MELIHAT penguin di Pantai Boulders.
MELIHAT penguin di Pantai Boulders.
Norsuriya Muhamad Ghazali

CAPE Town, Afrika Selatan bukan nama yang asing bagi pencinta alam dan keindahan bumi ciptaan Ilahi. Pertama kali menjejakkan kaki ke Cape Town pasti akan terpukau dengan keindahannya. Bandar cantik, bentuk muka bumi unik dan masyarakat yang peramah antara tarikan utama di sini.

Sebelum sampai ke Cape Town terdetik juga perasaan takut dan ragu-ragu dengan keselamatan sepanjang berada di sana. Namun jangkaan saya meleset kerana bandar ini selamat dikunjungi dan sangat sesuai dijadikan destinasi percutian keluarga mahupun berbulan madu.

Antara lokasi menarik di sana adalah Table Mountain National Park yang juga diklasfikasikan sebagai tujuh keajaiban dunia baharu.

Bagi yang meminati aktiviti mendaki mahupun sekadar bersiar-siar di kawasan sejuk, lokasi ini amat sesuai dikunjungi. Berketinggian 1,085 meter kawasan ini boleh dijejaki menggunakan kereta kabel.

Keindahan Table Mountain dari aras tinggi ditambah bentuk muka bumi yang sangat menarik menjadikan setiap foto diambil sangat unik.

Selepas itu, saya bersama rombongan meneruskan perjalanan ke Tanjung Harapan atau lebih dikenali sebagai Cape Of Good Hope yang memiliki panorama keindahan alam cukup memukau jiwa. Air laut yang bersih, deruan angin menerpa muka sungguh mendamaikan.

IKAN lumba-lumba di Hermanus.
IKAN lumba-lumba di Hermanus.

Cape of Good Hope turut digelar sebagai 'Cape of Storms' kerana kerap dilanda badai.

Tidak lengkap kunjungan ke Cape Town sekiranya tidak mengunjugi Hermanus yang terkenal dengan rumah bagi ikan paus.

Bagaimanapun, bukan semua berpeluang melihat hidupan mamalia itu di sini yang biasanya dapat ditonton di televisyen saja.

Kami bernasib baik berpeluang melihat hidupan laut itu berenang dan melakukan pelbagai aksi seolah-olah sedang membuat persembahan istimewa untuk kami.

Pada hari kedua kami dibawa ke Pantai Boulders yang sangat terkenal dengan rumah penguin.

Suasana di sini sangat cantik dengan suhu sekitar 19 darjah Celsius dan kami dapat melihat penguin ini berjalan dari pantai ke kawasan 'rumah mereka.'

Penguin di sini bebas berkeliaran di pantai sangat jinak dan tidak takut manusia.

Pengunjung bagaimanpun hanya dibenarkan melihat haiwan itu di kawasan yang ditetapkan selain dilarang memberi makanan.

BADAK sumbu antara spesies semakin pupus yang boleh ditemui di Zoo Safari.
BADAK sumbu antara spesies semakin pupus yang boleh ditemui di Zoo Safari.

Kami kemudian meneruskan perjalanan menuju ke Cape Point yang terletak di kawasan paling selatan di Cape of Good Hope.

Di sini, terdapat menara yang dikenali sebagai Menara Mercusuar dan kelihatan penanda koordinat kami berada di hujung selatan benua Afrika. Kami mengambil peluang naik ke Mercusuar selama lebih kurang 20 minit untuk sampai ke puncak.

Pengembaraan di bumi Cape town diteruskan ke Zoo Safari di Kruger National Park. Sampai di sini kedatangan kami disambut dengan minuman jus epal dan dijamu pilihan makanan yang banyak.

Selepas makan dan mendapat kunci bilik, kami dibawa menaiki jip menuju ke Zoo Safari dengan menyusuri laluan yang agak mencabar seakan-akan padang pasir.

Peluang melihat haiwan liar secara dekat, namun masih dalam jarak selamat adalah pengalaman yang sukar dilupakan. Haiwan liar seperti badak sumbu, gajah, zirafah dibiarkan berada dalam habitat mereka sendiri.

Di Zoo Safari dianggarkan terdapat lebih 147 spesies mamalia, 116 jenis reptilia dan mampu menampung haiwan dalam kategori pupus.

BERKUNJUNG ke Cape Of Good Hope.
BERKUNJUNG ke Cape Of Good Hope.

Penerokaan di Zoo Safari berterusan hingga ke malam apabla kami dibawa ke perkampungan kaum peribumi. Di sini kami disambut dengan tarian kebudayaan masyarakat setempat dan pertunjukan api.

Sambutan yang agak meriah dengan alunan muzik ditambah cahaya lampu di segenap penjuru menjadikan suasana sejuk dan dingin agak seronok.

Kami turut dihidangkan beraneka hidangan istimewa dan buah-buahan yang memenuhi meja.

Keesokan harinya perjalanan diteruskan menerokai Zoo Safari. Sebelum balik ke Cape Town sekali lagi kami dibawa melihat haiwan dengan melalui jalan lain untuk melihat spesies yang tidak kelihatan semalam.

Perjalanan diteruskan pada hari terakhir ke perkampungan Melayu di Cape Tow dinamakan Bokaap.

Uniknya di perkampungan Melayu Cape Town ini adalah reka bentuk rumah milik mereka. Warna-warni rumah memberikan gambaran yang luar biasa dan unik menjadi tarikan wajib sekiranya datang ke Bokaap.

Sebelum balik ke Malaysia kami dibawa ke kawasan perkampungan orang Afrika iaitu Guga Sthebe yang menjalankan perusahaan tembikar, melukis di atas pinggan dan berniaga secara kecil-kecilan.

Kami juga diajar tarian dan lagu yang popular masyarakat Afrika iaitu tarian waka waka.

Pengalaman berada di Cape Town antara memori yang sukar dilupakan dan terus terpahat dalam ingatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 7:00 AM