali di seluruh dunia, penulis turut tertarik dengan keindahan negara itu.

Jadi tidak hairanlah mengapa, penulis sudah lama menyimpan impian untuk mengunjungi negara itu namun ia terpaksa ditangguhkan sementara berikutan kekangan kewangan dan masa.

Pada tahun lalu, penulis bersama tujuh rakan akhirnya berpeluang ke Korea. Lebih menarik, kami memilih pada musim sejuk dengan harapan dapat bermain salji di sana.

Kami berada di sana selama tujuh hari enam malam menggunakan perkhidmatan seorang pemandu pelancong dari Malaysia.

PENULIS berpeluang memakai pakaian tradisonal Korea.
PENULIS berpeluang memakai pakaian tradisonal Korea.

Seterusnya kami berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ke Vietnam sebelum meneruskan perjalanan ke Korea dengan Vietnam Airlines.

Alhamdulillah, kami tiba di Lapangan Terbang Incheon, Korea jam 6.30 pagi waktu tempatan sebelum dibawa ke hotel di Insandong yang mengambil masa sejam perjalanan.

Biarpun tengah hari, cuaca mencecah 1 darjah Celsius. Mujurlah kami sudah bersedia dengan jaket dan sarung tangan.

SUASANA malam di Myeongdong.
SUASANA malam di Myeongdong.

Hari pertama di Korea, kami hanya berjalan di kawasan sekitar hotel sahaja untuk memanaskan badan sebelum memulakan pengembaraan pada keesokan hari.

Keesokan harinya, kami dapat merasai pengalaman menaiki kereta api ke Hongdae untuk bersiar-siar sambil mencuci mata.

Kami menikmati nasi goreng kimchi kerana ayam dan daging di sini tidak halal dan difahamkan makanan halal banyak di Itaewon dan Myeondong.

TIDAK melepaskan peluang bergambar
TIDAK melepaskan peluang bergambar

Selepas itu, kami ke Ewha Womans University dan Idae Shopping Street yang memiliki pemandangan cantik serta banyak menjual produk kecantikan selain fesyen.

Di Garousil, penulis menikmati kopi dan coklat Korea selain berpeluang ke perpustakaan Starfield iaitu antara lokasi sesuai untuk kaki swafoto.

SALJI yang turun di Istana Gyeongbokgung.
SALJI yang turun di Istana Gyeongbokgung.

Hari ketiga, boleh dikategorikan sebagai hari paling ‘best’ sepanjang berada di Korea apabila kami dibawa membeli-belah di Namdaemun.

Di sini kami dapat membeli cenderahati untuk dibawa ke Malaysia dengan harga yang murah dan kedai paling terkenal sudah pasti Kedai Mek Salmah yang pemiliknya fasih berbahasa Melayu.

Bagaimanapun, kami dinasihatkan jangan menyentuh barang di kedai itu sekiranya tidak mahu membeli kerana boleh membuatkan pemiliknya marah.

Kami turut dibawa ke masjid di Itaewon dan menikmati makan tengah hari di restoran halal. Difahamkan di sini ramai penduduk Korea beragama Islam.

PERPUSTAKAAN Starfield yang sesuai untuk kaki swafoto.
PERPUSTAKAAN Starfield yang sesuai untuk kaki swafoto.

Tidak lengkap rasanya jika tidak singgah ke syurga makanan jalanan dan produk kecantikan di Myeongdong. Di sini banyak pilihan restoran halal dengan harga yang murah.

Keesokan harinya, penulis dibawa melihat beberapa tempat bersejarah menarik di Korea termasuk Bukchon Hanok Village yang menempatkan rumah dari zaman Joseon.

Di Istana Gyeongbokgung, kami dapat memakai pakaian tradisional Korea, Hanbok yang boleh disewa selama dua jam.

Kebetulan pada ketika itu salji tiba-tiba turun menyebabkan kami tidak melepaskan peluang bergambar sepuas-puasnya. Bukan selalu dapat main salji!.

Kemudian, kami dibawa ke Gwanghamun Square yang menempatkan patung Kim Sejong, raja yang memperkenalkan tulisan Korea dan patung laksamana paling muda berusia 23 tahun.

Tidak lengkap rasanya ke Korea sekiranya tidak ke Pulau Nami yang cukup terkenal sebagai lokasi penggambaran drama Winter Sonata.

Pengunjung dinasihatkan berpakaian terang dan elakkan pakaian berwarna coklat dan kelabu supaya tidak ‘tenggelam’ dalam pemandangan.

Kunjungan kami di Pulau Nami adalah destinasi terakhir di Korea. Pada keesokan hari jam 10.30 pagi, kami perlu mengucapkan selamat tinggal!.

Pengalaman indah di Korea pastinya menjadi pengalaman yang tidak dilupakan sehingga akhir hayat. Penulis tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke negara ini untuk menjelajah lebih banyak tempat menarik di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe