ANTARA kawasan di Albaicin yang dapat melihat kota Alhambra. FOTO Hidayah Rodhi
ANTARA kawasan di Albaicin yang dapat melihat kota Alhambra. FOTO Hidayah Rodhi
Hidayah Rodhi

PERCUTIAN kami di bumi Sepanyol dan Portugal bermula di bandar Madrid, Sepanyol dan ketika itu musim luruh.

Kami memilih menaiki pesawat KLM dari Kuala Lumpur ke Madrid dengan transit di Amsterdam. Dari Madrid kami menaiki kereta sewa untuk menyusuri bandar lama yang pernah menjadi tapak pemerintahan kerajaan Andalusia dan tanah jajahannya.

Toledo adalah bandar pertama dijejaki. Perjalanan dari Madrid mengambil masa antara 45 ke 50 minit untuk sampai.

Tempat wajib singgah kalau sudah sampai di bandar Toledo adalah Mirador de Valle kerana dari situ kita dapat melihat pemandangan keseluruhan kota berkenaan.

Antara bangunan lama yang kami singgah di Toledo adalah Monastery of San Juan de los Reyes. Terasa seperti berada di sekolah Hogwarts apabila berada dalam bangunan bersejarah ini. Paling menarik, hanya ada kurang daripada 10 orang ketika kami di sini. Boleh buat sesi bergambar tanpa ada gangguan pelancong lain.

Selepas menginap satu malam di Toledo, bandar kedua yang dituju adalah Cordoba. Hasil carian menggunakan Google Maps, terjumpa satu kawasan yang agak menarik untuk dijadikan persinggahan, Consuegra. Pekan kecil kira-kira 30 minit dari Toledo.

Apa yang menarik di sini adalah ada deretan kincir angin lama yang masih kukuh. Berpeluang masuk ke bahagian dalam kincir angin itu secara percuma antara pengalaman tidak dapat dilupakan.

Kalau peminat Money Heist mesti dapat kenal tempat ini memandangkan ia antara lokasi pengambaran drama.

Seterusnya, Cordoba pula paling terkenal dengan The Grand Mosque of Cordoba. Tip untuk masuk secara percuma dalam bangunan bersejarah ini adalah beratur awal pagi sebelum dibuka pada jam 8 sehingga 9 pagi untuk penduduk setempat mengunjungi gereja di dalamnya.

Bagaimanapun, orang luar juga dibenarkan masuk jika dalam tempoh masa percuma dan perlu keluar pada jam 9 pagi untuk membolehkan pekerja bersedia menerima pelancong yang membayar tiket masuk pada jam 10 pagi.

PENULIS berada antara binaan kincir angin di Consuegra. FOTO Hidayah Rodhi
PENULIS berada antara binaan kincir angin di Consuegra. FOTO Hidayah Rodhi

Sebelum meneruskan perjalanan seterusnya ke bandar Osuna, kami singgah di sebuah tempat bersejarah di luar Cordoba iaitu Madina Al-Zahra iaitu runtuhan istana lama pemerintah Cordoba.

Walaupun hujan renyai-renyai ketika kami di sini, ia tidak menjejaskan lawatan dan kawasan itu juga tak ramai pelancong lain mungkin disebabkan faktor cuaca hari itu yang kurang baik.

Kami memilih singgah di Osuna disebabkan ingin masuk ke Plaza de Toros. Selain tiket masuk murah berbanding Plaza de Toros di bandar lain, tempat ini juga antara destinasi penggambaran Drama Game of Throne, The Fighting Pit of Meereen. Namun, kami agak kecewa kerana ketika sampai di sini ia ditutup kerana waktu rehat.

Oh ya, seperkara yang perlu diingatkan ketika merancang perjalanan di Sepanyol adalah waktu rehat dikenali sebagai 'siesta' yang agak panjang.

Disebabkan kesuntukan masa dan hari semakin gelap, kami memutuskan meneruskan perjalanan ke tempat penginapan seterusnya, iaitu di sebuah bandar bernama Zafayona.

Keesokan pagi dari Zafayona, perjalanan mengambil masa 30 minit untuk sampai ke bandar Granada. Kami memilih singgah selama dua malam di sini. Misi pertama selepas memasuki bandar Granada adalah menuju ke Ermita de San Miguel Alto. Dari sini, kita akan nampak Alhambra. Waktu kami sampai sini, keadaan masih berkabus dan permandangan kota Alhambra kelihatan sangat cantik!

Di bandar Granada, kereta sewa diletakkan di ruang penyimpanan apartmen saja kerana kami mahu menjejalah bandar Granada dengan berjalan.

Selesai urusan meletak kereta dan bagasi kami terus menuju ke Albaicin iaitu sebuah penempatan dengan bentuk muka bumi berbukit yang memberi peluang menikmati permandangan Alhambra dengan lebih dekat.

Keesokan hari, diperuntukkan untuk melawat kota Alhambra. Kami memasuki Alhambra menggunakan pintu Justice Gate kerana misi pertama di situ adalah ke Istana Nasrid.

Kedudukan pintu ini lebih dekat dengan Istana Nasrid dan seperkara perlu diingatkan, untuk masuk ke dalamnya, kita perlu mematuhi masa yang dipilih ketika membuat pembelian tiket dalam talian.

Slot masa kami adalah seawal jam 9 pagi. Nasihat kepada semua yang ingin memasuki Alhambra ialah membeli tiket seawal tiga bulan sebelum tarikh lawatan bagi memastikan anda mendapat slot lawatan masuk ke dalam Istana Nasrid.

