’BERENANG’ bersama pelbagai ikan akuarium di laguna tersembunyi, Tanjung Bongo, Halmahera. FOTO Arif Bakri & IG Ariep Diezehn
’BERENANG’ bersama pelbagai ikan akuarium di laguna tersembunyi, Tanjung Bongo, Halmahera. FOTO Arif Bakri & IG Ariep Diezehn

PERJALANAN ke Maluku, Indonesia sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memberi pengertian tersendiri di sebalik stigma suatu percutian.

Rantau yang tersohor suatu ketika dahulu dengan komoditi rempah menjadi pilihan penulis dengan memfokuskan perjalanan ke utara Maluku iaitu daerah Ternate, Tidore dan Halmahera yang terletak di timur Nusantara, diapit dua pulau besar, Sulawesi serta Papua.

Daerah ini sedikit terasing daripada capaian pengetahuan orang Malaysia dan pelancong asing lain.

Malah isu jarak geografi dan sejarah konfliknya turut menyelubungi pemikiran rata-rata orang Indonesia sendiri.

Hal itu bagaimanapun tidak menyurutkan hasrat penulis untuk melawat ke daerah ini kerana di sebalik stigma pasti ada kejutan berlawanan akan diperoleh.

DAERAH Jailolo yang bangkit daripada sejarah hitam silam. FOTO Arif Bakri & IG Ariep Diezehn
DAERAH Jailolo yang bangkit daripada sejarah hitam silam. FOTO Arif Bakri & IG Ariep Diezehn

Dalam kembara selama seminggu di sana, penulis memperoleh banyak pengalaman dan pengetahuan yang memantapkan pandangan diri bahawa Ternate-Tidore-Halmahera itu cukup menarik, indah serta sentosa.

Sejarah berkaitan Maluku ini cukup panjang untuk ditelusuri dan peradabannya tidak kalah berbanding empayar besar Nusantara lain.

Pada era kegemilangannya terdapat empat penguasa besar iaitu Kesultanan Ternate, Tidore, Jailolo dan Bacan yang wilayahnya melangkaui sempadan Maluku pada ada hari ini.

Kekayaan dan kemakmuran rantau ini menarik kuasa asing Eropah iaitu Portugis, Sepanyol, Belanda dan Inggeris untuk mengembangkan dasar kolonial mereka dengan membuat pelbagai strategi serta helah demi menguasai perdagangan komoditi cengkih dan pala yang cukup berharga, setara dengan emas pada ketika itu.

Semangat kebangsaan melawan kolonialisma menjadi darah daging masyarakat di sini dengan pemimpin seperti Sultan Babullah dan Sultan Nuku menjadi nama besar berdasarkan kepemimpinan mereka mempertahankan kedaulatan wilayah ini.

Tinggalan kubu pertahanan kolonial yang masih utuh di Pulau Ternate dan Tidore menjadi saksi bisu kemakmuran rantau ini pada suatu ketika dahulu.

Rantau ini turut dikenali sebagai Bhumi Kie Raha atau Tanah Empat Gunung yang mempunyai kaitan dengan keberadaan asal pusat pemerintahan bagi empat kerajaan penguasa.

Pusat pemerintahan kerajaan ini dibangunkan di kawasan yang ada gunung berapi, namun kini hanya satu daripada empat gunung berapi masih aktif iaitu Gunung Gamalama di Pulau Ternate.

PENULIS menyeberang ke kota Sofifi. FOTO Arif Bakri & IG Ariep Diezehn
PENULIS menyeberang ke kota Sofifi. FOTO Arif Bakri & IG Ariep Diezehn

Ini sekali gus menyaksikan landskap jajaran pulau gunung berapi yang menjulang di tengah laut biru apabila dilihat dari tingkap pesawat adalah sesuatu yang cukup mengujakan yang bagi saya ini satu keistimewaan serta identiti Maluku.

Rata-rata di kawasan pulau besar, Halmahera masih dipelopori liputan tumbuhan sama ada kebun, ladang mahupun hutan. Hutan di pulau ini sendiri adalah habitat kepada spesies haiwan jarang ditemui termasuk burung bidadari yang endemik.

Pengkaji alam terkenal, Wallace pernah menjadikan Ternate sebagai rumah pengkajiannya berkaitan zon alam semula jadi di Asia Tenggara.

Hari ini, Ternate, Tidore, Jailolo dan Bacan adalah sebahagian daripada provinsi (wilayah) Maluku Utara iaitu provinsi baharu serpihan provinsi induk, Maluku.

Bandar terbesar di Maluku Utara adalah Kota Ternate dan masih menjadi pusat ekonomi wilayah walaupun pusat pentadbiran sudah dipindahkan ke Sofifi yang berada di bahagian pulau besar Halmahera. Bangunan moden dan gedung perniagaan tertumpu di bandar ini.