Seni bina Istana Nasrid sangat cantik, teliti dan penuh dengan seni ukiran bercorak Islamik dan ayat al-Quran selain slogan dalam bahasa Arab. Di samping Istana Nasrid, kawasan lain yang boleh dilawati di kota Alhambra ialah The Ladies Tower, Generalife, Alcazaba de Benedin dan binaan yang bercirikan Renaissance, Palace of Charles V.

Pada waktu petang baru kami turun semula ke bandar Granada. Jangan lupa beli barang buatan kulit di sini. Macam-macam reka bentuk beg kulit boleh didapati dan semuanya dari Maghribi.

Keesokan pagi, kami meneruskan perjalanan menuju ke bandar Ronda iaitu bandar yang dikira wajib dilawati kerana keunikan penempatan di tebing bukit dan terdapat satu binaan jambatan yang menarik. Untuk lebih menghayati binaan jambatan, kami menuruni tebing bukit bagi melihat keseluruhan binaan dari bawah.

CABO da Roca, penghujung benua Eropah. FOTO Hidayah Rodhi
CABO da Roca, penghujung benua Eropah. FOTO Hidayah Rodhi

Meneruskan perjalanan keesokan pagi, kami bergerak menuju bandar terakhir kami di bumi Andalusia iaitu Seville. Kami akan menginap selama dua malam di sini. Perjalanan dari Ronda ke Seville memakan masa sekitar sejam 40 minit. Kami perlu memulangkan kereta sewa di bandar Seville sebelum jam 12 tengah hari. Alhamdulilah semua urusan berjalan dengan baik sebagaimana yang dirancang.

Misi pertama kami di Seville adalah melawat binaan moden yang terkenal iaitu Metropol Parasol. Kita dapat berjalan di atas binaan ini dengan bayaran tiga euro. Seterusnya kami ke Plaza de Espana, antara binaan bangunan yang wajib dilawati.

Alcazar of Seville adalah tinggalan sejarah yang kami lawati pada hari kedua di Seville. Bangunan ini boleh dikatakan Istana Nasrid mini. Tempat ini turut menjadi antara lokasi pengambaran Game of Throne, Dorne & The Water Garden, House of Martell. Nampak sangat peminat siri Game of Throne!

Antara tempat yang menarik di bandar Seville yang boleh dilawati adalah Mercado Lonja Del Barranco dan Catedral De Seville.

Keesokan pagi kami akan merentasi sempadan Sepanyol menuju ke Lisbon, Portugal melalui bandar Faro. Kami memilih menggunakan perkhidmatan bas untuk ke Faro sebelum meneruskan perjalanan ke Lisbon dengan kereta api. Boleh dikatakan hari itu adalah hari perjalanan sepenuhnya.

Di Lisbon, kami memilih berpangkalan di kawasan yang dikenali sebagai Rossio dan menginap selama tiga malam. Pada hari pertama di Lisbon, kami berjaya menjelajah dan melawat Santa Justa Lift, Castilo de Soa Jorge, Alfama, Baixa serta Belem dengan menikmati permandangan senja di tepi Sungai Tagus.

Bandar Sintra menjadi pilihan kami pada hari kedua di Portugal. Perjalanan menggunakan kereta api dari Lisbon adalah sekitar 40 minit untuk ke Sintra.

Antara binaan bangunan yang menarik untuk dilawati di Sintra adalah Pena Palace yang berwarna-warni, Quinta da Regaleria yang penuh dengan misteri sejarah pembinaan dan tinggalan tugu pertahanan kerajaan Islam. Kami juga sempat ke penghujung benua Eropah iaitu di Cabo da Roca.

Bandar Porto menjadi misi seterusnya. Mengambil masa selama dua jam 44 minit untuk sampai ke sana menggunakan kereta api. Porto adalah bandar di tepi Sungai Douro dan bandar kedua terbesar di Portugal selepas Lisbon.

Terkenal dengan ikon binaan jambatan besi yang dicipta oleh pereka bentuk yang pernah terbabit dengan binaan Eiffel Tower iaitu Luis I Bridge.

Selain binaan jambatan besi, binaan dinding menggunakan kemasan seramik yang dikenali sebagai Azulejos tiles juga banyak di sekitar Porto. Antara bangunan yang masih terpelihara kemasan dindingnya adalah Soa Bento Railway Station, Igreja do Carmo & Igreja dos Carmelitas.

Selain itu, anda juga perlu melawat kedai buku yang dikatakan kedai buku tercantik di dunia iaitu Livraria Lelo. Kedai ini juga dikatakan menjadi sumber inspirasi kepada penulis, JK Rowling ketika menulis buku Harry Potter sewaktu beliau tinggal di Porto.

Selepas dua malam di Porto, kami bergerak ke bandar terakhir untuk dilawati di Portugal iaitu Coimbra, sejujurnya bandar itu dipilih disebabkan antara cara untuk kami balik semula ke Madrid dengan kereta api malam dari sana.

Diberikan gelaran sebagai 'bandar universiti' kerana terdapat sebuah universiti antara tertua di dunia yang masih beroperasi sehingga kini iaitu University of Coimbra. Bandar ini juga dikatakan menjadi salah satu bandar yang memberi inspirasi kepada JK Rowling ketika menulis buku Harry Potter.

Pemilik kafe yang kami singgah untuk minum kopi memberitahu disebabkan hari itu Ahad ditambah pula dengan hujan, ia sunyi tanpa kelibat pelajar.

Perjalanan yang memakan masa selama lapan jam daripada Coimbra ke Madrid tidak dirasakan lama kerana kami membeli tiket 'sleeper train'. Kami selamat sampai di Madrid pada jam 8 pagi dan menginap satu malam di sana sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur dengan penerbangan KLM. Berakhirlah perjalanan kami selama 18 hari di bumi Semenanjung Iberia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 7:01 AM