Infrastruktur ekonomi seperti pelabuhan dan lapangan terbang ada di Pulau Ternate. Perhubungan air juga penting tidak seperti bandar di Indonesia yang pernah saya lawati sebelum ini.

Perhubungan air tidak terhad pada perjalanan antara wilayah malah perjalanan komuter juga bergantung pada perhubungan ini. Suasana sibuk komuter pada waktu puncak dilihat di pelabuhan penumpang dan jeti penyeberangan kapal.

Ternate-Tidore-Halmahera didiami pelbagai etnik dengan peribumi asal Maluku menjadi kelompok etnik utama. Antara suku peribumi di sini ialah Tobelo, Ternate, Galela, Makian, Tidore dan beberapa etnik lain. Etnik luar yang berhijrah pula antaranya Jawa, Bugis dan Cina.

Pengalaman penulis bergaul dengan orang di sini ialah mereka sebaik mungkin cuba memecahkan anggapan bahawa masyarakat Maluku Utara itu berkulit gelap dan berambut keriting seperti masyarakat Melanesian. Sebenarnya hanya sebilangan kecil penduduk suku peribumi ini mempunyai ciri-ciri fizikal masyarakat Melanesian. Kebanyakan penduduk di daerah ini memahami bahasa Melayu dengan menuturkan mengikut loghat Melayu Maluku Utara.

Mungkin ada sedikit kelucuan bagi orang Malaysia seperti saya apabila mendengar perbualan masyarakat tempatan kerana banyak persamaan dengan kosa kata bahasa pasar Melayu kita, tetapi ada yang bermaksud berbeza. ‘Aku’ ditutur ‘kita’ manakala ‘kita orang’ ditutur ‘torang’ dan dia orang pula disebut ‘dorang’.

Majoriti penduduknya beragama Islam, manakala penduduk beragama Kristian tertumpu di Halmahera Utara dan Barat. Daerah ini pernah mengalami sejarah hitam berkaitan konflik antara agama dan suku.

Makanan tempatan di sini agak menarik untuk dirasai. Sagu dan ubi kayu adalah bahan dasar utama diet masyarakat di sini selain nasi.

MENYERTAI keraian Hari Ulang Tahun Tidore yang ke-911 di Istana Kedaton Tidore. FOTO Arif Bakri & IG Ariep Diezehn
MENYERTAI keraian Hari Ulang Tahun Tidore yang ke-911 di Istana Kedaton Tidore. FOTO Arif Bakri & IG Ariep Diezehn

IKAN cakalang begitu sinonim dengan masakan masyarakat Maluku. FOTO Arif Bakri & IG Ariep Diezehn
IKAN cakalang begitu sinonim dengan masakan masyarakat Maluku. FOTO Arif Bakri & IG Ariep Diezehn

Hasil laut dan tanaman diolah dengan baik dengan rasa makanan di sini kaya rempah ratusnya yang sangat kena dengan selera penulis. Makanan khas kebanggaan Maluku Utara adalah ‘papeda’ dengan beberapa kuah khas seakan-akan singgang dan asam pedas.

Selain itu, hidangan ikan cakalang salai dan sambal dabu-dabu yang mempunyai pengaruh masakan Manado juga mendapat tempat di hati.

Masyarakat tempatan kebiasaanya hanya memakan hidangan cukup sederhana iaitu lauk ikan dan sayur masak kuning. Alang-alang sudah jauh ke sini perlulah mencuba makanan mereka!

Berbalik kepada bidang pelancongan, keseronokan percutian pulau-pantai dapat dinikmati di sini, meskipun tidak dapat disangkal fokus utama pelancongan Maluku Utara adalah warisan sejarah dan alam semula jadi. Pelancongan berorientasikan pulau-pantai sedang rancak dibangunkan sebagai usaha mempelbagaikan tawaran pelancongan dan membantu memperbaiki keadaan sosioekonomi masyarakat.

Penulis dimaklumkan Pulau Morotai di utara Halmahera dirancang menjadi destinasi perdana baharu buat Indonesia. Bagaimanapun, penulis tidak berkesempatan ke situ dan jujur mengakui kurang tertarik ke destinasi berorientasi bawah laut dan sejarah perang.

Hasil perbualan dengan pengembara lain, mereka yang mencari tempat percutian dilengkapi kemudahan pelancongan lebih berminat untuk ke Manado yang berjiran dengan Maluku Utara.

Daripada perspektif yang berbeza, mereka yang gemar meneroka tempat baharu sambil berbual dengan masyarakat tempatan pula akan berasakan utara Maluku adalah destinasi yang tepat untuk mereka.

Semoga dalam pengembaraan berikutnya, penulis berkesempatan untuk menjelajah rantau yang pernah menjadi wilayah taklukan kerajaan Bhumi Kie Raha ini, sama ada Pulau Timor atau pulau besar, Papua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 7:00 AM